Banyak sebab dan kebaikan yang perlu
direbut melalui ucapan salam yang sepatutnya dijadikan amalan seharian.
- Memberi salam dan menjawab salam
adalah doa. Ungkapan salam yang paling ringkas ialah ‘assalamualikum’ yang
bermaksud ‘doa sejahtera ke atas kamu’. Dengan mengucapkan doa untuk kebaikan
orang lain, sebenarnya turut memberi kebaikan kepada diri sendiri. Tambahan
pula, orang yang ditujukan salam ini wajib menjawabnya yang juga adalah satu
doa.
Sebenarnya, menjawab soalan juga
dikategorikan satu doa. Jawapan salam seringkas-ringkasnya ‘walaikummussalam’
yang bermaksud ‘dan doa sejahtera juga ke atas kamu’. Ini bermakna, lebih
banyak diucapkan salam, maka lebih banyak doa dibalas.
- Tanda keikhlasan hati. Doa yang
diucapkan adalah tanda keikhlasan hati dalam mengharapkan kesejahteraan kepada
orang lain. Secara tidak langsung akan terpancar akhlak mulia dan terpuji yang
menimbulkan ketenangan dan kebahagiaan pada diri, keluarga dan masyarakat.
- Ganti kepada yang terbaik. Siapa
mengucapkan helo tidak mendapat apa-apa faedah. Perkataan selamat pagi pula
diterjemahkan daripada perkataan good morning. Mengapakah kita mengucapkan
selamat kepada pagi sedangkan sepatutnya selamat didoakan kepada orang ditemui.
Sesiapa yang mengucapkan salam bermakna menggantikan perkataan ‘biasa’ kepada
perkataan yang terbaik.
- Mudah diucapkan. Amalan itu mudah
dilakukan kerana tidak memerlukan syarat khusus dan masa yang tertentu, tetapi
amalan itu mempunyai besar kelebihannya jika diamalkan. Semua umat Islam dapat
mengucapkan perkataan salam dengan baik dan memahami ungkapan itu. Sebab itu,
individu yang faham peri pentinnya mengucapkan salam tidak akan
mempersia-siakan kebaikan di sebalik amalan itu.
- Tanda beragama Islam. Semasa berada
di tempat yang menggunakan bahasa asing dan tidak difahami, antara perkataan
yang difahami ialah ucapan salam. Ini kerana ungkapan salam sama bagi seluruh
umat Islam biarpun berlainan bahasa percakapan harian. Justeru apabila ungkapan
salam diucapkan, orang lain dapat mengetahui dia beragama Islam serta mudahlah
terbentuk ikatan persaudaraan sesama Islam biarpun berada di mana-mana
sekalipun.
- Tanda dihormati. Dapat dirasakan
percakapan yang dimulai dengan salam lebih mesra dan dilakukan mengikut
adab-adab orang Muslim. Orang yang ditujukan ucapan salam merasakan dirinya
dihormati haknya sebagai seorang Muslim. Manakala, orang yang memberi salam
pula merasakan kehadirannya diterima apabila salamnya dijawab.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Demi
diriku di atas tangan-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu
beriman dan tidak beriman kamu sehinggalah kamu berkasih sayang. Mahukah aku
tunjukkan kepada kamu satu pekerjaan yang akan menambah kasih sayang sesama
kamu. Iaitu hendaklah kamu sebarkan salam di antara kamu.” (Hadis riwayat
Muslim)
- Bolah diucapkan kepada sesiapa pun.
Kita dituntut agar mengucapkan salam ditujukan kepada sesiapa saja, termasuk
ahli keluarga sendiri dan orang yang tidak dikenali. Malah salam berperanan
sebagai permulaan kepada perkenalan atau perhubungan di antara individu atau
kumpulan. Ucapan salam dijadikan pembuka kata menandakan kadatangannya dengan
tujuan yang baik.
- Mudah mesra. Interaksi dimulai
dengan salam mudah mesra dan diberkati yang mana sebarang perasaan syak
wasangka dan sombong dapat dijauhkan. Ucapan salam menundukkan perasaan buruk,
dan digantikan dengan sifat baik. Kebahagiaan hidup seseorang banyak
berpunca daripada hati yang ikhlas melakukan amalan baik.
- Bukan sekadar adat. Secara dasarnya
salam hanya memerlukan ucapan perkataan assalamualaikum, tetapi satu lagi
perbuatan yang digalakan diamalkan semasa memberi dan menjawab salam ialah
berjabat tangan. Sebenarnya dalam masyarakat Islam di Malaysia, mengucap salam
dan berjabat tangan itu dianggap nilai pekerti yang sudah sebati apabila
mengunjungi atau menanti kunjungan. Sebab itu dalam masyarakat Melayu berjabat
tangan lebih kerap disebut bersalam.
Dengan kata lain, apa yang diamalkan dalam
masyarakat kita sebenarnya bukan sekadar adat, tetapi ialah satu ibadat.
Tetapi, jika ia dilakukan sebagai adat, maka ia sekadar menyempurnakan adat.
Sebab itu dalam apa perkara sekalipun,
kefahaman mengenai apa yang dilakukan amat penting bagi membezakan antara satu
amalan diberi ganjaran pahala atau hanya satu kebaikan yang diperoleh di dunia
semata-mata. Sesungguhnya setiap amalan itu dinilai pada niatnya. Oleh itu
haruslah kita melakukan sesuatu dengan satu niat kerana tuntutan agama atau
kerana Allah.
- Lembutkan hati. Perkataan salam
adalah sebaik-baik perkataan untuk menghubungkan sesama Muslim. Sebab itu,
perbanyakkan amalan mengucapkan salam agar hati sentiasa digilap bagi mengelak
daripada terus dikotori amalan dosa. Salam yang diucapkan akan mendekatkan hati
dengan suasana kehidupan sebagai seorang Muslim dan dapat melunakkan hati agar
suka melakukan kebaikan.
Hati yang kotor sukar untuk mengucapkan
perkataan yang baik. Itu bertentangan dengan kebiasaan yang mereka lakukan.
Sesiapa yang sukar atau berat mulut mengucapkan salam membuktikan hatinya
berada dalam keadaan kotor. Kekotoran hati jika tidak dibersihkan akan
menyebabkan diri seseorang berada dalam keadaan jiwa yang tertekan.
- Memberitahu kehadiran. Ketika
bertandang ke rumah orang lain, mulakan dengan memberi salam untuk memberi tahu
tuan rumah mengenai kedatangan kita. Kebiasannya, selepas menjawab salam, baru
tuan rumah akan mempersilakan masuk. Mungkin, juga dalam keadaan tertentu tuan
rumah tidak menjemput masuk, jadi janganlah masuk ke rumah tanpa
kebenaran.
Salam itu juga boleh dijadikan isyarat
kepada penghuni rumah itu agar bersedia menerima tetamu dari segi pakaian dan
tatasusila. Dalam rumah itu mungkin terdapat isteri dan anak gadis yang
berpakaian tidak menutup aurat. Jadi, setelah mendengar salam dari orang lelaki
yang bukan mahramnya, dapatlah dia mencari pakaian yang sesuai atau duduk di
dalam bilik untuk mengelak dipandang lelaki bukan mahram yang datang bertandang
itu.

No comments:
Post a Comment