Apabila disebut jihad, maka ditakrifkan secara harfi supaya membawa maksud ‘perang suci’. Amat menyedihkan, apabila tindakan pelampau juga dikaitkan dengan jihad. Hakikatnya mereka tidak melakukan jihad yang membawa kesan nilai baik seperti dituntut Islam.
Apa yang berlaku diambil peluang oleh pihak musuh untuk memperlihatkan bahawa Islam itu ganas dan suka kepada peperangan.
Melalui saluran media cetak dan sebagainya, agama Islam telah diberikan gambaran buruk berasaskan pandangan umum masyarakat. Gambaran buruk ini pada asasnya disebabkan kejahilan dan salah tafsir maksud jihad sebenar.
Justeru, amat penting umat Islam memahami istilah 'jihad’ yang sebenar. Istilah 'jihad’ lazimnya disalahtafsirkan sebagai membawa maksud perang suci, yang seterusnya membawa erti keganasan dan pertumpahan darah.
Hakikat sebenarnya, ‘jihad’ membawa maksud ‘usaha yang bersungguh-sungguh’. Usaha yang diamalkan seseorang dengan sepenuh daya upayanya demi pencapaian suatu matlamat yang tulus.
Ini merupakan suatu usaha yang bersifat aman damai, yang tidak sama sekali berunsurkan keganasan dan kezaliman. Pada hakikatnya istilah betul dan yang membawa maksud peperangan ialah istilah ‘qital’ dan ‘harb’.
Hatta istilah pertama, yakni istilah ‘qital’ membawa maksud yang merujuk kepada mempertahankan diri, manakala istilah yang kedua, 'harb’ membawa maksud yang merujuk lebih kepada kezaliman ganas.
Merujuk kepada takrif agama Islam dan ditafsirkan melalui kitab al-Quran, tiada sebarang bentuk ‘qital’ mahupun 'harb’ yang dianggap suci dalam apa jua keadaan sekalipun. Pada hakikatnya, keseluruhan nas kitab al-Quran dan agama Islam berkisar keamanan.
Tidak dapat dinafikan terdapat waktu-waktu tertentu di mana perang diharuskan. Perang hanya dibenarkan sekiranya bermatlamat untuk menegakkan keadilan.
Dengan kata lain, matlamat perang dalam keadaan yang dihuraikan tadi bertujuan mencari keadilan. Malahan, dalam perang, pihak musuh mesti dilayan secara adil.
Sekiranya kemenangan dicapai dalam mana-mana peperangan demi menegakkan keadilan, maka harus dipastikan tiada unsur-unsur kezaliman, penindasan, pengabdian atau ketidakadilan terhadap pihak musuh atau rakyatnya.
No comments:
Post a Comment