Monday, 18 December 2017

TAHAP KEBERSIHAN TANDAS AWAM MENGECEWAKAN


Tahap kebersihan tandas di negara ini masih berada pada tahap kurang memuaskan dan perlu sentiasa dipertingkatkan kebersihannya dari masa ke semasa.

Keadaan itu bukan sahaja melibatkan tandas awam tetapi kemudahan sama di kompleks beli-belah, sekolah, restoran dan sebagainya.

Laporan, aduan dan perbincangan mengenai tandas awam yang tersumbat, kotor, rosak, berbau dan tidak diselenggara dengan baik masih kedengaran di pelbagai tempat.

Persepsi negatif masyarakat kita kononnya mereka bukan masuk percuma atau tandas itu ada pembersihnya telah dibayar pihak tertertu perlu diubah.

Tanggungjawab menjaga kebersihan tandas adalah peranan semua. Membayar masuk tandas bukan alasan untuk kita melaku perbuatan mengotorkan tandas.

Apabila berbayar, mereka akan menggunakannya sesuka hati kerana pada tanggapan mereka ada pihak yang akan melakukan pembersihan. Sebenarnya, kita membayar untuk menggunakan dengan menjaga kebersihan.

Aspek kebersihan tandas terutama tandas awam perlu diitikberatkan jika tidak mahu dilabel sebagai masyakarat pengotor.

Tandas adalah sesuatu yang sangat pen­ting. Setiap orang normal dipercayai akan ke tandas lima atau enam kali sehari.

Bagaimanapun ada yang mungkin terbantut ke tandas apabila tandas tidak bersih akibat tidak diselenggara de­ngan baik, lebih-lebih lagi tandas percuma.

Kata orang, keadaan tandas awam mencerminkan sikap masyarakat sesebuah negara. Semakin kotor tandas awamnya maka semakin rendahlah tahap kebersihan dalam minda setiap ahli masyarakat.

Kebanyakan orang tidak peduli pengguna seterusnya disebabkan pengguna sebelum itu tidak menjaga kebersihan.

Sikap kebanyakan orang, sebaik sahaja masuk ke tandas yang tidak terurus, maka mereka juga terbawa-bawa de­ngan sikap tidak peduli tentang kebersihan.

Etika pengguna amat penting. Jangan disebabkan sudah tidak terurus, pengguna menambah ‘kesengsaraan’ tandas berkenaan.

Bagi mengingatkan masyarakat, pelbagai kempen ke­sedaran penjagaan tandas awam sudah diadakan. Namun apakah ia meninggalkan impak dalam memupuk sikap menjaga kebersihan tandas awam?

Penguatkuasaan seperti ini bukan terhad di tandas awam berbayar atau sebaliknya tetapi juga di pejabat atau di sekolah. Di sekolah isu tandas kotor sudah lama berlaku.

Vandalisme di tandas juga dilaporkan. Di pejabat juga, jika tidak ada kontraktor pembersih, tidak pasti sejauh mana tahap kebersihannya.

Kerosakan di dalam tandas sudah lumrah. Paip air rosak, pam tidak berfungsi, kunci pintu rosak, penyangkut pakai­an hilang dan macam-macam lagi.

Kebersihan tandas juga harus dinilai dari dinding, pintu dan lantainya. Dinding dan pintu harus bebas dari contengan perkataan dan lukisan yang memualkan.

Malu jika pelawat berkunjung, ada ayat-ayat yang menghentam majikan, kata-kata lucah dan sebagainya. Lantai jangan dikotori dengan tisu, tuala wanita, kotak rokok kosong, surat khabar dan puntung rokok.

Ingatlah, tandas walaupun tempat kotor, ‘hodoh’ untuk membuang najis dan dikatakan tempat syaitan, tetapi tidak sepatutnya ditambah ‘kekotorannya’ dengan bau hancing, najis tidak dipam dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment