Monday 29 November 2021

UBI KELEDEK SEJENIS MAKANAN BERKANJI KAYA KHASIAT

   
Ubi keledek atau nama saintifiknya Ipomoea batatas merupakan sejenis makanan berkanji yang berasal dari keluarga Convolvulaceae
 
Dalam dialek Kelantan, ubi keledek dipanggil ubi setelo, memng terkenal di negeri bergelar Cik Siti Wan Kembang Tanah Rendah Sekebun Bunga itu. 
 
Antara ciri-ciri fizikal ubi keledek adalah mempunyai kulit berwarna coklat kasar dan isinya pula mempunyai pelbagai variasi warna seperti putih, jingga dan ungu. 
 
Ubi keledek banyak varieti sama ada tempatan atau luar negara. Ia bukan sahaja berbeza pada warna kulit dan isi, bahkan rasanya. 
 
Antara varieti baharu ialah keledek lembayung. Varieti luar negara yang terkenal ialah ubi keledek jepun dari Jepun dan ubi keledek cilembu dari Indonesia. 
 
Ubi keledek adalah tumbuhan yang mudah didapati di kawasan tropika dan beriklim sederhana. Di Malaysia, ubi keledek bukanlah sesuatu yang asing lagi malah ianya dikenali oleh hampir semua lapisan masyarakat dan usia. 
 
Ubi keledek sering dijadikan bahan utama dalam pembuatan kuih-muih tradisional seperti kuih keria, cek mek molek, cucur badak dan lain-lain. 
 
Ubi keledek juga sedap dimakan yang direbus atau pun digoreng. Di Kelantan, keledek goreng yang dipotong kecil dipanggil kaki ayam. 
 
Selain sedap dimakan, ubi keledek juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri. 
 
Antara komponen berkhasiat terdapat dalam ubi keledek ialah: 
 
Beta karoten. Beta karoten adalah salah satu komponen yang mempunyai sifat anti oksida yang boleh ditemui di dalam sayur-sayuran ataupun buah-buahan yang mempunyai warna jingga atau merah. 
 
Apabila makanan yang mengandungi beta karoten dihadam oleh badan, beta karoten akan ditukar ke dalam bentuk vitamin A di dalam badan. 
 
Riboflavin. Riboflavin atau nama lainnya vitamin B2 adalah sejenis vitamin larut air. 
 
Antara fungsi komponen ini adalah terlibat di dalam penghadaman karbohidrat, protein dan lemak yang akhirnya akan membekalkan tenaga kepada tubuh badan kita. 
 
Ianya juga penting kepada kesihatan kulit, sistem penghadaman, sel darah dan organ-organ utama. 
 
Niasin. Niasin atau juga dikenali sebagai vitamin B3 merupakan salah satu vitamin yang terkandung di dalam ubi keledek. Komponen ini merupakan sejenis vitamin yang larut air di mana ianya boleh disingkirkan oleh badan. 
 
Antara fungsi niasin adalah membantu dalam penghasilan tenaga, dan bersifat antioksida.
 

No comments:

Post a Comment