Wednesday 4 March 2020

PROSES MELAHIRKAN PEMIDATO HEBAT

Jika disebut perkataan pemidato, tentu bunyinya hebat dan hanya orang tertentu saja layak dipanggil pemidato. Ia satu nama besar dan hebat pada pandangan masyarakat. Mereka menyampaikan sesuatu yang tidak diketahui atau kurang kurang difahami oleh orang ramai sebelum ini.

Tambahan pula, seorang pemidato perlu berada di hadapan khalayak ramai yang mungkin jumlahnya ratusan atau ribuan orang. Kurang pengalaman dan pendedahan akan menyebabkan seseorang tidak mampu untuk berdiri dan apa lagi untuk berucap.

Justeru itu, pendedahan awal bercakap dalam kelompok yang kecil mempu memberi pendedahan dan keyakinan untuk menjadi pemidato lebih baik.  Bagi mereka yang baru dalam dunia kepemidatoan harus menanam keyakinan diri untuk menjadi pemidato hebat dengan bermula dari peringkat bawah.  

Sebenarnya, seorang pemidato tidak terus menjadi hebat dan baik. Sebaliknya ia melalui proses pembentukan yang berterusan melalui pengalaman dan berkongsi pengetahuan dengan mereka yang sudah berpengalaman. 

Pengalaman tidak akan datang jika kita tidak mulakan langkah pertama. Maka itu, pemidato perlu bersedia tampil pada program kecil walaupun bukan sebagai pemidato, sebaliknya sekadar membaca doa atau juruacara.

Perlu ditegaskan di sini, seorang penceramah yang baik mempunyai karisma dan gaya tersendiri. Sebab itu, untuk menjadi seorang penceramah yang baik kita tidak perlu meniru atau menjadi orang lain. 

Apa yang lebih penting ialah,  sebagai seorang penceramah kita perlu mencari teknik dan pendekatan tersendiri untuk menarik perhatian pendengar dan seterusnya maklumat yang disampaikan dapat diterima dengan baik.

Suara yang kuat, lantang dan gaya badan yang hebat belum tentu menghasilkan satu pidato yang baik. Sebaliknya, orang ramai lebih tertarik dengan pemidato yang dapat menyampaikan sesuatu perkara atau isu secara tersusun, jelas, tepat, terkini dan menyakinkan.

Sebab itu, sebagai pemidato perlu sentiasa memperluaskan ilmu pengetahuan mengenai sesuatu isu yang akan disampaikan. Perlu diingatkan, pendengar atau audien bukan orang bodoh yang akan menerima bulat-bulat apa yang kita sampaikan. 

Mungkin di kalangan audien itu tahap pengetahuannya lebih hebat dan bijak dari kita. Dia tentu akan hilang keyakinan dan minat untuk terus mendengar ucapan kita jika menyedari apa yang disampaikan itu tidak tepat, lapuk dan yang sudah diulang-ulang banyak kali.

Maka sebab itu, proses penguasaan dan kemaskini maklumat amat penting dilakukan oleh setiap penceramah. Fakta dan maklumat yang kita tahu betul serta tepat pada hari ini mungkin akan menjadi satu maklumat salah dan basi pada hari esok. 

Maka itu, seorang penceramah yang hebat dengan fakta dan hujah pada hari ini mungkin akan 'dibooo' pada esok hari jika dia masih menyampaikan perkara yang sama, sedangkan fakta yang sebenar telah bertukar.

Justeru itu, sebagai penceramah tidak harus berpuas hati sekadar apa yang diperoleh pada hari ini. Teruskan usaha pemburuan dan menguasai isu-isu semasa dengan baik. 

Dunia hari ini tidak sukar untuk kita mendapat maklumat terkini. Istilah dunia tanpa sempadan membolehkan kita mendapat maklumat terkini hanya beberapa minit atau beberapa jam selepas sesuatu peristiwa birpun ia berlaku beribu-ribu kilometer jauhnya dari tempat kita. 

Penggunaan internet dan alat komunikasi canggih menjadikan dunia hari ini semakin kecil. Jika dulu, kita hanya menanti esok hari untuk mendapat berita daripada akhbar, tetapi sekarang ini semua maklumat hanya di hujung jari boleh dicapai serta merta.

Namun perlu diingatkan di sini agar, tuan-tuan hanya menerima atau menggunakan maklumat dari sumber yang sah sahaja. Jangan sekali-kali mudah percaya atau menerima maklumat dari media yang tidak bertanggungjawab yang menyiarkan berita fitnah dan tidak benar.

No comments:

Post a Comment