Saturday 13 January 2018

TABIKA KEMAS LAHIRKAN GENERASI HEBAT

Program pendidikan awal kanak-kanak yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dikenali sebagai Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) merupakan program yang memberi peluang pendidikan awal bagi kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun.

Konsep Tabika Kemas ialah ‘Belajar Melalui Bermain' yang diselaraskan dengan sifat semulajadi kanak-kanak iaitu bermain, ingin tahu dan mencuba.

Konsep tersebut kemudiannya diperluaskan kepada menguasai kemahiran 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).

Konsep ini bertujuan untuk memberi peluang dan galakan kepada kanak-kanak menguasai kemahiran asas dan pengalaman yang akan memudahkan mereka menerima pendidikan formal di sekolah rendah kelak.

Disamping itu, ia juga bagi meningkatkan kecemerlangan potensi individu kanak-kanak secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu.

Pengetahuan dan kemahiran kanak-kanak ditingkatkan dengan pemupukan dan pengukuhan kepada amalan nilai-nilai murni melalui usaha-usaha dan program yang terancang dan berstruktur.

Usaha ini bertujuan melahirkan pewaris cemerlang negara yang dibimbing dan dididik dalam suasana dan persekitaran yang sihat, ceria dan selamat di samping kerjasama erat dengan ibu bapa.

Tabika Kemas diperakui antara paling berkualiti dan paling ekonomik berbanding dengan kebanyakan kelas pendidikan prasekolah yang lain.

Kanak-kanak Tabika Kemas mendapat geran khas bagi membiayai pembelajaran mereka. Kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang besar bagi menyediakan kemudahan fizikal serta peralatan yg bermutu untuk Tabika Kemas.

Di Tabika Kemas menyediakan tenaga pengajar yang relevan berstatus diploma pendidikan prasekolah daripada IPTA bertujuan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Jabatan Kemas dari masa ke semasa akan terus meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran Tabika Kemas.

Kurikulum yang digunapakai adalah Kurikulum Pendidikan Prasekolah Kebangsaan. Terbukti hari ini ramai "graduan" dari Tabika Kemas telah berjaya dalam meningkatkan kemajuan diri dan kerjaya masing-masing.

Ini adalah kesinambungan dari pendidikan awal mereka bermula dari Tabika Kemas. Janganlah ada yang memperlekehkan kewujudan dan kualiti Tabika Kemas kerana sejarah telah membuktikan kejayaannya. 

No comments:

Post a Comment