Monday 21 October 2019

ENAM CARA MENGHADAPI BERITA FITNAH


Seseorang mukmin dilarang tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita yang disebarkan atau jangan terlalu cepat menafikannya sebelum menyelidiki terhadap kebenaran sesuatu berita itu. Ini semata-mata untuk mengelak daripada melakukan kesalahan di atas kesamaran.

Maksudnya, kerana sikap tergesa-gesa membuat keputusan yang tidak baik berdasarkan sesuatu berita disebarkan, menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman, padahal ia tidak melakukan kesalahan pun. Dalam hal ini jelas berlaku penganiayaan dan kezaliman.

Selain itu, ada beberapa panduan menghadapi berita fitnah. Abu Laith al-Samarqandiy berkata, “Kamu harus menghadapi berita fitnah dengan enam cara.

Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kamu harus mencegah daripada fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib.

Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa. Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang difitnah itu, sebab buruk sangka terhadap sesama Muslim hukumnya haram.

Kelima, jangan kamu selidiki keadaan orang yang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang dan yang keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah yang disebarkan itu.”

Justeru, kita seharusnya beringat, dalam usaha menolak sebarang berita fitnah jangan pula sampai kita membuat fitnah terhadap si pembawa atau pembuat fitnah itu. Kita harus menjaga perpaduan sesama umat Islam dan bangsa lain.

Perbuatan memfitnah jelas dilarang oleh syariat Islam. Maka kita hendaklah berusaha menghindari berbuat fitnah. Fitnah jika dibiarkan akan terus melekat di hati seseorang.

No comments:

Post a Comment