Monday, 20 December 2021

PERKARA 121 KUASA KEHAKIMAN

  
Perkara 121 berada di Bahagian 9 Perlembagaan Persekutuan yang mengkhususkan berkaitan penghakiman. Perkara 121 adalah kuasa kehakiman bagi Persekutuan. 
 
Perkara 121 (1A) secara khusus menyebut mengenai had bidang kuasa makamah sivil daripada mencampuri urusan mahkamah syariah. Ia berbunyi: Mahkamah-mahkamah yang disebut dalam Fasal 1 tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah. 
 
Maksud sebenar peruntukan itu ialah pengasingan kuasa dan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Ia satu penghormatan dan pengiktirafan kepada mahkamah syariah dan sekaligus satu hak istimewa kepada penganut agama Islam di Malaysia. 
 
Perlu dijelaskan, sebelum perubahan peruntukan ini, sering kali keputusan mahkamah syariah dicabar di mahkamah sivil terutama perkara yang mempunyai kaitan dengan bukan Islam seperti hak penjagan pasangan anak, harta pusaka dan sebagainya. 
 
Kes seumpama itu membayangkan bahawa kuasa mahkamah syariah terletak di bawah kuasa mahkamah sivil. Dengan adanya pengasingan secara khusus bidang kuasa dan hak mahkamah syariah, maka tidak ada apa-apa kes yang telah dibicarakan di mahkamah syariah diulang bicara di mahkamah sivil.  
 
Begitu juga, hal berkaitan kepentingan agama Islam dan penganutnya menjadi tanggungjawab mahkamah syariah mengendalikannya. Kedudukan istimewa ini membuktikan Islam mendapat tempat dan perlindungan yang sesuai dengan kedudukan sebagai agama Persekutuan.

Saturday, 4 December 2021

PEERJUANGAN DEMI AGAMA TETAP DITERUSKAN

 
Selagi berpegang kepada kaedah yang benar, perjuangan tetap diteruskan biarpun terpaksa melalui jalan berliku. 
 
Selagi itulah musuh kepada sunnah tidak akan mampu menggugat, tidak mampu berhujah melainkan dengan pendustaan dan pengacauan. 
 
Sejarah membuktikan bahawa mereka yang memusuhi dakwah dan kaedah yang benar tidak sedikitpun memadamkan semangat apatah lagi menyekatnya. 
 
Bahkan ilmu yang didasari dengan kaedah yang kukuh akan terus subur dan berkembang walau apa sahaja usaha yang diambil untuk menyekatnya. 
 
Kenapa ini berlaku? Jawabnya kaedah ini sandarannya kepada al kitab dan al sunnah. 
 
Sebahagian mereka telah pun kembali ke pangkuan tuhannya, sebahagiannya masih tetap berjuang mengisi saki baki usia yang ada. 
 
Generasi awal telahpun melaluinya dengan penuh jerih dan kepayahan dan masih sehingga kini di atas perjuangan. Alhamdulillah ianya disambung dengan generasi seterusnya. 
 
Mudah mudahan Allah menetapkan iman dan amal kita di atas kaedah yang suci ini. Benarlah janji Allah dan rasul selagi berpegang kepada keduanya selagi itulah ianya di bawah pemeliharaan Allah.
 
Gambar hanya hiasan

Monday, 29 November 2021

UBI KELEDEK SEJENIS MAKANAN BERKANJI KAYA KHASIAT

   
Ubi keledek atau nama saintifiknya Ipomoea batatas merupakan sejenis makanan berkanji yang berasal dari keluarga ConvolvulaceaeDalam dialek Kelantan, ubi keledek dipanggil ubi setelo, memng terkenal di negeri bergelar Cik Siti Wan Kembang Tanah Rendah Sekebun Bunga itu. 
 
Antara ciri-ciri fizikal ubi keledek adalah mempunyai kulit berwarna coklat kasar dan isinya pula mempunyai pelbagai variasi warna seperti putih, jingga dan ungu. 
 
Ubi keledek banyak varieti sama ada tempatan atau luar negara. Ia bukan sahaja berbeza pada warna kulit dan isi, bahkan rasanya. 
 
Antara varieti baharu ialah keledek lembayung. Varieti luar negara yang terkenal ialah ubi keledek jepun dari Jepun dan ubi keledek cilembu dari Indonesia. 
 
Ubi keledek adalah tumbuhan yang mudah didapati di kawasan tropika dan beriklim sederhana. Di Malaysia, ubi keledek bukanlah sesuatu yang asing lagi malah ianya dikenali oleh hampir semua lapisan masyarakat dan usia. 
 
Ubi keledek sering dijadikan bahan utama dalam pembuatan kuih-muih tradisional seperti kuih keria, cek mek molek, cucur badak dan lain-lain. 
 
Ubi keledek juga sedap dimakan yang direbus atau pun digoreng. Di Kelantan, keledek goreng yang dipotong kecil dipanggil kaki ayam. 
 
Selain sedap dimakan, ubi keledek juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri. 
 
Antara komponen berkhasiat terdapat dalam ubi keledek ialah: 
 
Beta karoten. Beta karoten adalah salah satu komponen yang mempunyai sifat anti oksida yang boleh ditemui di dalam sayur-sayuran ataupun buah-buahan yang mempunyai warna jingga atau merah. 
 
Apabila makanan yang mengandungi beta karoten dihadam oleh badan, beta karoten akan ditukar ke dalam bentuk vitamin A di dalam badan. 
 
Riboflavin. Riboflavin atau nama lainnya vitamin B2 adalah sejenis vitamin larut air. 
 
Antara fungsi komponen ini adalah terlibat di dalam penghadaman karbohidrat, protein dan lemak yang akhirnya akan membekalkan tenaga kepada tubuh badan kita. 
 
Ianya juga penting kepada kesihatan kulit, sistem penghadaman, sel darah dan organ-organ utama. 
 
Niasin. Niasin atau juga dikenali sebagai vitamin B3 merupakan salah satu vitamin yang terkandung di dalam ubi keledek. Komponen ini merupakan sejenis vitamin yang larut air di mana ianya boleh disingkirkan oleh badan. 
 
Antara fungsi niasin adalah membantu dalam penghasilan tenaga, dan bersifat antioksida.
 

Tuesday, 23 November 2021

KAMPUNG PULAU HAJI NIK MAT, MUKIM TELUK RENJUNA

  
Aliran air Sungai Kelantan membentuk delta di muara berhampiran pantai. Berpuluh-puluh pulau terbentuk yang dari segi pentadbiran terletak di jajahan Kota Bharu dan Tumpat. 
 
Di sebelah Kota Bharu, pembentukan pulau tidak ketara dilihat kerana ia hanya dipisahkan oleh sungai-sungai kecil dan kesemua pulau itu dihubungi dengan jambatan yang boleh dilalui kenderaan. 
 
Manakala di sebelah Tumpat pula terdapat 33 pulau yang sebahagian besarnya dipisahkan secara jelas oleh sungai yang luas. Untuk pergi ke pulau-pulau tersebut perlu menggunakan bot. 
 
Terdapat dua jeti utama untuk ke pulau iaitu Jeti Kok Majid, Tumpat ataupun Jeti Kuala Besar, Kota Bharu. 
 
Pulau Haji Nik Mat salah satu daripada 33 pulau yang terdapat di delta Sungai Kelantan sebelah jajahan Tumpat. Namun, daripada 33 pulau itu, hanya 13 pulau yang didiami, termasuk Pulau Pantai Haji Nik Mat. 
 
Pulau lain yang didiami ialah Pulau Seratus, Pulau Beluru, Pantai Suri, Pulau Teluk Renjuna dan tujuh pulau lain. 
 
Masa menaiki bot dari Jeti Kok Majid ke Jeti Pulau Haji Nik Mat mengambil masa kira-kira 10 minit. Begitu juga dari Jeti Kuala Besar.  
 
Kanak-kanak di Pulau Haji Nik Mat bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru dan bersekolah menengah di beberapa sekolah menengah di jajahan Tumpat mahupun Kota Bharu. 
 
Suasana di Pulau Haji Nik Mat damai dengan suasana kampung tanpa kenderaan, kecuali kedengaran enjin bot dan motosikal. 
 
Hubungan sesama penduduk amat harmoni, saling menghormati dan bantu membantu antara satu sama lain. 
 
Penduduk Pulau Haji Nik Mat mendapat bekalan elektrik sepenuhnya dari TNB dan sumber air bersih dari Syarikat Air Kelantan Sendirian Berhad. 
 
Liputan internet juga dinikmati penduduk kampung disediakan syarikat telekomunikasi. 
 
Penduduk mendapat kemudahan kesihatan di Klinik Kesihatan Pulau Teluk Renjuna yang tidak jauh dari situ dan boleh dihubungi menggunakan kenderaan motosikal. 
 
Namun, rata-rata keluarga yang mempunyai motobot sendiri lebih gemar menggunakan kenderaan itu untuk ke klinik kena Jeti Pulau Teluk Renjuna terletak berhampiran Klinik Pulau Teluk Renjuna. 
 
Dengan kata lain, penduduk Pulau Haji Nik Mat tidak tersisih dari segi kemudahan awan, kecuali tidak dihubungi melalui jalan darat dari tanah besar.

Monday, 8 November 2021

HIKING BUKIT KUTU MENJEJAK TINGGALAN SEJARAH

  
Bukit Kutu terletak di Kuala Kubu Bharu, berhampiran Kampung Pertak iaitu sebuah perkampungan Orang Asli kira-kira 31 kilometer dari Kuala Lumpur. 
 
Bukit Kutu mempunyai ketinggian pada paras 1,053 meter dari aras laut. Dengan ketinggian melebihi 1000 meter, Bukit Kutu boleh dianggap sebagai ‘gunung’ berdasarkan ketinggiannya. 
 
Sesuatu yang menarik di Bukit Kutu ia turut mempunyai pelbagai khazanah dan kesan peninggalan sejarah era pemerintahan British pada suatu ketika dahulu. 
 
Era pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu membawa kepada pembukaan pusat peranginan atau pertanian di kawasan tanah tinggi. Penerokaan dan pembukaan tanah tinggi dikaitkan dengan hasrat pegawai Inggeris yang ingin menikmati susana cuaca sejuk seperti di tempat asal mereka. 
 
Salah satu lokasi tersebut ialah Bukit Kutu atau dahulunya dikenali Treacher's Hill. 
 
Nama Treacher’s Hill adalah sempena Sir William Hood Treacher yang menemui tempat ini pada tahun 1893 dan menurut sejarah, Sir WH Treacher, telah berkhidmat sebagai Residen British di Selangor dari 1892 hingga 1896. 
 
Di puncak Bukit Kutu terdapat dataran yang menjadi 'kompleks' penempatan dan pentadbiran. 
 
Ketika zaman kolonial British, puncak Bukit Kutu adalah stesen pemantauan tentera British. Namun ia terbengkalai setelah dibom oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua. 
 
Keseluruhan binaannya telah rosak dan runtuh serta ditumbuhi semak-samun dan pohon rimba. 
 
Kini, yang masih kekal hanyalah bahagian tiang, lantai, rangka bangunan dan tangga serta cerobong asap dan dua buah perigi lama yang salah satunya masih boleh digunakan dan masih terdapat sumber air di dalamnya. 
 
Bukit Kutu kini menjadi lokasi kembara berjalan kaki (hiking) atau pendakian yang semakin terkenal. Selain mencabar kekuatan fizikal dan minda, pendaki juga dapat melihat tinggalan sejarah itu. 
 
Jika mendaki pada awal pagi, berpeluang melihat awan karpet yang beralun, tiupan angin bayu sejuk dan sang suria mula menampakkan dirinya sedikit demi sedikit. 
 
Selain itu pendaki berpeluang melihat dengan jelas keindahan panorama alam semula jadi yang bertemankan kepelbagaian flora dan fauna.


Gambar: Tinggalan sejarah di Bukit Kutu

Sunday, 31 October 2021

POKOK RUMBIA MATI SELEPAS BERBUAH

  
Pokok rumbia atau juga dikenali pokok sagu mempunyai batang yang bersaiz besar dan tegap dengan tumbuh menegak sehingga mencapai ketinggian antara 10–12 meter.

Batangnya dilihat mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi. Daun pokok rumbia yang keras dan boleh tahan lama turut dijadikan atap.

Fakta menarik mengenai usia pokok rumbia ialah pokok matang akan berbunga yang mengambil masa kira-kira dua tahun. Selepas itu pokok itu akan mati. Dengan kata lain, kita dapat mengetahui pokok itu akan mati apabila tamat masa berbunga dan mengeluarkan buah yang akan menjadi benih.

Bagaimanapun tempoh ia matang bergantung kepada kesuburan tanah. Secara purata, pokok rumbia boleh dituai apabila menjangkau umur 12 hingga 13 tahun di tanah mineral dan 15 hingga 18 tahun di tanah gambut.

Pokok rumbia yang ditebang perlu diproses secepat mungkin bagi mengelak kemerosotan kandungan kanji, biasanya tidak melebihi dua hari selepas ditebang.

Pokok rumbia mempunyai batang yang besar, tegap, mencapai ketinggian antara 10 hingga 12 meter, mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi.
 
Gambar: Pokok rumbia di sebelah kanan itu telah mengeluarkan bunga. 

Thursday, 21 October 2021

SEJARAH IMUNISASI DI MALAYSIA

  
Imunisasi telah memberi kesan yang sangat besar kepada kesihatan kanak-kanak. Ia merupakan satu cara mencegah penyakit yang paling berkesan dan murah. 
 
Perkhidmatan imunisasi di Malaysia telah bermula semenjak zaman pemerintahan British pada tahun 1868. Pada masa itu, hanya imunisasi bagi mencegah cacar (smallpox) sahaja yang diberikan. 
 
Ia bermula di Negeri-negeri Selat dan diberikan oleh guru besar – guru besar Melayu di kawasan komuniti Melayu. Pada tahun 1950-an, imunisasi cacar diperluaskan ke seluruh negara. 
 
Dalam usaha kerajaan membasmi cacar pada masa itu, imunisasi telah diwajibkan dan mereka yang gagal mendapatkannya telah dikenakan denda sebanyak RM 1,000.00. 
 
Imunisasi ini telah berjaya menurunkan bilangan kes serta wabak cacar selepas itu sehingga cacar dapat dibasmi pada tahun 1980. 
 
Pada awal tahun 1990-an difteria dan tetanus pula diperkenalkan; penyakit yang mempunyai kadar kematian yang tinggi. 
 
Dengan perkembangan teknologi pada tahun 1961, imunisasi BCG bagi mencegah tuberculosis diberikan dalam usaha negara mengawal penyakit tersebut. 
 
Imunisasi poliomyelitis dimulakan pada tahun 1972 selepas wabak polio berlaku pada tahun sebelumnya. 
 
Pada tahun 1972 juga, Kementerian Kesihatan Malaysia memulakan Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan secara tersusun dengan kerjasama dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 
 
Sehingga kini, imunisasi yang diberikan kepada kanak-kanak di bawah Program Imunisasi KKM adalah bagi mencegah 12 jenis penyakit. 
 
Perkhidmatan ini diberi percuma di Klinik Kesihatan Kerajaan. Manakala perkhidmatan imunisasi yang diberikan oleh klinik dan hospital swasta meliputi lebih banyak penyakit. Walau bagaimanapun, pelanggan perlu membayar kos vaksin dan kos konsultasi.

Thursday, 14 October 2021

CABARAN HIKING BUKIT MARAGANG, KUNDASANG

 
Daerah Ranau di Sabah kawsan bergunung ganang. Gunung Kinabalu yang tertinggi di Asia Tenggara terletak di daerah Ranau. Selain, Gunung Kinabalu, ada beberapa lagi gunung atau bukit yang semakin mendapat perhatian peminat pendaki gunung.

Satu bukit yang semakin menggamit minat pendaki ialah Bukit Maragang. Bukit Maragang terletak di Kampung Mesilou, Kundasang Sabah.

Bukit Maragang bermaksud Bukit Monyet Merah iaitu sejenis monyet berwarna merah yang hidup di kawasan berkenaan. Ketinggian Bukit Maragang dari padari laut ialah 2232 meter. Satu ketinggian yang sebenarnya melayakkan untuk mendapat status gunung. 

Ketinggian Bukit Maragang sebenarnya lebih tinggi dari Gunung Tahan iaitu 2187 meter dari paras laut, gunung tertinggi di Semenajung. Namun, untuk maksud pendakian, ketinggian Bukit Maragang hanya sekitar 500 meter kerana ketinggian tempat mula mendaki sudah berada kedudukan yang tinggi.

Sebab itu, pendakian Bukit Maragang mudah dilakukan termasuk di kalangan kanak-kanak seawal usia bawah 7 tahun dengan diiringi orang dewasa.

Untuk mendaki Bukit Maragang perlu menggunakan guide atau malim gunung. Pendaki perlu membuat tempahan (Call/Walk-in) /mendaftar terlebih dahulu di Pejabat Pengurusan Mesilou Volunteer Club (MEVOC) .

Trek Maragang ini adalah di kategori sangat santai. Jarak pendakian hanya 2 kilometer. Masa pendakian sekitar 4 jam (turun dan naik) Permulaan 500 meter yang pertama ada trek yang bertar. Selepas itu pendakian akan melalui kawasan kebun-kebun kecil lebih kurang 300 meter sahaja.

Selepas itu barulah pendakian melalui kawasan hutan yang berlumut nipis. Treknya agak lembap disebabkan cuaca sejuk.

Kecuraman trek sekitar 45 hingga 55 darjah sahaja. Terdapat tanah mendatar di kawasan permatang. Apabila hampir sampai di punca, terdapat pelantar pandang yang dibina oleh komuniti setempat secara gotong royong.

Pemandangan indah dari kedudukan di pelantar pandang memang menakjubkan. Indah sekali pemandangan terutama melihat puncak Gunung Kinabalu yang dirasakan dekat.

Jika ingin berada lama di pucak sambil melihat pemandangan sekeliling, elok sampai awal pagi. Kebiasaannya, menjelang pukul 10.00 pagi, keadaan akan mula bertukar berkabus. Pemandangan menjadi terhad.

Sunday, 10 October 2021

KEDAI NUSUK KIASATINA KAMPUNG TANJUNG KUALA SABAK

  
Dinamakan ‘nusuk’ kerana kedudukannya agak tersembunyi dari pengetahuan orang ramai. Namun, setelah tular di media maya, nama Kedai Nusuk Kiasatina tidak lagi tersembunyi. 
 
Kedudukannya berhampiran dengan Pantai Nusuk, Tanjung Kuala Sabak menjadikan ia lebih laris dan menjadi kunjungan ramai. 
 
Kedai Nusuk Kiasatina menyediakan pelbagai makanan dan minuman dengan harga yang berpatutan. 
 
Antara menu istimewa di Kedai Nusuk Kiasatina ialah maggi ikan, udang, sotong dan tiram air asam. 
 
Bagi peminat celup tepung jangan risau, kedai tersebut juga menyediakan pelbagai jenis celup tepung. 
 
Lokasi berhampiran dengan pantai memberikan keistimewaan dapat menikmati makanan sambil menghayati keindahan alam.

Tuesday, 5 October 2021

IMAM ABU HANIFAH DISIKSA SEBAB TOLAK JAWATAN

Tahap keilmuaan dan kebijaksanaan Imam Abu Hanifah dikagumi. Selain itu, beliau juga dikenali dan dihormati disebabkan sikap tegasnya menolak kedudukan tinggi yang diberikan pemerintah kepadanya. 
 
Dia menolak pangkat dan menolak wang yang diberikan kepadanya. Akibat dari penolakannya itu dia ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Di dalam penjara dia diseksa, dipukul dan sebagainya. 
 
Gabenor di Iraq pada waktu itu berada di tangan Yazid bin Hurairah Al-Fazzari. 
 
Pernah pada suatu ketika Imam Abu Hanifah akan diangkat menjadi ketua urusan perbendaharan negara, tetapi perlantikan itu ditolaknya. 
 
Dia tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut. Sampai berulang kali Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya, namun tetap ditolaknya. 
 
Pada waktu yang lain Yazid menawarkan pangkat hakim, tetapi juga ditolaknya. Yazid tidak senang melihat sikap Imam Abu Hanifah, memusuhi pemerintah, kerana itu timbul rasa curiganya. 
 
Oleh kerana itu Abu Hanifah disiasat dan diancam akan dihukum dengan hukum dera. 
 
Ketika Imam Abu Hanifah mendengar kata ancaman hukum dera itu Imam Abu Hanifah menjawab: “Demi Allah, aku tidak akan menerima jawatan yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan.” 
 
Demikian beraninya Imam Abu Hanifah dalam menegakkan pendirian hidupnya. 
 
Pada suatu hari Yazid mengumpulkan para alim ulama ahli fiqh yang terkemuka di Iraq. Di antara mereka yang datang ketika itu adalah Ibnu Abi Laila, Ibnu Syblamah, Daud bin Abi Hind dan lain-lain. Kepada mereka, masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh gabenor. 
 
Ketika itu gabenor menetapkan Imam Abu Hanifah menjadi Ketua Sekretari Gabenor. Tugasnya adalah bertanggungjawab terhadap keluar masuk wang negara. Gabenor dalam memutuskan jawatan itu disertai dengan sumpah, “Jika Abu Hanifah tidak menerima pangkat itu nescaya dia akan dihukum dengan deraan.” 
 
Walaupun ada ancaman seperti itu, Imam Abu Hanifah tetap menolak jawatan itu, bahkan dia tetap tegas, bahawa dia tidak mahu menjadi pegawai kerajaan dan tidak mahu campur tangan dalam urusan negara. 
 
Kerana sikapnya itu, akhirnya ditangkap oleh gabenor. Kemudian dimasukkan ke dalam penjara selama dua minggu, dengan tidak dipukul. Lima belas hari kemudian baharu dipukul sebanyak 14 kali pukulan, setelah itu baharu dibebaskan. 
 
Beberapa hari sesudah itu gabenor menawarkan menjadi hakim, juga ditolaknya. Kemudian ditangkap lagi dan dijatuhi hukuman dera sebanyak 110 kali. 
 
Setiap hari didera sebanyak sepuluh kali pukulan. Namun demikian Imam Abu Hanifah tetap dengan pendiriannya. Sampai dia dilepaskan kembali setelah cukup 110 kali dicemati. 
 
Akibat dari pukulan itu muka dan seluruh badannya menjadi bengkak-bengkak. Hukuman cemati itu sengaja untuk menghina Imam Abu Hanifah. 
 
Walaupun demikian ketika Imam Abu Hanifah diseksa, dia sempat berkata. “Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman neraka di akhirat nanti.” 
 
Ketika dia berusia lebih dari 50 tahun, ketua negara ketika itu berada di tangan Marwan bin Muhammad. Imam Abu Hanifah juga menerima ujian. 
 
Pada tahun 132H, pemerintahan Bani Umaiyyah bertukar kepada Bani Abbasiyyah.  Khalifahnya bernama Abu Abbas as Saffah. 
 
Pada tahun 132H sesudah Abu Abbas meninggal dunia diganti dengan Khalifah Abi Jaafar Al-Mansur. Ketika itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap harum sebagai ulama besar yang disegani. Ahli fikir yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu persoalan. 
 
Suatu hari Imam Abu Hanifah mendapat panggilan dari baginda Al-Mansur di Baghdad, supaya dia datang mengadap ke istana. Sesampainya dia di istana Baghdad, dia ditetapkan oleh baginda menjadi hakim kerajaan Baghdad. 
 
Dengan tawaran tersebut, salah seorang pegawai negara bertanya: “Adakah guru tetap akan menolak kedudukan baik itu?” Dijawab oleh Imam Abu Hanifah “Amirul mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar sumpah saya.” 
 
Kerana dia masih tetap menolak, maka diperintahkan kepada pengawal untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad. 
 
Pada saat itu para ulama yang terkemuka di Kufah ada tiga orang. Salah satu di antaranya ialah Imam Ibnu Abi Laila. Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as Saffah telah menjadi mufti kerajaan untuk kota Kufah. 
 
Pada suatu hari Imam Abu Hanifah dikeluarkan dari penjara kerana mendapat panggilan dari Al-Mansur, tetapi dia tetap menolak. 
 
Baginda bertanya, “Apakah engkau telah suka dalam keadaan seperti ini?” 
 
Dijawab oleh Imam Abu Hanifah: “Wahai Amirul Mukminin semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin. Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah, janganlah bersekutu dalam kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada Allah. 
 
“Demi Allah saya bukanlah orang yang boleh dipercayai di waktu tenang, maka bagaimana saya akan dipercayai di waktu marah, sungguh saya tidak sepatutnya diberi jawatan itu.” 
 
Baginda berkata lagi: “Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai memegang jawatan itu.” 
 
Dijawab oleh Imam Abu Hanifah: “Amirul Mukminin, sungguh baginda telah menetapkan sendiri, jika saya benar, saya telah menyatakan bahawa saya tidak patut memegang jawatan itu. 
 
“Jika saya berdusta, maka bagaimana baginda akan mengangkat seorang maulana yang dipandang rendah oleh bangsa Arab. Bangsa Arab tidak akan rela diadili seorang golongan hakim seperti saya.” 
 
Pernah juga terjadi, baginda Abu Jaffar Al-Mansur memanggil tiga orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ats Tauri dan Imam Syarik an Nakhaei. 
 
Setelah mereka hadir di istana, maka ketiganya ditetapkan untuk menjawat pangkat tinggi dalam kerajaan, masing-masing diberi surat perlantikan tersebut. 
 
Imam Sufyan ats Tauri diangkat menjadi hakim di Kota Basrah, lmam Syarik diangkat menjadi hakim di ibu kota. Adapun Imam Abu Hanifah tidak mahu menerima perlantikan itu di manapun dia diletakkan. 
 
Perlantikan itu disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima jawatan itu akan didera sebanyak l00 kali deraan. 
 
Imam Syarik menerima jawatan itu, tetapi Imam Sufyan tidak mahu menerimanya, kemudian dia melarikan diri ke Yaman. Imam Abu Hanifah juga tidak mahu menerimanya dan tidak pula berusaha melarikan diri. 
 
Oleh sebab itu Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam penjara dan dijatuhi hukuman sebanyak 100 kali dera. Setiap pagi dipukul dengan cemati sementara dileher beliau dikalung dengan rantai besi yang berat. 
 
Suatu kali Imam Abu Hanifah dipanggil baginda untuk mengadapnya. Setelah tiba di depan baginda, lalu diberinya segelas air yang berisi racun. Dia dipaksa meminumnya. 
 
Setelah diminum air yang beracun itu Imam Abu Hanifah kembali dimasukkan ke dalam penjara. Imam Abu Hanifah meninggal dunia pada bulan Rejab 150H/767M dalam keadaan menderita di penjara ketika itu dia berusia 70 tahun (ada yang mengatakan 68 tahun). 
 
Dalam riwayat lain disebutkan bahawa beliau dipukul dalam penjara sehingga mati. Kematian tokoh ilmuan Islam ini amat dirasai oleh dunia Islam. Solat jenazahnya dilangsungkan 6 kali, setiapnya didirikan oleh hampir 50,000 orang jamaah.
 
Gambar salah satu pintu di Masjid Ar Rahman Pulau Gajah tiada kaitan dengan tulisan ini. Sekadar hiasan.

Thursday, 30 September 2021

POKOK KACANG LAUT TUMBUH SUBUR DI TEPI PANTAI

 
Pokok kacang laut atau juga dikenali pokok kacang pantai merupakan sejenis pokok menjalar yang terdapat di tepi pantai. Ia mempunyai bunga yang cantik bewarna ungu terang. Nama sainstifiknyanya adalah nama saintifik canavalia rosea daripada keluarga canavalia sp. 
 
Pokok kacang laut merupakan sejenis pokok perintis. Batangnya yang menjalar merebak dengan cepat dan membentuk tutup bumi, mendakan sampah-sarap yang terperangkap membantu pasir membentuk tanah yang stabil. 
 
Pokok kacang pantai tumbuh menjalar sehingga beberapa meter jauhnya dari akar. Ada yang menjalar sehingga melebihi 10 meter. Batang muda lembut dan menjadi keras apabila tua. 
 
Daunya agak tebal sesuai tumbuh di kawasan pantai. Dau pokok kacang laut berbau tengik. 
 
Memandangkan ia tumbuh menjalar dan bersilang antara satu sama lain, ia kelihatn seperti ‘semak’ memenuhi kawasan tepi pantai. 
 
Bahagian pokok yang boleh dimanfaatkan ialah bunga dan buah yang masih muda. Kedua-duanya boleh dijadikan kerabu dan disayur lemak. Ia juga boleh dijadikan ulam.
 
Namun, perlu diingatkan agar jangan tertukar pokok bunga kacang laut dengan pokok tapak kuda. Kedua-duanya hampir sama sekali pandang. 
 
Lokasi pokok ini tumbuh juga sama. Bunga pokok tapak kuda biasanya tidak dimakan. 
 
Bunga tapak kuda.