Wednesday 30 May 2018

KELIP-KELIP SEJENIS SERANGGA BERCAHAYA

 
Kelip-kelip atau dikenali sebagai kunang-kunang ialah sejenis serangga bersayap kategori kumbang yang dikenali sebagai Coleopetra.  
 
Kunang-kunang mengeluarkan cahaya yang berkelip-kelip pada waktu malam berwarna kuning, hujau atau merah muda di bawah abdomen yang tidak bersuhu dengan panjang gelombang 510 – 670 nanometer. 
 
Kelip-kelip yang berterebangan di bahagian pokok akan menjadikan pokok itu seperti pokok krismas yang dipenuhi dengan lampu kelip-kelip.
 
Tempoh jangka hayat kelip-kelip dewasa sangat singkat iaitu antara satu hingga dua minggu. Hidup mereka lebih pada melakukan pembiakan bagi kelangsungan populasi.
 
Cahaya yang keluar daripada kelip-kelip sebenarnya bertindak sebagai penunjuk-bio (bioindicator). Ia dikeluarkan oleh serangga jantan sebagai menarik perhatian sang betina.  
 
Sebagai tanda persetujuan terhadap ajakan sang jantan, kelip- kelip betina menyambutnya dengan mengelipkan cahaya juga. 
 
Kelip-kelip hidup di habitat yang mempunyai banyak pokok berembang. Pokok berembang atau gelaran saintifiknya, Sonneratia Caseolaris merupakan tanaman bakau yang tumbuh liar di tebing sungai.
 
Daun berembang yang jatuh ke sungai akan menjadi makanan siput. Manakala kelip-kelip pula akan menjadikan daun yang dimakan oleh siput itu tempat untuk bertelur.
 
Pada masa yang sama, kelip-kelip itu juga menjadikan pokok berembang sebagai tempat untuk membiak dan penting sebagai habitat.
 
Jadi, untuk mengekalkan habitat semulajadi kelip-kelip, usaha menanam atau menambah bilangan pokok berembang dilakukan pihak berkuasa, pihak swasta dan badan bukan kerajaan.
 
Namun, bukan semua tempat ada pokok berembang, maka ada kunang-kunang.
 
Di negara kita hanya beberapa tempat sahaja yang dikenali sebagai lokasi habitat kunang-kunang dalam jumlah yang banyak.  
 
Antara lokasi tersebut ialah Kampung Pulau, Kubang Kerian, Kelantan; Kota Tinggi, Johor; Cheranting, Kuantan dan Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

No comments:

Post a Comment