Monday 21 December 2020

CARA ELAK LINTAH BULAN ROSAK TANAMAN

Lintah bulan (Arion sp.) merupakan sejenis haiwan dalam kumpulan Molluska Gastropod. Biarpun dalam keluarga siput, lintah bulan tidak mempunyai cengkerang. 

Kalaupun jenis yang ada cengkerang, ukurannya agak kecil dan lembut. Sebab itu, ia juga dikenali dengan nama siput bulan.

Lintah bulan banyak terdapat di kawasan lembab. Haiwan ini sering didapati di sekitar pasu bunga di keliling rumah. Ia keluar pada waktu malam untuk makan pucuk tanaman.

Haiwan ini tidak merbahaya kepada manusia sama ada sebagai pembawa penyakit atau kesan keracunan. Bagaimana pun haiwan ini merupakan perosak penting kepada sektor pertanian.

Haiwan ini makan bahagian pokok terutamanya bagagian pucuk muda dan tisu lembut yang lain termasuk buah dan bunga. Serangan sering berlaku pada waktu malam hari dan ketika lepas hujan dalam keadaan mendung dan lembab.

Kerosakan serius pada daun meyebabkan pokok rosak dan fotosintesis terjejas mengakibatkan serangan kulat dan lain-lain masaalah.

Satu lagi fakta menarik ialah siput bulan ni adalah sejenis haiwan Hermaprodite, maksudnya ada organ jantan dan betina pada setiap ekor. 

Semasa mengawan, lintah bulan akan bertukar gamete dan boleh bertelur sebanyak 30 biji dalam tanah atau batang kayu reput, pada satu-satu masa.

Memandangkan lintah bulan menjadi perosak kepada tumbuhan, maka ia menjadi musuh kepada petani. 

Terdapat beberapa cara untuk menghapuskan lintah bulan.

- Kutip lintah bulan. Cara ini kaedah tradisional. Lintah bulan mudah ditemui pada waktu malam dan apabila hari hujan. Jadi, pilih waktu tersebut. Ambil satu-satu dan musnahkan dengan cara memijak atau menghancurkan badannya. 

Boleh juga cari lintah bulan di kawasan bawah papan kayu, bawah pasu, bongkah kayu, daun reput dan sebagainya.

- Buat perangkap. Cara lain untuk memudahkan mengutip lintah bulan ialah dengan membuat umpan makanan seperti daun salad dan makanan kucing yang diletakkan ditempat teduh dan lembab. Apabila lintah bulan keluar, mudah untuk mengutip dan menghapuskannya.

- Musnahkan tempat tinggal dan pembiakan. Lintah bulan suka bersembunyi di bawah batu bata, perabot-perabot lama, papan dan bongkah-bongkah kayu yang ada di sekitar taman kita. 

Kalau kita buang semua benda-benda ni, lintah bulan akan mula keluar dari tempat persembunyiannya. Ia juga merosakkan tempat pembiakan.

- Buat halangan. Halangan dimaksukan ialah sesuatu yang menghalang lintah bulan mendekati pokok. Antara bahan sesuai dijadikan halangan ialah kulit telur yang ditumbuk dan ditabur keliling pangkal pokok. 

Satu lagi ialah batu kerikil yang mempunyai permukaan yang tajam. Habuk gergaji juga berkesan menghalang lintah bulan dari menghampiri tanaman. Cara lain ialah menggunakan garam.

- Menggunakan racun. Cara berkesan menghapuskan lintah bulan ialah menggunakan racun methaldehyde dalam bentuk umpan yang akan dimakan dan ianya akan mati.

No comments:

Post a Comment