Umat Islam sepatutnya menjadi contoh sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama syumul yang melengkapkan seluruh keperluan manusia dalam rangka keperluan ibadat. Manusia mudah tertarik kepada kekayaan, dan inilah salah satu cara yang perlu digunakan untuk menarik lebih ramai orang bukan Islam kepada Islam.
Kita perlu mempelajari cara Muawiyah membina istana yang mewah di Damsyik semata-mata untuk menarik minat orang terhadap Islam. Tambahan ketika itu terdapat kerajaan bukan Islam yang menjadi pembandingan mengenai pemilikan kekayaan, kekuatan dan keagungan iaitu kerajaan Rom dan Farsi.
Cara Muawiyah itu pada awalnya mendapat teguran Khalifah Saidina Umar al-Khattab. Namun Muawiyah mempunyai hujah untuk mempertahankan apa dilakukan itu adalah benar dan perlu diteruskan sebagai sebahagian cara berdakwah.
Muawiyah mendapati kelompok yang baru memeluk Islam pada ketika itu banyak terdiri golongan miskin yang sekaligus menggambarkan umat Islam kebanyakannya dalam keadaan miskin.
Manakala golongan kaya dalam Islam pula dilihat terpaksa berkorban membelanjakan wang kekayaan masing-masing untuk membantu golongan miskin sehinggakan kehidupan mereka turut kelihatan seperti orang miskin. Keadaan itu secara tidak langsung menjadi penghalang untuk menarik minat orang bukan Islam.
Hakikatnya Islam tidak melarang mencari kekayaan. Sebenarnya kekayaan adalah maruah dan juga jalan menuju kepada kejayaan. Islam tidak memisahkan fitrah manusia berkehendak kepada kesenangan hidup di dunia.
Dalam hal ini, tuntutan mencari kekayaan dalam Islam tidak boleh disamakan dengan ideologi sekular dan kapitalis yang melihat kekayaan sebagai matlamat hidup. Sistem ekonomi bukan Islam membenarkan seluruh kehidupan ditumpukan kepada usaha mencari kekayaan walaupun dengan cara yang menindas, penipuan dan tamak.
Kita dapat lihat ramai di kalangan para sahabat Rasulullah mempunyai komitmen yang tinggi mencari kekayaan yang banyak dan diserahkan untuk perkuatkan perjuangan umat Islam. Tanpa kekayaan yang diserahkan dari kalangan para sahabat yang kaya raya, sudah pasti sukar memajukan umat Islam yang baru hendak berkembang pada masa itu.
Siti Khadijah, Abdul Rahman bin Auf, Uthman bin Affan serta para sahabat yang lain menyerahlan kekayaan yang dimiliki untuk memperkuatkan Islam terutama bagi persiapan membeli peralatan peperangan. Kekayaan yang mereka miliki itu turut dikongsi bersama-sama dengan golongan yang miskin sebagai zakat dan sedekah.
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib individu maupun masyarakat, jika individu dan masyarakat itu sendiri tidak mahu mengubahnya. Allah tidak menurunkan rezeki secara bergolek, melainkan manusia yang berusaha mendapatkannya.
No comments:
Post a Comment