Sunday, 26 June 2022

POKOK BUNGA PAGODA MUDAH TUMBUH

  
Pokok bunga pagoda, namanya dikenali sedemikian disebabkan rupa bunga yang seakan bentuk pagoda. Tumbuhan ini mempunyai ciri bunga yang menarik. 
 
Bunganya bergugus serta bertingkat-tingkat hampir serupa dengan bunga semarak api. Bezanya ia tidak mempunyai janggut panjang. Bunga berbentuk tiub dengan panjang 1.3 cm setiap satu. Bunga dengan lima kelopak ini mempunya stamen dan stail yang panjang 4 kali ganda panjang bunga. 
 
Bunga-bunga ini disusun dalam jambak di bahagian pucuk tumbuhan membentuk infloresen yang tingginya mencecah lebih 30 centimeter. Jambak bunga yang menyerlah ini menjadi tarikan serangga dan burung penghisap madu. 
 
Kebanyakan pokok mengeluarkan bunga berwarna merah. Namun ada juga berwarna lain, termasuk warna putih. 
 
Daunnya lebar berbentuk tiga layang dan bertangkai panjang. Daunnya warna hijau tua pekat berkilat. Urat daunnya ada yang bertemu dan ada yang tidak. Daun tumbuhan ini disusun bertentang pada batang yang sangat cepat membesar. Ketinggiannya boleh mencapai 6 – 8 kaki. 
 
Tumbuhan ini mempunyai nilai perubatan dan boleh digunakan sama ada secara dalaman atau luaran. Untuk diminum, sebanyak 30-90 gram akar direbus atau dijadikan serbuk, atau 30-90 gram bunga direbus, lalu airnya diminum. 
 
Manakala untuk kegunaan luaran pula, daun atau bunga segar dihancurkan lalu ditempel pada bahagian yang sakit atau bengkak. Daun segar dan bunga dihancurkan dan dicampur sedikit madu lalu disapu pada bisul. 
 
Tumbuhan in boleh dibiak melalui keratan batang dan akar, sulur yang tumbuh berhampiran batang atau biji benih. Ia sangat mudah dijaga, hidup subur pada tanah berhumus yang sedikit berasid dan tidak menakung air. 
 
Pokok bunga pagoda sangat cepat membesar, ia perlu dicantas selepas berbunga dan sulur-sulur yang tumbuh di sekitar batang utama hendaklah dibuang secara berkala.

No comments:

Post a Comment