Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatatkan satu lagi
detik bersejarah apabila tiga buah kapal miliknya iaitu Kapal Diraja (KD) Laksamana
Tun Abdul Jamil, KD Laksamana Tan Pusmah dan KD Pendekar secara rasmi
dilucutkan tauliah dalam satu istiadat penuh tradisi ketenteraan yang
berlangsung di Tambatan Pangkalan Lumut, Pangkalan TLDM Lumut, pada 5 Jun 2025
Istiadat penuh tradisi tentera laut tersebut telah
disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin
Ithnain.
Kemuncak acara adalah ketukan loceng dan penurunan gada-gada
bagi KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Laksamana Tan Pusmah dan KD Pendekar menjadi
simbolik penamatan tauliah dan status aktif kapal-kapal tersebut yang telah
banyak berjasa dalam menjaga kedaulatan perairan maritim negara.
Ketiga-tiga kapal yang dilucutkan tauliah itu telah terlibat
dalam pelbagai misi operasi dan eksesais sejak mula memasuki perkhidmatan. Ia termasuk
operasi rondaan perairan tempatan, pelaksanaan eksesais dalam negara dan
antarabangsa serta penugasan khas dalam misi bantuan kemanusiaan serta pelbagai
tugasan diplomasi pertahanan.
Pelucutan tauliah bagi ketiga-tiga kapal ini adalah
sebahagian daripada rancangan pemodenan armada TLDM, selaras dengan Program
Transformasi TLDM 15 ke 5.
Program ini diwujudkan bagi mendapatkan pulangan pelaburan
yang terbaik seiring dengan peningkatan keupayaan TLDM dalam memenuhi keperluan
mempertahankan kedaulatan serta integriti wilayah maritim negara.
Turut hadir dalam upacara hari ini adalah barisan pengurusan
tertinggi TLDM, mantan Pegawai Memerintah kapal, jemputan khas serta warga
terakhir yang berkhidmat di kapal-kapal tersebut.
Sumber teks/foto: BKS MPAB
Baca juga:
No comments:
Post a Comment