Cara dan bahasa percakapan
seseorang mencerminkan nilai keperibadian dan memberi gambaran keseluruhan
kehidupan yang dilaluinya. Oleh hal demikian, individu
yang bijak sentiasa menjaga tutur katanya agar tidak dinilai sebagai kurang
sopan, tidak bijak dan gambaran buruk lain.
Malangnya terdapat individu
yang tidak berhati-hati ketika bercakap seperti tidak berasa apa-apa kesalahan
mengeluarkan perkataan itu walaupun sedar perbuatan itu menyinggung perasaan
atau mendatangkan keburukan kepada individu lain.
Tidak keterlaluan dikatakan
ada yang berbangga apabila dilabelkan mempunyai gaya percakapan buruk atau
dikatakan ’tidak sayang mulut’
Individu yang menuturkan
perkataan tidak baik berasa dirinya hebat dan tidak takut akan implikasi
perbuatan itu kerana yakin tidak ada pihak lain yang akan berani menyanggahnya. Atau
jika ada pihak lain mempertikaikan perbuatannya, akan ada pula pihak sealiran
yang mempunyai kepentingan sama akan mempertahankannya.
Ada juga pihak yang
menggunakan kedudukan atau pengetahuan dalam undang-undang dijadikan alasan
bahawa apa yang diucapkan itu tidak salah atau tidak boleh dipersalahkan.
Inilah yang diingatkan oleh
Rasulullah melalui sabda yang bermaksud: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang
penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai)
dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat
dan dikhianati orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan
al-ruwaibhidhah”. Lalu baginda ditanya siapakah golangan al-ruwaibhidah? Maka
baginda menjawab: “Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan
perkara umum yang besar.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).
Inilah yang
dikatakan politik dalam agama yang mengingatkan agar bertanggungjawab, bukan
memecah belah ummah dengan maki hamin, mencaci, melabel orang dengan perkataan
atau gambaran buruk disebabkan tidak sehaluan dengan kehendak hati kerana ingin
mengejar keduniaan.
Setiap individu sewajarnya
mengambil berat aspek ketelitian percakapan sebagai lambang peribadi yang
murni. Hakikatnya, tiada orang yang suka akan mereka yang gemar bercakap lepas
dan tidak memikirkan perasaan serta kesannya kepada orang lain.
Gambar sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment