Bagi individu yang berkemampuan, sempena
Aidiladha disunatkan melakukan ibadat korban. Ibadat korban ialah menyembelih
binatang ternakan pada Aidiladha (selepas sembahyang sunat hari Aidiladha) atau
pada hari Tasyrid (11, 12 dan 13 Zulhijjah - hingga tenggelam matahari 13
Zulhijjah) kerana ibadat kepada Allah.
Sesiapa melakukan
korban tidak pada masa yang ditetapkan, maka tidak dianggap melakukan ibadat
korban. Menyembelih binatang bukan pada masa ditetapkan, kemudian daging
itu diagihkan kepada orang ramai, amalan itu dianggap sedekah dan hadiah.
Sabda Rasulullah
bermaksud: “Baragsiapa menyembelih korban sebelum sembahyang Hari Raya Haji,
sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya. Barangsiapa menyembelih korban
sesudah sembahyang Hari Raya Haji dan dua khutbahnya, sesungguhnya dia telah
menyempurnakan ibadatnya, dan dia telah menjalankan aturan Islam.” (Hadis
riwayat Muslim).
Pada hari Aidiladha
dan Tasyrik adalah hari kesyukuran dan kegembiraan untuk umat Islam. Selain
dianjurkan melakukan ibadat korban, pada hari-hari berkenaan digalakkan
berzikir, bertakbir dan bertahmid.
Bagi memastikan
kegembiraan dan semua orang dapat menikmati hidangan makanan yang disediakan,
maka pada dua perayaan dan juga hari Tasyrik diharamkan berpuasa.
Keutamaan
mengerjakan ibadat korban sepertimana dinyatakan Rasulullah dalam hadis
bermaksud: “Tidak ada amalan anak Adam yang paling disukai Allah pada hari
Aidiladha selain daripada mengalir darah (menyembelih korban) dan sesungguhnya
(sembelihan) itu akan datang pada hari kiamat nanti berserta dengan tanduk,
kuku dan bulunya semua sekali. Dan sesungguhnya darahnya akan berada di suatu
tempat yang ditentukan Allah sebelum menitik ke bumi. Oleh itu ikhlaskanlah
hatimu dengannya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi).
Antara jenis
binatang yang boleh dijadikan korban ialah kambing, unta, biri-biri, lembu, dan
kerbau, mengikut syarat yang ditetapkan syarak. Biri-biri hendaklah berumur
lebih setahun. Bagi kambing, lembu, dan kerbau hendaklah berumur lebih
daripada dua tahun. Manakala unta yang boleh dijadikan korban mesti berumur
lebih lima tahun.
Binatang yang ingin
dijadikan korban adalah yang tidak cacat, biarpun sedikit seperti carik daun
telinga, berjalan terhinjut-hinjut, dan berpenyakit. Binatang yang terlalu
kurus juga tidak boleh dijadikan korban.
Dari Bara bin Azli,
telah berkata Nabi: “Empat macam binatang yang tidak sah dijadikan korban,
iaitu rosak matanya, sakit, pincang dan kurus tidak berlemak.” (Hadis riwayat
Ahmad dan Tirmizi).
Binatang korban itu hendaklah dari yang terbaik
seperti gemuk, sihat dan 'menarik'.
No comments:
Post a Comment