Sunday, 29 September 2024

SEMUA HAIWAN HIDUP DI AIR HALAL DIMAKAN

 
Pada asasnya, haiwan air dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ikan halal untuk dimakan tanpa perlu disembelih atau mati cara mana sekalipun.  
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepada-Nya kamu akan dihimpunkan.” (Surah al-Maidah, ayat  96)
 
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar yang bermaksud: “Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini.
 
Bagi kategori ini, Imam Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan.
 
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi garis panduan dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air.
 
Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram untuk memakannya.

No comments:

Post a Comment