Sudah biasa golongan muda tinggalkan Kelantan
kerana mencari peluang pekerjaan di luar Kelantan yang lebih baik. Jadi tidak
pelik jika majoriti golongan muda Kelantan berada di luar Kelantan. Mereka yang
tinggalkan Kelantan bukan sahaja untuk menjadi pekerja kilang yang terdapat di
luar Kelantan, tetapi juga banyak di kalangan tenaga profesional
Kelantan secara tradisinya banyak
melahirkan pelajar cemerlang setiap tahun. Malangnya, apabila berkerjaya,
mereka tidak berkhidmat di Kelantan. Mereka memilih mencurahkan kemahiran dan
kepakaran di negeri lain.
Itu kisah golongan muda berhijrah keluar
dari Kelantan. Sekarang ada pula kes golongan tua juga turut berpindah keluar
dari Kelantan. Biarpun kes tidak ketara atau tidak banyak, ia sudah berlaku dan
jumlahnya semakin bertambah.
Mengapa perkara ini terjadi? Adakah
golongan tua ingin mencari kerja atau terpaksa menagih rezeki di negeri lain?
Jawapan mudah. Mereka bukan ingin mencari
rezeki, sebaliknya ingin berada dekat dengan anak. Seperti telah dijelaskan,
banyak golongan muda dari Kelantan berada di luar Kelantan dan sebahagian
daripada mereka tidak bercadang atau tidak berpeluang untuk mencari rezeki di
Kelantan.
Ada ibu bapa yang mempunyai sehingga lima
atau enam anak, tetapi semuanya berada di luar Kelantan. Hendak menantikan
kepulangan anak, menantu dan cucu, mereka masing-masing sibuk. Jadi, cara terbaik
ialah ibu bapa berpindah tinggal bersama dengan anak.
Inilah yang berlaku sekarang. Mereka yang
sudah pencen memilih untuk tinggal bersama anak di luar Kelantan. Rumah
ditinggal kosong dan tidak diberikan sewa atau dijual kerana jarang-jarang
sekali ingin balik dan tinggal di Kelantan.
Jika keadaan ini berterusan, pada masa akan
datang Kelantan akan semakin sunyi dan tradisi Kelantan yang hebat akan hilang
begitu sahaja.
No comments:
Post a Comment