Saturday 21 July 2018

USIA MUDA MULA BINA KEJAYAAN

Pesan bijak pandai, nikmat usia muda jangan dipersiakan. Umur muda hanya datang sekali dan sekejap saja. Banyak kelebihan usia muda yang mesti dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan hidup, di dunia dan akhirat. Permulaan kejayaan hidup apabila kita memanfaatkan kehidupan usia muda.      

Ketika usia muda jiwa lebih bersemangat dan waja. Kata orang tua, darah muda mudah mendidih yang membuktikan semangat yang membara mudah untuk melakukan apa saja. Semangat yang membara itu perlu digunakan untuk mencapai kebaikan dan mengelak diri daripada terlibat amalan tidak bermoral.     

Malang sekali apabila ada di kalangan golongan muda yang beranggapan kononnya usia muda adalah peluang untuk berseronok. Jadi, apa saja yang keinginan dilakukan tanpa berfikir panjang dan segala-galanya dirasakan hebat. Segala keinginan ingin ditunaikan untuk kepuasan.  

Malah ada yang berkata, masa muda peluang untuk melakukan apa saja tanpa memikirkan dosa dan pahala. Mereka berpendapat amat rugi jika pada usia muda tidak melakukan perbuatan dosa (maksiat hawa nafsu). Apabila umur sudah tua baru hendak buat pahala dan bertaubat. 

Kita kena sedar bahawa kematian tidak menunggu usia tua baru berlaku. Di sekeliling kita sentiasa berlaku kes kematian melibatkan individu yang masih muda. Seperti setandang kelapa, ada yang gugur ketika masih putik, masa muda, dan ada sampai ke tua. 

Sekarang ini ramai orang muda mati akibat kemalangan, penyakit berbahaya, dan tidak kurang akibat kesalahan sendiri seperti penagihan dadah yang membawa kepada penyakit Aids.

Perbuatan dosa menyebabkan golongan mudah lebih mudah menemui maut kerana ia sememangnya berbahaya. Sebab itu agama menegahnya. Islam mengharamkan umatnya melakukan perbuatan mendatangkan mudarat kepada diri sendiri dan orang lain.   

Jiwa muda yang bersemangat dan waja perlu dipacu ke arah kebaikan. Jangan tunggu usia tua baru ingin berusaha. Teori mengatakan usia lelaki bermula pada usia 40 tahun adalah dusta yang direka-reka untuk melekakan manusia. 

Hakikatnya, usia 40 sudah tiba masa menuai hasil, bukan baru hendak bermula. Memang kita dapati ramai orang mula beroleh kejayaan dalam hidup seperti mendapat pangkat, harta dan kedudukan yang baik apabila usia hampir atau melebihi 40 tahun.

Untuk berjaya memerlukan usaha yang lama. Mereka yang berjaya mungkin telah berusaha sejak usia awal 20an sebaik selepas tamat pengajian, iaitu lebih kurang 20 tahun. Bayangkan jika ketika berusia 40 tahun baru nak mula berusaha bersungguh-sungguh. Bilakah agaknya baru berjaya? Adakah ketika usia 60 baru hendak berjaya? Rasanya dah lewat benar.

Sebab itu golongan muda jangan bertangguh lagi untuk berusaha membina kehidupan yang lebih baik. Jika ingin merasai keseronakan hidup, berusahalah mengisi kehidupan ini dengan perkara berfaedah. Kepuasan akan lahir apabila kita menghargai masa dan beroleh apa yang diusahakan. Kebaikan yang dilakukan adalah santapan rohani paling lazat.

Individu yang membazirkan masa dengan berhibur, lepak, dan melakukan perbuatan dosa sebenarnya jiwanya tidak tenang. Kegembiraan sekadar nampak di luar sedangkan hakikatnya mereka menanggung derita batin. Orang melakukan perbuatan ditegah agama tidak akan menikmati kebahagiaan hidup yang sebenar.

Apa yang ditegah agama bermakna perkara buruk yang perlu dijauhi. Jika dilakukan, bukan sahaja dosa diperoleh, tetapi keburukan ditanggung di dunia ini. Orang tidak ikut hukum agama sebenarnya hidup dalam pura-pura. Mereka tidak menikmati kehidupan sebenar biarpun nampak gembira dan senang.

Lakukan perkara baik dan penuhi masa muda dengan melakukan perbuatan mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

No comments:

Post a Comment