Wednesday, 17 December 2025

KESANGGUPAN UNTUK BEKERJA

 
Dalam banyak situasi, kelulusan bukan menentukan kemampuan bekerja. Kelulusan sekadar dijadikan lambang kecemerlangan akademik dan membentuk keyakinan diri. Kejayaan sebenar ialah kemampuan melaksanakan tanggungjawab dalam tugas masing-masing.
 
Bagi kerjaya bukan profesional yang tidak melibatkan kawalan badan profesional, majikan lebih menitikberatkan pengalaman. Pekerja baru diambil berdasarkan kepada potensi kemampuan diri. Kelulusan akademik sekadar membuktikan tahap pengajian.  
 
Dalam hal ini, banyak jawatan penting dalam syarikat bersaiz sederhana dipegang oleh pekerja berpengalaman, biarpun tidak mempunyai kelulusan tinggi. Ini bermakna graduan yang baru tamat pengajian terpaksa bersaing dengan pekerja berpengalaman untuk mengisi jawatan itu.
 
Memang, jika tidak diberi peluang, bilakah graduan akan memperoleh pengalaman. Sebenarnya, inilah hakikat yang perlu diterima, yakni bekerja dahulu dari peringkat rendah. Jika graduan mampu membuktikan kemampuan bekerja di peringkat rendah, tidak ada sebab mengapa mereka tidak mampu meningkat berdasarkan pengalaman dan kelulusan yang dimiliki. 
 
Selepas memiliki pengalaman, jika tidak ada peluang kenaikan jawatan di tempat itu disebabkan jawatan terhad, mereka boleh memohon kerja di tempat baru. Mereka boleh mengemukakan pengalaman berkerja untuk dinilai oleh bakal majikan baru.
 
Sebenarnya peluang pekerjaan masih banyak. Sebagai contohnya, lulusan bidang perakaunan sepatutnya tidak menganggur. Negara masih memerlukan berpuluh ribu lulusan perakaunan untuk memegang jawatan akauntant, auditor, eksekutif syarikat dan pengurus. 
 
Tetapi, mengapakah lulusan tersebut juga menganggur? Jawapannya mudah. Kebanyakan syarikat, dan firma perakaunan mementingkan pengalaman untuk mengambil pekerja baru. Jawatan berkaitan perakaunan dan pengurusan kos amat penting. Kemampuan akauntant menentukan kejayaan syarikat.      
 
Sebenarnya boleh dikatakan semua bidang kerjaya profesional tidak terus memberi gaji yang tinggi kepada pekerja baru. Mereka profesional, jadi perlulah terlebih dahulu membuktikan kemampuan. Piawaian profesional amat tinggi.   
 
Untuk memperoleh kemahiran, mereka perlu melalui latihan di lapangan sebelum disahkan jawatan. Gaji permulaan yang ditawarkan juga reletif rendah. Malah, dalam kes tertentu mereka terpaksa mengambil peperiksaan disediakan badan khas.
 
Keadaan inilah dianggap membebankan oleh kebanyakan graduan. Sebab itu, awal-awal lagi mereka tidak mahu menyertai kerjaya profesional. Mereka menjadi golongan elit di universiti mengikuti kursus bertaraf profesional, tetapi minda mereka masih di tahap amatur.
 
Disebabkan tidak mampu menghadapi cabaran kerjaya di sektor swasta, kebanyakan siswazah mengharapkan menyertai sektor kerajaan. Sedangkan, bilangan jawatan amat terhad.
 
Justeru, graduan perlu berubah ke bidang yang masih memerlukan banyak pekerja seperti bidang insurans, jualan langsung, perniagaan, pertanian, perikanan dan sebagainya. Bidang berkenaan memberi pendapatan lumayan berbanding di sektor kerajaan.
 
Pendapatan menyertai bidang insurans dan jualan langsung dalam tempoh beberapa tahun boleh mencapai pendapatan seorang pengarah agensi kerajaan yang hanya mampu dicapai pegawai kerajaan yang telah hampir sampai tempoh pencen. 
 
Apa yang penting ialah kesanggupan bekerja dan membuktikan kemampuan dalam akademik seiring dengan kemampuan sebenar dalam kerjaya.

No comments:

Post a Comment