Thursday, 16 November 2023

NALURI MANUSIA SUKA KEPADA JENAKA

 
Dalam kehidupan seharian kita selalu bergurau senda dan berjenaka. Keinginan bergelak ketawa dan perasaan gembira adalah sebahagian naluri yang dikurniakan Allah dalam diri manusia. Perasaan itu selalunya menjadi manifestasi kehidupan ceria yang tidak semua insan dapat merasainya.
 
Malah, seorang muslim haruslah membentuk personaliti yang positif dan optimistik. Sikap murung dan berpandangan negatif terhadap persekitaran membawa kepada banyak keburukan. Orang yang hilang keyakinan kepada diri sendiri tidak mampu melakukan apa-apa kebaikan untuk dirinya.
 
Biarpun kita disarankan sentiasa memberi pehatian khusus kepada tugasan seharian, tidak bermakna tidak boleh berjenaka dan berhibur langsung. Jenaka dapat mengurangkan tekanan perasaan, melepaskan lelah dan merapakan hubungan sesama manusia. 
 
Ketika ketawa kita merasakan seperti tidak tidak ada bebanan hidup yang ditanggung. Dari segi hubungan pula akan terbuka batasan protokal yang mana semua orang tidak kira kedudukan akan turut ketawa. Pemimpin tertinggi negara atau pengurus syarikat akan ketawa dengan nada yang sama dengan orang paling rendah dalam haraki.  
 
Sesungguhnya, kehidupan keluarga yang sentiasa dihiasi dengan gelak ketawa menampakkan suasasa ceria dan bahagia. Setiap ahli keluarga berkongsi kegembiraan dan tentunya akan turut meleraikan kedukaan yang dihadapi. Bebanan tugas di tempat kerja tidak terbawa-bawa ketika berada bersama keluarga.  
 
Jenaka dan ketawa adalah tonik yang memberi kekuatan untuk melalui kehidupan dengan lebih semangat. Kajian perubatan menjelasakan bahawa ketawa dapat memanjangkan hayat seseorang berdasarkan hakikat perbuatan itu memberi kesihatan kepada badan dan minda.
 
Kita hendaklah mencontohi Nabi Muhammad. Baginda seorang yang tegas, tetapi dalam keadaan tertentu memperlihatkan sikap bersahaja dan mempunyai unsur jenaka. Bagaimanapun, Nabi Muhammad tidak pernah berbohong atau mengucapkan perkataan yang sia-sia biarpun ketika jenaka.
 
Mengikut satu riwayat, seorang wanita tua datang berjumpa Nabi Muhammad. Lalu baginda bersabda: "Wanita tua tidak masuk syurga." Kemudian wanita tua itu pun menangis. Maka Nabi Muhammad bersabda lagi: "Pada hari itu engkau tidak wanita tua lagi." (Hadis riwayat Tirmizi).
 
Jawapan daripada Nabi Muhammad itu ada unsur jenaka, biarpun menyatakan sesuatu yang benar. Maksud yang sebenar yang ingin disampaikan oleh Rasulullah SAW ialah semua penghuni syurga akan dibangkit dalam keadaan dirinya pada usia muda, biarpun ketika mati di dunia ketika usia telah lanjut. 
 
Dalam keadaan biasa, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sentiasa berjenaka. Dalam satu riwayat disebut: "Untuk memberitahu orang-orang Yahudi bahawa di dalam agama kita, ada waktu untuk bersuka-suka."
 
Ali bin Abi Talib berkata: "Senangkanlah hati kamu sekali sekali jika tidak ia akan rosak kerana terlalu tertekan." Abu Darda juga ada berkata: "Aku sering bersenggang dengan perkara-perkara yang menghiburkan agar mendapat kekuatan untuk menegakkan keadilan."

No comments:

Post a Comment