Kerajaan Malaysia telah mengiystiharkan tarikh 31 Julai sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya darurat pada tarikh sebut pada tahun 1960.
Namun, acara sambutaan Hari Pahlawan pertama kali diadakan pada 4 Ogos 1968. Upacara julung kali itu telah diadakan di Tugu Negara, Kuala Lumpur mencatat sejarah acara sambutan yang kemudiannya diadakan setiap tahun.
Turut hadir di upacara tersebut Tan Sri Sardon Jubir, Menteri Pengangkutan, diplomat-diplomat asing, orang-orang kenamaan dan pegawai-pegawai angkatan tentera dan polis.
Upacara sambutan telah dimulakan dengan bertafakur bagi mengenang pahlawan-pahlawan yang telah gugur, diikuti dengan bacaan doa dan meletakkan kalungan bunga serta menaikkan bendera.
Satu perbarisan khas telah diadakan oleh sepasukan pegawai-pegawai pasukan tentera. Upacara sambutan, yang sama juga telah diadakan di negeri-negeri lain termasuk Johor, Perlis, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.
Di Johor, upacara meletakkan kalungan bunga telah diadakan di Tugu Peringatan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Saat dan dihadiri oleh 300 orang terdiri dari pasukan tentera dan polis.
Di samping sambutan di Tugu Negara, kerajaan telah melancarkan kutipan derma Rayuan Hari Pahlawan sebagai membantu para perajurit di seluruh tanah air.
Biarpun tarikh 31 Julai diiystiharkan Hari Pahlawan, namun acara sambutan tidak semestinya hanya pada tarikh tersebut. Ia bergantung kepada keadaan atau keperluan.
Pelbagai acara diadakan
sempena Hari Pahlawan ini bagi mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak
kira tentera atau polis sebelum dan selepas Malaysia merdeka. Malaysia mencapai
kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Sebelum tahun 2010, acara sambutan Hari Pahlawan diadakan di Tugu Negara. Bagaimanapun,
mulai tahun 2010 ini, kerajaan telah memutuskan lokasi sambutan dilakukan di
dataran yang sesuai. Sebagai permulaan, Dataran Merdeka dipilih sebagai lokasi
sambutan.
Pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa
Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang
menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung
menyerupai manusia.
Dengan perpindahan tempat sambutan turut melibatkan perubahan acara yang
diadakan. Acara sambutan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim dan
disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Keputusan Majlis Fatwa Malaysia menjelaskan mengenai acara sambutan Hari
Pahlawan iaitu amalan seperti tiupan "Last Post", bertafakur dengan
menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan
tiupan "Rouse" yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut
Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.
Selain itu bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah
diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau
dalam suasana yang dilarang oleh syarak.
Sebelum kerajaan mengambil keputusan menukar acara sambutan dan lokasi, acara
sempena Hari Pahlawan diadakan di hadapan Tugu Negara berhampiran Panggung
Aniversari, Tasik Perdana, Kuala Lumpur.
Ia melibatkan acara letak kalungan bunga oleh pemimpin negara iaitu Yang
Dipertuan Agong dan Perdana Menteri serta ketua pasukan keselamatan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) dan ketiga-tiga cabangnya serta Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dan bertafakur selama seminit di Tugu Negara.
Acara tradisi ketenteraan lain yang diadakan ialah tiupan “Last Post” dan “Rouse” serta
deklamasi sajak juga dilakukan di hadapan tugu.
Manakala acara-acara keagamaan seperti majlis bacaan doa selamat, yasin, tahlil
dan sebagainya juga diadakan di Masjid Negara.
Setiap warganegara wajar mengingati tarikh 31 Julai setiap tahun sebagai satu
cara mengenang budi dan bagi mengingati kembali perit jerih erti perjuangan
para pahlawan negara yang telah banyak berkorban demi kemakmuran negara.
Mungkin, Hari Pahlawan di Malaysia tidak sehebat di negara lain, tetapi
jangalah pula ia dilupakan langsung.
Ingatlah, kenikmatan yang dikecapi kini adalah hasil keringat dan darah para
pahlawan yang mempertaruhkan nyawa demi kedaulatan negara.
No comments:
Post a Comment