Syaitan akan mengganggu dan menggoda sesiapa
sahaja. Diriwayatkan Nabi Musa pernah
didatangi syaitan dan berlakulah dialog berikut.
Syaitan berkata: “Wahai Musa, engkaulah yang
dipilih Allah untuk membawa risalah-Nya dan engkaulah yang sentiasa berkata
benar. Aku salah satu makhluk berdosa dan
ingin bertaubat. Mohonkanlah kepada
Tuhan agar diberikan taubat kepadaku.”
Lantas Nabi Musa memohon kepada Allah dan
diperkenankan, lalu baginda menemui syaitan.
Kata Nabi Musa: “Hai syaitan, engkau diperintahkan sujud hormat kepada
kubur Nabi Adam dan selepas itu, barulah taubatmu diterima Tuhan.”
Mendengar nama Nabi Adam, syaitan menjadi naik
marah. Lalu syaitan berkata: “Sewaktu
Adam masih hidup, aku tidak sujud, inikan pula sudah dia mati. Hai Musa, sesungguhnya engkau berhak menerima
balasan daripada aku kerana engkau sudah memohon syafaat kepada Allah buat
pengampunanku. Namun, ingatlah wahai
Musa mengenai tiga perkara nescaya aku tidak membuat kebinasaan ke atasmu.
Lantas Nabi Musa bertanya: “Apakah tiga perkara
itu.”
Lalu syaitan menjelaskan: “Pertama, ingatlah
ketika kau sedang marah, aku akan membawa bisikan ke dalam hatimu. Mataku akan berada dalam matamu dan aku
berjalan dalam tubuhmu menurut perjalanan darah.”
Tambah syaitan lagi: “Ketika kau bertempur di medan perang menghadapi musuh,
aku akan datang mengingatkanmu kepada anak, isteri dan keluarga agar berundur
secara teratur.”
Untuk yang ketiganya, syaitan berkata:
“Berhati-hatilah duduk dengan perempuan yang bukan muhrim kerana aku akan
menjadi penghubung antara kau dan perempuan itu dan antara perempuan itu dengan
engkau.”
Untuk menghindari daripada terkena hembusan tipu
daya syaitan, Rasulullah bersabda bermaksud: “Bacalah surah al-Falak dan surah
an-Nas tiga kali apabila kamu berada pada waktu pagi dan tiga kali apabila kamu
berada pada waku petang supaya kamu terpelihara dan terselamat daripada segala
bahaya bencana.” (Hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Nasai).
No comments:
Post a Comment