Wednesday, 30 May 2018

MASJID SULTAN ISMAIL PETRA KUBANG KERIAN

Masjid Sultan Ismail Petra atau dikenali juga sebagai Masjid Biru Kubang Kerian merupakan mercu tanda bandar Kubang Kerian. Terletak di Jalan Sultan Yahya Petra yang menjadi laluan utama Kota Bharu - Pasir Putih menjadikan ia menjadi perhatian umum.

Pembinaannya bermula pada tahun 1986 dibiayai oleh seorang individu yang bernama Tan Sri Ibrahim bin Mohamad dari Kampung Putih Telipot. Bagaimanapun, proses pembinaan masjid ini tergendala oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. 

Pada tahun 1988 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan (MAIK) telah menyambung pembinaannya dengan perbelanjaan daripada MAIK dan sumbangan orang ramai yang berjumlah RM15 juta.

Reka bentuk masjid ini berkonsepkan seni bina Timur Tengah. Ianya mempunyai empat menara berkubah dan dua kubah besar. 
 
Di dalam masjid ini terdapat ruang solat utama yang mampu menampung 3000 orang jemaah. Terdapat juga ruang solat tambahan yang mampu menampung kapasiti 2000  jemaah.  

Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian telah disempurnakan pembukaannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ismail Petra ibni Sultan Yahya Petra Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan Darul Naim pada 8 Safar 1413 Hijrah bersamaan 7 Ogos 1992 Masihi.

Masjid Sultan ismail Petra Kubang Kerian menjadi lokasi untuk program keagamaan peringkat negeri Kelantan, selain di Masjid Muhammadi di Kota Bharu.

No comments:

Post a Comment