Wednesday, 4 December 2024

CARA AGIHKAN BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR

 
Banjir satu ujian besar. Ujian kepada mangsa banjir dan pihak-pihak yang terlibat, termasuk penyumbang bantuan. Masa banjir adalah darurat. Biarpun sudah ada perancangan awal untuk menghadapinya, namun banyak yang tidak seperti dirancangkan. Semua yang terlibat perlu bersedia dengan segala kemungkinan dan bersabar.
 
Usaha membantu mangsa banjir bukan perkara mudah. Banyak halangan dan kesukaran yang dihadapi. Pihak berwajib dan sukarelawan telah berusaha melakukan yang terbaik. Kalau ada yang tidak sempurna dan tidak seperti diharapkan, jangan mudah menyalahkan pihak lain. Yang membantu telah melakukan sehabis baik. Sukarelawan melakukan tugas secara sukarela. Sanggup berkorban masa, tenaga dan tidak kurang wang ringgit.
 
Pihak yang diamanahkan mengagihkan bantuan pula janganlah ambil kesempatan untuk kepentingan diri. Ikut apa yang diarahkan atau dikehendaki penyumbang. Kalau kena agihkan semuanya, jangan pula hendak dicatu atau disimpan kononnya sebagai stok untuk hari lain. Bagilah kesemuanya. Untuk bekalan hari esok, insya-Allah akan ada penyumbang lain. Kalau ada penerima mendapat lebih, kira itulah rezekinya, atau carilah penerima lain tanpa menyimpan.
 
Disebabkan ada pihak tidak menagihkan terus, maka penyumbang atau yang diamanahkan mengagihkan kepada mangsa banjir, melakukan agihan itu secara terus kepada mangsa banjir. Itu dikira lebih amanah dan menepati kehendak penyumbang. Namun, ada juga keburukannya kerana adakala penerimanya adalah individu atau keluarga yang sama kerana tempatnya mudah dipergi atau dia jenis yang berusaha hendak mendapatkannya.
 
Ada yang mengadu tidak mendapat apa-apa sumbangan daripada pihak luar kerana kedudukan rumah yang jauh dan sukar untuk sampai. Begitu juga dengan PPS yang tidak dikunjungi penyumbang.
 
Ada penyumbang hanya mampu bagi sedikit sahaja. Jadi, kepada penerima yang banyak di PPS, jangan berebut. Berilah peluang kepada yang lebih layak. Jangan pula timbulkan kekecohan atau tidak puas hati. Terimalah seadanya. Insya-Allah yang belum dapat akan ada rezeki selepas itu. Kalau keadaan ini berlaku, mungkin penyumbang akan serik dan tidak akan lagi melakukan pada kesempatan lain.  

No comments:

Post a Comment