Thursday 10 October 2024

PELUK ISLAM BUKAN MASUK MELAYU

 
Di Malaysia apabila disebut Melayu maka dia adalah Islam. Maka, bila disebut Islam pula maka dikatakan Melayu. Kita kena faham betul tentang perkara ini. Memang betul Melayu itu Islam, kerana seseorang Melayu yang bukan Islam akan hilang kelayakannya untuk menjadi Melayu. Jadi, Melayu itu mesti Islam. 
 
Ketetapan ini terkandung dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu' sebagai seseorang yang ber­agama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.
 
Tetapi, tidaklah pula ada mana-mana Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang Islam itu mesti Melayu. 
 
Dengan kata lain, adalah salah untuk mengkhususkan perspektif Islam di Malaysia hanya dari sudut 'kemelayuan' semata-mata. Ini kerana, penganut Islam di Malaysia bukan hanya terbentuk daripada kelompok Melayu sahaja.
 
Berdasarkan statistik 2024, bangsa Melayu merupakan 58 peratus daripada penduduk Malaysia yang telah mencecah 34 juta orang. Sedangkan peratusan penganut agama Islam di Malaysia adalah kira-kira 63 peratus.
 
Dengan kata lain, terdapat kira-kira lima peratus orang Islam di Malaysia adalah bukan daripada kalangan orang Melayu. Justeru, perbincangan mengenai Islam di Malaysia tidak wajar dieksk­lusifkan dari perspektif Melayu sahaja.
 
Islam perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih inklusif menjangkau sempadan kaum sesuai dengan sifatnya sebagai rahmat kepada sekalian alam.
 
Namun, tidak dinafikan Melayu dan Islam itu amat rapat di Malaysia. Kebanyakan orang Islam bukan keturunan Melayu pada dasarnya sudah kelihatan seperti orang Melayu. 
 
Mereka hidup dalam masyarakat Melayu sesuai dengan saudara seagama. Perhubungan dalam hal-hal keagamaan dan melakukan amalan yang sama berkaitan Islam menjadi mereka seperti Melayu. Tambahan, Melayu yang ada pada hari ini pada hakikatnya bukan Melayu jati. Mereka memenuhi Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi Melayu, sedangkan bukan keturunan Melayu asli. Inilah uniknya Melayu.
 
Kembali kepada isu bukan Melayu yang memeluk Islam menjadi seperti Melayu memang tidak dapat dinafikan. Lebih-lebih lagi apabila mereka berkahwin dengan pasangan Melayu. Mereka akan hidup dalam keluarga Melayu. Jadi segala yang berkaitan dengan Melayu akan menjadi sebahagian daripada indentiti mereka.
 
Mungkin, fakta itulah yang menyebabkan orang beranggapan memeluk Islam itu sebagai masuk Melayu.


No comments:

Post a Comment