Ketika Makkah ditawan
tentera Islam pada tahun kelapan Hijrah atau dikenali tahun Pembukaan Makkah,
pemegang kunci Kaabah ketika itu ialah Usman Abi Talhah yang ketika itu belum
memeluk Islam.
Bagi
membolehkan Rasulullah SAW memasuki Kaabah, Ali Abi Talib mengambil kunci itu
secara paksa daripada tangan Usman. Tindakan itu dibantah oleh Usman dengan
katanya: “Kalau aku mengakui kerasulan Muhammad, sudah tentu aku sendiri yang
akan menyerahkan ke tangan beliau.”
Namun
bantahan itu tidak diendahkan. Kunci itu diambil secara paksa. Apabila dicuba
membuka pintu Kaabah menggunakn kunci itu, itu tidak berjaya, sedangkan itulah
kunci yang biasa digunakan ketika itu untuk membukanya.
Ketika para sahabat terus
berusaha untuk membukanya, lalu Jibrail turun menemui Rasulullah SAW dan
menyampaikan wahyu yang bermaksud: 'Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan apabila menetapkan
hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” (Surah an-Nisa, ayat
58)
Lalu
Rasulullah SAW segera mengembalikan kunci itu ke tangan Usman yang menyambutnya
dengan penuh kehairanan lantas bertanya: “Kenapa pulangkan kunci ini, walhal
engkau telah berkuasa dan kota ini sepenuhnya berada di bawah kekuasaan engkau.”
Lalu
dijawab oleh Rasulullah SAW dengan membaca firman Allah SWT yang baru diterima
dari Jibrail itu.
Tertarik
dengan keadilan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan mengakui bahawa apa
yang didengar itu benar dari Allah SWT, Usman segera memeluk Islam dan menerima
kembali kunci itu daripada tangan Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW kemudian
bersabda: “Peganglah kunci itu untuk selama-lamanya.”
Turut
menyertai Usman memeluk Islam ialah seluruh ahli keluarganya. Maka itu, kunci
pintu Kaabah terus dipegang oleh keturunan Bani Syaibah sehingga sekarang.
Allah melarang berdebat dan membela orang yang khianat. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah engkau berdebat membela orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat lagi bergelumang dosa.” (Surah An-Nisa, ayat 107).
Perbuatan khianat juga memberikan kesan yang amat dahsyat kepada sesiapa sahaja yang dikhianati tanpa mengira individu ataupun organisasi.
No comments:
Post a Comment