Konsep iman tidak hanya di mulut.
Sebaliknya untuk menyempurnakannya memerlukan kepada perlaksanaan
apa yang ditetapkan oleh syariat. Orang beriman mempunyai akidah yang kukuh
pasti mentaati segala perintah Allah dengan ikhlas dan sebaik mungkin.
Tidak dinafikan bahawa manusia
tidak sunyi daripada melakukan perkara dosa. Ini tidak pula manusia tidak
berpeluang menubus kembali kesilapan itu.
Allah Maha Pengampun dan Maha
Penyayang memberi peluang untuk sesiapa yang sedar kesilapan yang telah
dilakukan agar bertaubat.
Taubat ialah penyesalan yang
sungguh-sungguh dan bertekad tidak mengulangi dosa tersebut. Mereka yang
bertaubat menyatakan ikrar akan taat kepada perintah Allah.
Sebaliknya, mereka yang terus hanya
melakukan dosa menyebabkan hidup semakin jauh dari rahmat Allah. Pelaku dosa
tidak patut menyangka bahawa mereka akan terlepas daripada azab Allah di
akhirat nanti, biarpun mungkin mereka terlepas pembalasan di dunia ini.
Firman Allah dalam surah
al-Ankabut, ayat 4 bermaksud: "Bahkan patutkan orang yang melakukan
kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas daripada azab
Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu."
Sangkaan bahawa dosa yang dilakukan
tidak memberi apa-apa kesan atau pembalasan sebenarnya tidak munasabah pada
akal waras.
Jauh sama sekali daripada prinsip
keadilan, apatah lagi menepati syariat Islam yang mana menetapkan setiap
perbuatan manusia di dunia ini akan mendapat pembalasan, biarpun sekecil mana
kebaikan atau keburukan yang dilakukan.
Justeru itu, Islam menganjurkan
umatnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama dengan melaksanakan segala
perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.
Dengan ini, barulah individu Muslim
mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang bertakwa.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Dengan yang demikian, berpegang teguhlah kamu kepada al-Quran yang
diwahyukan kepada kamu kerana sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang
lurus." (Surah al-Zukhruf, ayat 43)
Maka jelas, orang yang beriman
tidak ada pilihan melainkan taat dalam melakukan syariat jika dia ingin kembali
di sisi Allah di akhirat kelam dalam keadaan yang diredai.
Firman Allah bermaksud: “Kembalilah
kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati dengan segala nikmat yang
diberikan, lagi diredai di sisi Tuhanmu.” (Surah al-Fajr, ayat 28).
No comments:
Post a Comment