Friday, 19 March 2021

GUNA NAMA SEBENAR DI MEDIA SOSIAL

 
Media sosial menjadi medan ‘permainan’ masyarakat kini. Dunia dianggap kosong tanpa kemudahan alat komunikasi elektronik yang dapat menghubungkan manusia tanpa batasan di seluruh dunia.   
 
Media sosial membolehkan individu atau organisasi berkongsi gambar dan tulisan. Tentu ada sebab tertentu mengapa ia dikongsikan kepada umum. 
 
Pun begitu, yang tidak menyenangkan ialah apabila ada komen warganet berhubung tulisan atau gambar yang dipaparkan di media sosial dilakukan secara tidak wajar. 
 
Fenomina ini dilihat semakin menjadi-jadi. Penyakit tidak senang hati atau iri hati atau lebih tepat penyakit 'jiwa kacau' di laman sosial menjadi wabak yang semakin parah. 
 
Perhatikan apabila sesuatu gambar dikongsi, pasti akan ada komen yang secara tidak sedar menonjolkan sifat dan identiti si penulis atau pengguna media sosial itu sendiri. 
 
Pelbagai reaksi dapat dilihat sama ada yang memberikan sokongan dan tidak kurang hebatnya juga yang memberi kecaman. 
 
Komen ejekan atau berunsur negatif untuk perkongsian yang lain turut mengundang tekanan emosi dan boleh menjadi lebih parah sehingga berlaku kejadian bunuh diri, sekiranya perkara ini gagal dibendung. 
 
Pihak yang memberi komen itu tiada hubungan atau kaitan dengan pihak yang menaik turun gambar atau tulisan tersebut. Mereka memberi komen tanpa memahami atau mengetahui perkara sebenar berkaitannya. 
 
Pihak memberi komen berselindung di sebalik nama samaran. Gambar wajah juga menggunakan gambar orang lain atau bukan wajah manusia. Penggunaan gambar wajah palsu membuktikan masalah pemikiran yang keliru dan tidak yakin dengan gambar wajah sendiri. 
 
Individu menggunakan nama samaran dan gambar wajah palsu sebenarnya bersifat penakut dan tiada jati diri. Sepatutnya kita perlu berani dengan nama dan wajah sebenar. 
 
Berselinding di sebalik nama palsu dan gambar wajah palsu inilah menjadikan salah satu punca penyakit jiwa kacau di media sosial. Mereka bertindak seperti dirasuk syaitan memberi komen dan menulis status yang tidak sewajarnya. 
 
Kita perlu mendidik pengguna media sosial agar lebih bertanggungjawab menggunakan nama dan gambar wajah sebenar. Mereka perlu berbangga dengan nama yang diberikan oleh ibu bapa dan gambar wajah yang memperkenalkan dirinya yang sebenar.

No comments:

Post a Comment