Wednesday, 16 December 2020

UBI GADONG BERACUN TETAPI SEDAP DIMAKAN

Masyarakt dahulu biasanya mengggunakan sumber dari tumbuh-tumbuhan yang berupa buah, daun, batang dan ubi sebagai makanan. 
 
Memandangkan sumber makanan agak terhad, maka orang dahulu kreatif untuk menggunakan segala sumber tersebut, biarpun boleh mendatangkan bahaya jika tidak diproses dengan cara yang betul. 
 
Salah satu makanan ‘bahaya’ yang diproses ialah ubi gadong. Ubi gadong atau nama saintifiknya Dioscorea daemona merupakan sejenis ubi beracun jika dimakan begitu sahaja. Tetapi ubi gadong selamat dimakan jika dilakukan pemprosesan yang betul. 
 
Ekstrak daripada ubi ini telah digunakan sebagai salah satu ramuan dalam penghasilan racun bagi masyarakat tradisional Melayu dalam menuba ikan dan mengawal makhluk perosak bagi penanaman padi. Selain itu ia turut digunakan oleh pengamal ilmu hitam dalam ramuan santau atau sihir. 
 
Ubi gadung dikatakan berasal dari India tetapi tersebar luas ke Asia Tenggara di kawasan hutan sekunder, belukar dan turut ditanam di kawasan taman. 
 
Ubi gadong jenis tumbuhan lasak yang apabila tumbuh sukar utuk mati biarpun dalam pelbagai keadaan cuaca. Ubi gadung boleh hidup bertahun lamanya dan amat sukar untuk mati. Ia dikategorikan sebagai tumbuhan liar yang hidup menjalar dan memanjat serta boleh memanjang hingga 20 meter dengan batangnya yang berduri. 
 
Ubi gadong merupakan sejenis ubi yang eksotik di negara kita. Ia mungkin menjadi salah satu sumber karbohidrat suatu ketika dahulu, namun kini ubi gadong kian dilupakan. 
 
Cara pemerosesan ubi gadong untuk membuang komponen sianida dalam kumpulan alkaloidnya ialah dengan cara direndam di dalam air untuk tempoh masa tertentu, biasanya lebih 1 bulan. 
 
Ubi gadong yang telah dipotong kecil dimasukkan ke dalam guni gandung atau guni yang jenis telap air dan kemudian direndam di dalam air untuk proses membuang racun (discorina) sebelum boleh dimakan atau digunakan sebagai ubatan. 
 
Air rembesan dari ubi gadong berbau busuk dan beracun itu menyebabkan hidupan air akan menjauhkan diri. Untuk cepat hilang racun ia perlu diletakkan di tempat air mengalir. 
 
Satu cara untuk mengetahui bahawa ubi gadong sudah selamat dimakan ialah akan ada anak-anak ikan berada berhampiran dengan guni. Bahkan, anak-anak ikan akan mematuk-matuk bahagian guni untuk mendapatkan ubi gadong yang berada di dalam. 
 
Ubi gadung yang telah diproses ditanak dengan pulut dimakan bersama kelapa parut yang disalut sedikit garam dan gula. Rasanya enak dan menyelerakan biarpun ada sedikit bau ‘busuk’. Sebenarnya bau busuk itulah yang menjadikan atau membangkitkan selera.

No comments:

Post a Comment