Monday 20 December 2021

PERKARA 121 KUASA KEHAKIMAN

  
Perkara 121 berada di Bahagian 9 Perlembagaan Persekutuan yang mengkhususkan berkaitan penghakiman. Perkara 121 adalah kuasa kehakiman bagi Persekutuan. 
 
Perkara 121 (1A) secara khusus menyebut mengenai had bidang kuasa makamah sivil daripada mencampuri urusan mahkamah syariah. Ia berbunyi: Mahkamah-mahkamah yang disebut dalam Fasal 1 tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah. 
 
Maksud sebenar peruntukan itu ialah pengasingan kuasa dan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Ia satu penghormatan dan pengiktirafan kepada mahkamah syariah dan sekaligus satu hak istimewa kepada penganut agama Islam di Malaysia. 
 
Perlu dijelaskan, sebelum perubahan peruntukan ini, sering kali keputusan mahkamah syariah dicabar di mahkamah sivil terutama perkara yang mempunyai kaitan dengan bukan Islam seperti hak penjagan pasangan anak, harta pusaka dan sebagainya. 
 
Kes seumpama itu membayangkan bahawa kuasa mahkamah syariah terletak di bawah kuasa mahkamah sivil. Dengan adanya pengasingan secara khusus bidang kuasa dan hak mahkamah syariah, maka tidak ada apa-apa kes yang telah dibicarakan di mahkamah syariah diulang bicara di mahkamah sivil.  
 
Begitu juga, hal berkaitan kepentingan agama Islam dan penganutnya menjadi tanggungjawab mahkamah syariah mengendalikannya. Kedudukan istimewa ini membuktikan Islam mendapat tempat dan perlindungan yang sesuai dengan kedudukan sebagai agama Persekutuan.

No comments:

Post a Comment