Thursday, 21 October 2021

SEJARAH IMUNISASI DI MALAYSIA

  
Imunisasi telah memberi kesan yang sangat besar kepada kesihatan kanak-kanak. Ia merupakan satu cara mencegah penyakit yang paling berkesan dan murah. 
 
Perkhidmatan imunisasi di Malaysia telah bermula semenjak zaman pemerintahan British pada tahun 1868. Pada masa itu, hanya imunisasi bagi mencegah cacar (smallpox) sahaja yang diberikan. 
 
Ia bermula di Negeri-negeri Selat dan diberikan oleh guru besar – guru besar Melayu di kawasan komuniti Melayu. Pada tahun 1950-an, imunisasi cacar diperluaskan ke seluruh negara. 
 
Dalam usaha kerajaan membasmi cacar pada masa itu, imunisasi telah diwajibkan dan mereka yang gagal mendapatkannya telah dikenakan denda sebanyak RM 1,000.00. 
 
Imunisasi ini telah berjaya menurunkan bilangan kes serta wabak cacar selepas itu sehingga cacar dapat dibasmi pada tahun 1980. 
 
Pada awal tahun 1990-an difteria dan tetanus pula diperkenalkan; penyakit yang mempunyai kadar kematian yang tinggi. 
 
Dengan perkembangan teknologi pada tahun 1961, imunisasi BCG bagi mencegah tuberculosis diberikan dalam usaha negara mengawal penyakit tersebut. 
 
Imunisasi poliomyelitis dimulakan pada tahun 1972 selepas wabak polio berlaku pada tahun sebelumnya. 
 
Pada tahun 1972 juga, Kementerian Kesihatan Malaysia memulakan Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan secara tersusun dengan kerjasama dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 
 
Sehingga kini, imunisasi yang diberikan kepada kanak-kanak di bawah Program Imunisasi KKM adalah bagi mencegah 12 jenis penyakit. 
 
Perkhidmatan ini diberi percuma di Klinik Kesihatan Kerajaan. Manakala perkhidmatan imunisasi yang diberikan oleh klinik dan hospital swasta meliputi lebih banyak penyakit. Walau bagaimanapun, pelanggan perlu membayar kos vaksin dan kos konsultasi.

No comments:

Post a Comment