Friday 23 July 2021

ADAT BOLEH DIJADIKAN SEBAGAI SUMBER HUKUM

  
Penerimaan adat sebagai sumber hukum dianggap satu rahmat daripada Allah SWT, yang menjadikan adat itu selari dengan hukum asal. Dengan kata lain, penerimaan adat itu sendiri bersandarkan kepada kaedah hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT. 
 
Untuk menjadikan adat sebagai sumber hukum, beberapa syarat perlu dipatuhi:- 
 
Adat itu tidak berlawanan dengan nas syarak. Contohnya, adat membuat urusniaga di atas talian. Adat ini telah berkembang selari dengan kewujudan internet.   
 
Pembeli dan penjual tidak bersua muka ketika melakukan urusniaga. Tidak dinafikan kaedah ini asal bertentangan nas syarak, yakni tidak dibolehkan membeli sesuatu yang tidak wujud di hadapan mata, tetapi ulama menerimanya atas kaedah maslahat dan telah dijadikan amalan biasa dalam masyarakat, dan ia tidak berlawanan dengan semua aspek hukum. 
 
Sebaliknya jika adat itu nyata berlawanan dengan nas syarak, maka adat itu mesti ditolak. Contohnya, perniagaan berasaskan kepada riba yang jelas terdapat ayat al-Quran dan hadis mengharamkannya.  
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Allah menghalkan jualbeli dan mengharamkan riba." (Surah al-Baqarah, ayat 275). 
 
Amalan riba menjadi kebiasaan dalam sistem pembankan konvensional. Namun, kini umat Islam ada altenatif menggunakan pembankan Islam yang bebas unsur riba. 
 
Adat yang diterima harus itu hendaklah telah diamalkan oleh individu dalam masyarakat secara menyeluruh dan meluas. Bahkan, jika ada yang tidak mengamalkannya, jumlahnya amat sedikit. 
 
Contoh amalan ini ialah adat menunaikan solat Tarawaih yang diadakan secara berjamaah. Sedangkan pada hakikatnya, solat Tarawaih tidak semestinya diadakan secara berjamaah. Bahkan sebenarnya, elok ditunaikan di rumah secara berseorangan atau bersama ahli keluarga. 
 
Di Malaysia, apabila disebut sembahyang Tarawih, terus tergambar ia dilakukan secara berjamaah di masjid. Sesiapa tidak melakukannya dianggap tidak bertarawih, biarpun sebenarnya ia melakukannya di rumah. Begitulah gambaran besarnya pengaruh adat dalam masyarakat. 
 
Adat dalam satu-satu tindakan itu sudah wujud ketika hendak dilakukan tindakan itu.  Maksudnya, kejadian adat itu berlaku sebelum sesuatu tindakan dilakukan dan ketika tindakan itu dan ia berterusan sehingga masa berlakunya tindakan itu. Ini bermaksud, tidak harus diamalkan adat yang baru timbul. Adat mendahului nas syarak sahaja yang dikira sah. 
 
Contohnya, mewakafkan harta kepada anak yatim. Perlu difahami istilah anak yatim adalah anak yang ketiadaan ibu bapa atau salah seorang daripadanya. Tetapi, sekarang rumah anak yatim turut menempatkan anak golongan miskin biarpun kedua ibu bapa masih hidup.  
 
Maka dalam kes ini, jika wakaf diberikan dinyatakan khusus kegunaan anak yatim, maka mesti dipastikan ketika wakaf itu dilakukan, siapakah dimaksudkan anak yatim. Maka, mereka yang dimaksudkan anak yatim pada masa lalu saja berhak mendapat manfaat wakaf itu. 
 
Tidak ada perkataan atau perbuatan atau kedua-duanya secara terang bertentangan dengan adat.  Sesungguhnya, tidak harus berpegang kepada adat apabila kedua-dua pihak berakad setuju mengetepikan adat biasa diamalkan. Keperluan merujuk kepada adat hanya apabila kedua-dua pihak diam.  
 
Sebaliknya, jika pihak terlibat memperjelaskan apa ingin dilakukan berkaitannya, maka adat mesti diketepikan. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqliyyah yang menyebut: "setiap hukum yang sabit berdasarkan adat apabila dua orang terlibat berterus terang menolaknya dan bersetuju dengan syarat yang selari dengan maksud perbuatan itu, maka sah akad dan syarat itu. 
 
Contohnya, hantaran berupa peralatan peribadi pengantin perempuan berupa perhiasan, pakaian dan makanan biasanya tidak termasuk dalam kiraan mas kahwin seperti diamalkan masyarakat Melayu. Namun ia akan menjadi sebahagian mas kahwin jika kedua-dua pihak bersetuju atas perkara itu.

No comments:

Post a Comment