Saturday 25 September 2021

EMPANGAN BUKIT KWONG, RANTAU PANJANG TARIK PELANCONG

   
Bukit Kwong terletak di Rantai Panjang, Kelantan, berhampiran dengan sempadan Malaysia – Thailand. Sempadan negara hanya kira-kira 2 km sahaja dari Bukit Kwong. Kawasan yang berdekatan di kawasan Thailand ialah Waeng. 

Salah satu keistimewaan Bukit Kwong ialah adanya sebuah empangan yang dikenali Empangan Bukit Kwong atau juga dikenali Padang Bukit. 

Empangan Bukit Kwong terletak kira-kira 8.5 kilometer (km) dari barat daya pekan Rantau Panjang. 

Kawasan tadahannya adalah lebih kurang 11 km persegi yang disalirkan oleh Sungai Tandak Liang. 

Empangan terdiri daripada satu benteng timbusan tanah homogen, satu alur limpah tidak berpintu berabung lebar separa bulat jatuh tegak dan satu struktur pengambilan pintu skru gelongsor tegak. 

Pembinaan empangan ini bermula pada bulan September 1976 dan siap pada bulan Julai 1979. Kapasiti takungan empangan adalah lebih kurang 14.3 juta meter padu pada aras kolam biasa. 

Berdasarkan saiz dan klasifikasi potensi bahaya empangan oleh US Army Corps of Engineers, empangan ini berada pada kategori saiz pertengahan dengan potensi bahaya tinggi. 

Empangan ini adalah merupakan sumber air bagi kawasan pertanian sawah padi iaitu menyalirkan air ke Kampung Telaga Mas, Kok Pauh dan sehingga tamat di kawasan Kampung Parit Air, Rantau Panjang. Air dari empangan ini disalirkan menggunakan tali air.

Kawasan di sekitar empangan ini juga sesuai untuk dijadikan sebagai kawasan tarikan pelancong dengan mempunyai daya tarikan yang tersendiri iaitu tasik dan bukit bukau yang menarik. 
 
 

No comments:

Post a Comment