Friday, 8 May 2026

SULTAN ISMAIL IBNI SULTAN MUHAMMAD IV (SULTAN KELANTAN 920-1944)

 
Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad IV adalah Sultan Kelantan ke-8, memerintah dari tahun 1920 hingga 1944. Banginda merupakan putera kepada Sultan Muhammad IV Ibni Sultan Muhammad III, iaitu Sultan Kelantan ke-7, yang memerintah antara tahun 1900 sehingga 1920).

Baginda telah diputerakan pada tanggal 20 Ogos 1885 di Kota Bharu, Kelantan. Baginda menaiki takhta pada tahun 1920 selepas kemangkatan ayahandanya dan memerintah sehingga tahun 1944.

Pemerintahan baginda berlaku ketika Kelantan berstatus Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Unfederated Malay States), iaitu selepas termeterainya Perjanjian Anglo-Siam 1909 yang telah menyerahkan Kelantan daripada pengaruh Siam kepada naungan British.

Sultan Ismail telah berkahwin dengan beberapa orang kerabat di raja antaranya Tengku Ampuan Petri binti Tengku Long Besut; Tengku Meriam (Ku Enda) Tengku Ahmad; Tengku Nik; Wan Mek-Bukit Marak.

Sultan Ismail merupakan antara pemerintah Kelantan yang memainkan peranan yang sangat penting dalam era peralihan negeri itu daripada pengaruh Siam kepada pentadbiran British secara lebih tersusun.

Pemerintahan baginda berlaku ketika Kelantan sedang mengalami perubahan besar dari sudut politik, ekonomi, pentadbiran tanah dan campur tangan kuasa asing, khususnya British serta syarikat-syarikat konsesi Eropah seperti Duff Development Company.

Walaupun sultan masih menjadi ketua negeri, namun sistem pentadbiran semakin dipengaruhi oleh British melalui jawatan Penasihat British. Penasihat mempunyai kuasa besar dalam urusan kewangan, pentadbiran tanah, perlombongan, pembangunan infrastruktur dan hubungan luar negeri.

Pada zaman Sultan Ismail, British mula memperkukuh sistem birokrasi moden, pentadbiran tanah, cukai, undang-undang, jaringan jalan dan kereta api, serta pendidikan Inggeris.

Antara institusi terkenal yang lahir ketika era baginda ialah Maktab Sultan Ismail yang diasaskan pada tahun 1936 dan dinamakan sempena nama Baginda. Sekolah tersebut kekal sehingga sekarang.

Baginda telah mangkat pada 20 Jun 1944 pada usia 58 tahun. Pengganti baginda adalah Sultan Ibrahim Ibni Sultan Muhammad IV, iaitu adinda baginda.

No comments:

Post a Comment