Tahap keilmuaan dan
kebijaksanaan Imam Abu Hanifah dikagumi. Selain itu, beliau juga dikenali dan
dihormati disebabkan sikap tegasnya menolak kedudukan tinggi yang diberikan
pemerintah kepadanya.
Dia menolak pangkat dan
menolak wang yang diberikan kepadanya. Akibat dari penolakannya itu dia
ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Di dalam penjara dia diseksa,
dipukul dan sebagainya.
Gabenor di Iraq pada waktu
itu berada di tangan Yazid bin Hurairah Al-Fazzari.
Pernah pada suatu ketika
Imam Abu Hanifah akan diangkat menjadi ketua urusan perbendaharan negara,
tetapi perlantikan itu ditolaknya.
Dia tidak mahu menerima
kedudukan tinggi tersebut. Sampai berulang kali Yazid menawarkan pangkat itu
kepadanya, namun tetap ditolaknya.
Pada waktu yang lain Yazid
menawarkan pangkat hakim, tetapi juga ditolaknya. Yazid tidak senang melihat
sikap Imam Abu Hanifah, memusuhi pemerintah, kerana itu timbul rasa curiganya.
Oleh kerana itu Abu Hanifah
disiasat dan diancam akan dihukum dengan hukum dera.
Ketika Imam Abu Hanifah
mendengar kata ancaman hukum dera itu Imam Abu Hanifah menjawab: “Demi Allah,
aku tidak akan menerima jawatan yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan
dibunuh oleh pihak kerajaan.”
Demikian beraninya Imam
Abu Hanifah dalam menegakkan pendirian hidupnya.
Pada suatu hari Yazid
mengumpulkan para alim ulama ahli fiqh yang terkemuka di Iraq. Di antara mereka
yang datang ketika itu adalah Ibnu Abi Laila, Ibnu Syblamah, Daud bin Abi
Hind dan lain-lain. Kepada mereka, masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh
gabenor.
Ketika itu gabenor
menetapkan Imam Abu Hanifah menjadi Ketua Sekretari Gabenor. Tugasnya adalah
bertanggungjawab terhadap keluar masuk wang negara. Gabenor dalam memutuskan
jawatan itu disertai dengan sumpah, “Jika Abu Hanifah tidak menerima pangkat
itu nescaya dia akan dihukum dengan deraan.”
Walaupun ada ancaman
seperti itu, Imam Abu Hanifah tetap menolak jawatan itu, bahkan dia tetap
tegas, bahawa dia tidak mahu menjadi pegawai kerajaan dan tidak mahu campur
tangan dalam urusan negara.
Kerana sikapnya itu,
akhirnya ditangkap oleh gabenor. Kemudian dimasukkan ke dalam penjara selama
dua minggu, dengan tidak dipukul. Lima belas hari kemudian baharu dipukul
sebanyak 14 kali pukulan, setelah itu baharu dibebaskan.
Beberapa hari sesudah itu
gabenor menawarkan menjadi hakim, juga ditolaknya. Kemudian ditangkap lagi dan
dijatuhi hukuman dera sebanyak 110 kali.
Setiap hari didera
sebanyak sepuluh kali pukulan. Namun demikian Imam Abu Hanifah tetap dengan
pendiriannya. Sampai dia dilepaskan kembali setelah cukup 110 kali dicemati.
Akibat dari pukulan itu
muka dan seluruh badannya menjadi bengkak-bengkak. Hukuman cemati itu sengaja
untuk menghina Imam Abu Hanifah.
Walaupun demikian ketika
Imam Abu Hanifah diseksa, dia sempat berkata. “Hukuman dera di dunia lebih
ringan daripada hukuman neraka di akhirat nanti.”
Ketika dia berusia lebih
dari 50 tahun, ketua negara ketika itu berada di tangan Marwan bin Muhammad.
Imam Abu Hanifah juga menerima ujian.
Pada tahun 132H, pemerintahan
Bani Umaiyyah bertukar kepada Bani Abbasiyyah. Khalifahnya bernama Abu
Abbas as Saffah.
Pada tahun 132H sesudah
Abu Abbas meninggal dunia diganti dengan Khalifah Abi Jaafar Al-Mansur. Ketika
itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap harum sebagai
ulama besar yang disegani. Ahli fikir yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu
persoalan.
Suatu hari Imam Abu
Hanifah mendapat panggilan dari baginda Al-Mansur di Baghdad, supaya dia datang
mengadap ke istana. Sesampainya dia di istana Baghdad, dia ditetapkan oleh
baginda menjadi hakim kerajaan Baghdad.
Dengan tawaran tersebut,
salah seorang pegawai negara bertanya: “Adakah guru tetap akan menolak
kedudukan baik itu?” Dijawab oleh Imam Abu Hanifah “Amirul mukminin lebih kuat
membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar sumpah saya.”
Kerana dia masih tetap
menolak, maka diperintahkan kepada pengawal untuk menangkapnya, kemudian
dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad.
Pada saat itu para ulama
yang terkemuka di Kufah ada tiga orang. Salah satu di antaranya ialah Imam Ibnu
Abi Laila. Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as Saffah telah menjadi mufti
kerajaan untuk kota Kufah.
Pada suatu hari Imam Abu
Hanifah dikeluarkan dari penjara kerana mendapat panggilan dari Al-Mansur,
tetapi dia tetap menolak.
Baginda bertanya, “Apakah
engkau telah suka dalam keadaan seperti ini?”
Dijawab oleh Imam Abu
Hanifah: “Wahai Amirul Mukminin semoga Allah memperbaiki Amirul
Mukminin. Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah, janganlah
bersekutu dalam kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada Allah.
“Demi Allah saya bukanlah
orang yang boleh dipercayai di waktu tenang, maka bagaimana saya akan
dipercayai di waktu marah, sungguh saya tidak sepatutnya diberi jawatan itu.”
Baginda berkata lagi:
“Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai memegang jawatan itu.”
Dijawab oleh Imam Abu
Hanifah: “Amirul Mukminin, sungguh baginda telah menetapkan sendiri, jika saya
benar, saya telah menyatakan bahawa saya tidak patut memegang jawatan itu.
“Jika saya berdusta, maka
bagaimana baginda akan mengangkat seorang maulana yang dipandang rendah oleh
bangsa Arab. Bangsa Arab tidak akan rela diadili seorang golongan hakim seperti
saya.”
Pernah juga terjadi,
baginda Abu Jaffar Al-Mansur memanggil tiga orang ulama besar ke istananya,
iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ats Tauri dan Imam Syarik an Nakhaei.
Setelah mereka hadir di
istana, maka ketiganya ditetapkan untuk menjawat pangkat tinggi dalam kerajaan,
masing-masing diberi surat perlantikan tersebut.
Imam Sufyan ats Tauri
diangkat menjadi hakim di Kota Basrah, lmam Syarik diangkat menjadi hakim di
ibu kota. Adapun Imam Abu Hanifah tidak mahu menerima perlantikan itu di
manapun dia diletakkan.
Perlantikan itu disertai
dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima jawatan itu akan
didera sebanyak l00 kali deraan.
Imam Syarik menerima
jawatan itu, tetapi Imam Sufyan tidak mahu menerimanya, kemudian dia melarikan
diri ke Yaman. Imam Abu Hanifah juga tidak mahu menerimanya dan tidak pula
berusaha melarikan diri.
Oleh sebab itu Imam Abu
Hanifah dimasukkan kembali ke dalam penjara dan dijatuhi hukuman sebanyak 100
kali dera. Setiap pagi dipukul dengan cemati sementara dileher beliau dikalung
dengan rantai besi yang berat.
Suatu kali Imam Abu
Hanifah dipanggil baginda untuk mengadapnya. Setelah tiba di depan baginda,
lalu diberinya segelas air yang berisi racun. Dia dipaksa meminumnya.
Setelah diminum air yang
beracun itu Imam Abu Hanifah kembali dimasukkan ke dalam penjara. Imam Abu
Hanifah meninggal dunia pada bulan Rejab 150H/767M dalam keadaan menderita di
penjara ketika itu dia berusia 70 tahun (ada yang mengatakan 68 tahun).
Dalam riwayat lain disebutkan
bahawa beliau dipukul dalam penjara sehingga mati. Kematian tokoh ilmuan Islam
ini amat dirasai oleh dunia Islam. Solat jenazahnya dilangsungkan 6 kali,
setiapnya didirikan oleh hampir 50,000 orang jamaah.
Gambar salah satu pintu di Masjid Ar Rahman Pulau Gajah tiada kaitan dengan tulisan ini. Sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment