Wednesday 30 May 2018

SUNGAI LUBUK DURIAN LOKASI LIHAT KELIP-KELIP

Di Kota Bharu ada tempat kelip-klip? Itulah kata-kata terkejut seorang kawan apabila diberi tahu di Kota Bharu (dalam daerah atau jajahan) ada lokasi melihat klip-klip yang telah terkenal di kalangan pelancong asing.

Lebih tepat, lokasi yang dimaksudkan ialah Taman Kelip-Kelip, Kampung Pulau yang terletak di Kubang Kerian. Jaraknya kira-kira 8 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu.

Pengunjung akan dibawa menyusuri Sungai Lubok Durian sambil melihat keindahan cahaya kelip-kelip atau dikenali juga kunang-kunang pada pokok berembang sepanjang laluan sungai. Waktu terbaik melihat panorama indah cahaya kelip-kelip adalah sekitar pukul 8 hingga 11 malam.

Jutaan kelip-kelip menjadikan pokok berembang yang tumbuh di tepi pulau itu sebagai habitat mereka dilihat umpama pohon bercahaya yang berkelipan sepanjang malam.

Ternyata ia boleh dijadikan sebagai salah satu aktiviti waktu malam yang cukup indah dengan ditemani cahaya bulan dan kelipan cahaya kelip-kelip yang menggamit suasana malam.

Dikatakan hanya terdapat beberapa tempat di dunia ini yang mempunyai keajaiban misteri kelip-kelip dan kewujudannya yang terletak dipinggir bandar utama negeri Kelantan ini telah menambah satu lagi lokasi menarik yang harus dikunjungi.

Terdapat pengusaha menyediakan kemudahan bot untuk pengunjung menyusuri Sungai Lubok Durian untuk melihat aksi kelip-kelip. Daripada bot yang disediakan, pengunjung berpeluang melihat keajaiban kelip-kelip secara dekat di mana kelip-kelip akan berkeliaran dan berkelipan sepanjang malam.

Pada waktu hujan dan bulan terang, pengunjung tidak akan dapat menikmati cahaya kelip-kelip kerana pada waktu tersebut, haiwan tersebut tidak mengeluarkan cahaya. Waktu yang terbaik untuk melihat kelip-kelip adalah pada musim kemarau iaitu bermula Februari hingga Oktober.

No comments:

Post a Comment