Dulu di negara kita ada fahaman atau pegangan golongan yang mengatakan haram berkerjasama dengan orang kafir yang jika dilakukan akan menyebabkan seseorang yang melakukan atau menyokong kerjasama itu turut menjadi kafir.
Perkara yang ditekankan oleh golongan itu ialah parti orang Islam tidak boleh bergabung dengan mana-mana parti politik orang kafir. Begitu juga, haram memilih calon pemimpin terdiri orang kafir sebagai wakil rakyat. Pendek katanya, semuanya tidak boleh.
Manakala terdapat kumpulan ekstrem pula berpegang kepada fahaman bahawa orang kafir wajib diperangi. Jadi, halal membunuh orang bukan Islam di negara kita. Harta orang bukan boleh dirampas dan dijadikan harta rampasan seperti rampasan perang yang berlaku pada zaman Rasulullah.
Malah, mereka berpendapat tempat ibadat orang kafir mesti dihapuskan sama sekali. Kilang arak pula mesti dirobohkan. Di negara Islam mesti hanya ada masjid dan orang kafir yang ‘takut’ kepada orang Islam.
Itulah antara fahaman salah yang pernah dijadikan kepercayaan golongan tertentu di negara kita terhadap orang kafir, tetapi, sekarang ini sudah banyak berubah.
Jika diteliti punca fahaman itu, rasanya bukan kerana jahil atau tidak tahu hukum agama. Sebalik ia lebih kepada satu alat yang digunakan untuk mendapat mempengaruhi orang jahil untuk mendapat kuasa.
Kita kena faham kedudukan orang kafir atau bukan Islam dalam sebuah negara Islam. Ini penting difahami rakyat di negara kita yang mempunyai rakyat berbilang agama.
Jangan disebabkan kejahilan kita hidup dalam perpecahan, saling mencurigai dan dendam sehingga berlaku permusuhan kaum di negara kita.
Mengikut peraturan agama, orang bukan Islam yang tinggal di dalam negara Islam dan mengaku patuh kepada pemerintah negara Islam dipanggil kafir zimmi.
Kewujudan kafir zimmi berlaku sejak zaman Rasulullah memerintah di Madinah lagi. Jadi, ia bukan perkara baru dan telah ada panduan amalan yang boleh dijadikan ikutan dalam menguruskan perkara itu.
Jadi, mana-mana pihak yang buat tidak faham mengenainya sebenarnya sengaja tidak mahu mematuhi apa yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.
Kafir zimmi mendapat hak dan keistimewaan sebagai rakyat sepertimana dinikmati orang Islam. Perbezaan mereka dengan rakyat beragama Islam hanyalah dalam soal akidah. Sedangkan dalam hal berkaitan hak sebagai warganegara adalah tidak ada bezanya dengan warganegara beragama Islam.
Inilah keadilan dalam Islam yang mementingkan kehidupan selamat dan sejahtera kepada seluruh manusia. Soal akidah adalah antara individu yang berkenaan dengan Allah.
Soal hubungan sesama manusia, adalah urusan sesama manusia yang telah ditetapkan bentuk hubungan yang perlu dipatuhi bagi memastikan hubungan berjalan dengan lancar tanpa menimbulkan ketegangan.
Sesungguhnya, Islam tidak menindas mana-mana penganut agama lain biarkan ketika berkuasa dan kuat. Keamanan yang terkandung dalam ajaran Islam adalah milik manusia sejagat sepertimana yang ditetapkan dan perakuan Islam terhadap orang kafir.
mugo2 negara akan tatap aman damai sejahtera sentosa senantiasa., aminn
ReplyDelete