Friday 30 July 2021

CARA TANAM POKOK KANTAN

 
Kantan ialah sejenis tanaman ulam tradisional di Malaysia. Ianya merupakan pokok herba yang tumbuh membiak dan merimbun secara berkelompok. 
 
Pokok bunga kantan atau juga dikenali sebagai bunga siantan merupakan sejenis pokok saka herba. 
 
Bunganya merupakan bahagian utama yang digunakan untuk pelbagai kegunaan seperti dalam masakan. Kini, tanaman kantan mula ditanam secara komersial berikutan daripada nilai pasarannya yang tinggi. 
 
Bagi masyarakat Melayu, bunga kantan ini adalah sinonim dalam masakan sebagai perasa di dalam penyediaan asam laksa, asam pedas dan juga nasi kerabu. 
 
Usaha untuk mempertingkatkan penanaman tanaman tradisional ini hendaklah dipergiatkan bagi menggalakkan pengeluaran, penggunaan ulam, herba dan rempah-ratus. 
 
Tidak sukar untuk memilih lokasi menanam kantan. Untuk faktor tanah, ia sesuai ditanam pada berbagai-bagai jenis tanah asalkan kawasan penanaman adalah bukan kawasan takungan air. 
 
Kawasan mudah bertakung air akan menyebabkan pertumbuhannya terjejas d isamping itu mengakibatkan akar dalam tanah membusuk dan menyebabkan pokok mati. 
 
Jenis tanah yang paling ideal digunakan untuk tanaman ini adalah jenis loam berpasir. 
 
Pokok kantan boleh ditanam menggunakan rizom atau biji benih. 
 
Kebiasaannya ramai yang menggunakan rizom kerana ianya lebih cepat mengeluarkan hasil berbanding dengan penggunaan biji benih. 
 
Untuk pemilihan rizom sebagai bahan tanaman, pertama sekali anda perlu mencangkul keluar rizom yang mempunyai sulur dari perdu pokok. 
 
Kemudiannya, rizom yang diperolehi akan dipotong dan setiap potongan rizom seeloknya mempunyai 2-3 mata tunas dan akar serabut untuk menggalakkan pertumbuhan. 
 
Disebabkan pokok ini adalah jenis pokok yang berasal dari hutan, sudah menjadi habitatnya tumbuh pada kawasan yang bersemak. Oleh itu, penyediaan kawasannya juga tidak perlu dibersihkan secara menyeluruh. 
 
Untuk penanaman di kawasan baharu, lorong-lorong penanaman sahaja yang perlu dibersihkan. 
 
Dengan menggunakan rizom yang telah disediakan, masukkannya ke dalam lubang yang telah digali lalu dipadatkan dengan tanah. Kemudian, gunakan daun-daun kering untuk dijadikan sebagai sungkupan bagi mengelakkan tunas-tunas muda daripada kekeringan. 
 
Waktu penanaman sebaiknya diselaraskan dengan musim hujan bagi mendapatkan pertumbuhan yang sempurna. 
 
Tanaman ini tidak memerlukan penjagaan rapi. Namun begitu amalan pertanian yang baik seperti pembersihan kawasan, pembajaan, kawalan musuh dan penyakit masih perlu diberi tumpuan dari semasa ke semasa. 
 
Tanaman ini perlu dipangkas bagi menggalakkan pertumbuhan sulur daun yang baru dan meningkatkan pengeluaran bunga. Bahagian yang dipangkas kebiasaannya adalah bahagian daun yang telah tua ataupun kekuningan. 
 
Untuk pengurusan sisa yang teratur, bahagian yang dipangkas itu tidak perlu dibuang atau dibakar. Ianya masih berguna terhadap tanaman ini. Bahagian yang dipangkas itu boleh dijadikan sungkupan bagi mengawal pertumbuhan rumpai. 
 
Apabila bahagian tersebut mereput, ianya memberi manfaat lain kepada tanaman iaitu sebagai sumber bahan organik yang berfaedah kepada pertumbuhan kantan. 
 
Selepas tahun pertama, kebiasaannya naungan daripada kanopi rumpun kantan akan merimbun pada masa yang sama mengawal pertumbuhan rumpai secara tidak langsung. 
 
Berdasarkan pemerhatian, tiada penyakit dan perosak yang serius. Sedikit merisaukan para pengusaha pada hari ini adalah serangan anai-anai berikutan daripada kawasan penanaman yang mempunyai banyak kayu reput. 
 
Akibat daripada serangan anai-anai akan menyebabkan pokok menjadi layu dan kekuningan. Lambat-laun sekiranya tidak dikawal akan mengakibatkan keseluruhan pokok dalam rumpun yang sama juga terjejas. 
 
Bagi mengatasi masalah ini, laksanakan semburan racun serangga chlorpyrifos pada bahagian yang terkena serangan anai-anai. 
 
Pokok kantan mula mengeluarkan bunga setelah berumur 9 bulan. Bunga kantan yang belum kembang akan dipetik dengan memotong pada bahagian pangkal sulur sepanjang 30cm. 
 
Pokok kantan mengeluarkan bunga sepanjang tahun, oleh itu ianya hendaklah dipungut setiap hari bagi mengelakkan kudup bunga menjadi kembang. 
 
Kebiasaannya, bunga kantan yang dijual di pasaran adalah yang mempunyai kudup yang masih tertutup. 
 
Bunga kantan yang sudah kembang tidak boleh dijual dan ia biasanya akan dibiarkan begitu sahaja di pokok. 
 
Pokok kantan boleh dibaratkan sebagai sekali sahaja bersusah payah menanam, tetapi hasilnya berpanjangan. Apa-apa pun jika berbudi pada tanah memang ada hasilnya.

No comments:

Post a Comment