Saturday 28 July 2018

IBADAT KORBAN YANG DITOLAK

Sejarah awal amalan korban sebagai satu bukti ketakwaan kepada Allah berlaku ketika menentukan hak memilih calon isteri di antara Habil dan Qabil.

Pasangan Adam dan Hawa memperolehi zuriat secara berpasang-pasang, lelaki dan perempuan setiap kali Hawa melahirkan anak. Antara pasangan itu ialah Habil dilahirkan kembar dengan Labuda dan Qabil bersama kembarnya Iqlima.

Apabila dewasa mereka dinikahkan dengan adik beradik, tetapi bukan dengan kembar masing-masing. Adam menentukan Qabil berkahwin dengan Labuda dan Habil dengan Iqlima. Bagaimanapun Qabil membantah kerana Labuda tidak cantik. Dia ingin mengahwini kembarnya sendiri Iqlima yang cantik rupayan.

Kedegilan Qabil menyebabkan Adam buntu fikiran. Maka Allah memerintahkan agar penentuan siapa layak mengahwini Iqlima dilakukan dengan penyediaan korban kepada Allah. Siapa yang diterima korbannya oleh Allah, dialah layak menjadi pasangan Iqlima.

Peraturan tersebut diterima oleh Habil dan Qabil. Mereka menyediakan korban mengikut apa yang dimiliki masing-masing. 

Habil yang menjadi penternak telah menyediakan korban seekor kibas yang paling baik dan gemuk daripada hasil ternaknanya. Kibas itulah paling disayanginya.

Manakala Qabil pula menyediakan gandum sebagai korban kepada dirinya seorang petani. Tetapi, Qabil memilih gandum yang telah busuk dan tidak lagi sesuai untuk dimakan. Gandum yang baik disimpan untuk dimakan.

Kedua-dua korban itu diletakkan di atas puncak gunung. Mana-mana korban yang diterima oleh Allah akan dimakan oleh sejenis api putih dari langit, manakala korban ditolak akan dimakan oleh burung dan binatang. Korban Habil telah diterima oleh Allah. 

Peristiwa tersebut diceritakan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud: “Dan bacalah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah mengenai dua orang anak (Habil dan Qabil) yang berlaku sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan suatu persembahan korban. Lalu diterima korban salah seorang daripadanya (Habil) dan ditolak korban yang lain (Qabil), berkata (Qabil): “Demi sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. Jawab (Habil): “Hanya Allah menerima (korban) dari orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27).

Korban Habil diterima kerana keikhlasannya melakukan korban itu. Dia memilih yang terbaik dan apa yang disayanginya. Sedangkan Qabil memilih apa yang tidak lagi diperlukan olehnya. Dia awal-awal lagi tidak ikhlas dan menyimpan sikap bongkak tetap tidak mahu menerima Labuda.

Sikap Habil menepati makasud korban yang sebenarnya. Dia sanggup mengorbankan apa yang disayangi demi untuk menzahirkan keikhlasannya. Habil menyediakan korban yang baik bukan untuk menandingi korban Qabil bagi memperisterikan Iqlima. Bahkan Habil sanggup menerima siapa sahaja pasangan untuknya, termasuklah Labuda yang hodoh.

HAIWAN TERBAIK IBADAT KORBAN

Dua hari raya dalam Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha mempunyai pengertian yang amat besar. Aidilfitri disambut atas kejayaan menyempurnakan ibadat puasa selama sebulan. Manakala Aidiladha menjadi simbol pengorbanan manusia menghampirkan diri kepada Allah melalui ibadat-ibadat yang disyariat sempena kedatangannya.   

Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban. Dikenali juga Hari Raya Haji bersempena pada masa yang sama umat Islam melaksanakan ibadat haji di Makkah. Manakala dinamakan Hari Raya Korban kerana mengingati kembali peristiwa Nabi Ibrahim ingin melakukan korban terhadap puteranya Nabi Ismail. 

Bagi individu yang berkemampuan, sempena Aidiladha disunatkan melakukan ibadat korban. Ibadat korban ialah menyembelih binatang ternakan pada Aidiladha (selepas sembahyang sunat hari Aidiladha) atau pada hari Tasyrid (11, 12 dan 13 Zulhijjah - hingga tenggelam matahari 13 Zulhijjah) kerana ibadat kepada Allah. 

Sesiapa melakukan korban tidak pada masa yang ditetapkan, maka tidak dianggap melakukan ibadat korban. Menyembelih binatang bukan pada masa ditetapkan, kemudian daging itu diagihkan kepada orang ramai, amalan itu dianggap sedekah dan hadiah.  

Sabda Rasulullah bermaksud: “Baragsiapa menyembelih korban sebelum sembahyang Hari Raya Haji, sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya. Barangsiapa menyembelih korban sesudah sembahyang Hari Raya Haji dan dua khutbahnya, sesungguhnya dia telah menyempurnakan ibadatnya, dan dia telah menjalankan aturan Islam.” (Hadis riwayat Muslim).

Pada hari Aidiladha dan Tasyrik adalah hari kesyukuran dan kegembiraan untuk umat Islam. Selain dianjurkan melakukan ibadat korban, pada hari-hari berkenaan digalakkan berzikir, bertakbir dan bertahmid.  

Bagi memastikan kegembiraan dan semua orang dapat menikmati hidangan makanan yang disediakan, maka pada dua perayaan dan juga hari Tasyrik diharamkan berpuasa.

Keutamaan mengerjakan ibadat korban sepertimana dinyatakan Rasulullah dalam hadis bermaksud: “Tidak ada amalan anak Adam yang paling disukai Allah pada hari Aidiladha selain daripada mengalir darah (menyembelih korban) dan sesungguhnya (sembelihan) itu akan datang pada hari kiamat nanti berserta dengan tanduk, kuku dan bulunya semua sekali. Dan sesungguhnya darahnya akan berada di suatu tempat yang ditentukan Allah sebelum menitik ke bumi. Oleh itu ikhlaskanlah hatimu dengannya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi).

Antara jenis binatang yang boleh dijadikan korban ialah kambing, unta, biri-biri, lembu, dan kerbau, mengikut syarat yang ditetapkan syarak. Biri-biri hendaklah berumur lebih setahun. Bagi kambing, lembu, dan kerbau hendaklah berumur lebih daripada dua tahun. Manakala unta yang boleh dijadikan korban mesti berumur lebih lima tahun.

Binatang yang ingin dijadikan korban adalah yang tidak cacat, biarpun sedikit seperti carik daun telinga, berjalan terhinjut-hinjut, dan berpenyakit. Binatang yang terlalu kurus juga tidak boleh dijadikan korban. 

Dari Bara bin Azli, telah berkata Nabi: “Empat macam binatang yang tidak sah dijadikan korban, iaitu rosak matanya, sakit, pincang dan kurus tidak berlemak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Mereka yang melakukan ibadat korban disunatkan agar menyembelih binatang korban itu sendiri sepertimana dilakukan oleh Rasulullah.   

Jika tidak mampu, maka saksilah upacara korban itu sendiri. Menyaksikan sendiri ibadat korban mempunyai hikmahnya, iaitu ketika darah mula mengalir ke bumi, ketika itulah Allah megampuni dosa-dosa yang lalu daripada orang yang melakukan ibadat korban itu.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksilah, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampun bagimu atas dosa-dosamu yang lalu.” (Hadis riwayat Bazzar dan Ibnu Hibban).

Di sebalik ibadat korban bukan setakat menyembelih seekor haiwan tertentu, adalah sebenarnya satu latihan agar manusia sentiasa bersedia untuk berkorban jiwa dan tenaga demi menegakkan dan mempertahankan agama Islam. 

Daging korban boleh dimakan oleh orang yang melakukan ibadat korban dan ahli keluarganya, dalam kuantiti yang tidak melebihi satu pertiga. Daging korban juga boleh diagihkan kepada orang yang berada, tidak tertentu hanya kepada golongan fakir dan miskin sepertimana agihan zakat. 

Lebih afdal jika daging mantah diagihkan. Ini memberi peluang penerimanya memilih sendiri cara masakan yang disukai. Bagaimanapun tidak ditegah daging korban dimasak dan kemudian diberi makan kepada orang ramai, termasuk dalam bentuk majlis jamuan.

Kebenaran ini mempunyai maksud yang tersediri, antara lainnya membezakan ibadat korban dengan zakat. Sekiranya syarat agihan daging korban sama seperti zakat, maka daging itu tidak boleh dimakan oleh orang melaksanakan ibadat korban. 

Bagaimanapun, orang bernazar melakukan ibadat korban tidak dibolehkan memakan  daripada daging korbannya, melainkan sekadar beberapa suap.

PENGORBANAN DIBALAS KEMULIAAN

Pengajaran korban terbesar ialah apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Demi memenuhi suruhan Allah SWT, Nabi Ibrahim sanggup mengorbankan anak yang tersayang, Nabi Ismail yang diharapkan untuk menjadi tempatnya bergantung pada hari tua dan meneruskan tugas-tugas menyeru manusia mentauhidkan Allah SWT.  

Allah SWT memberi mimpi kepada Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya. Mimpi yang berlaku berturut-turut itu diyakini dan difahami oleh Nabi Ibrahim tentang apa yang perlu dilakukan olehnya. Biarpun perintah itu amat berat, namum Nabi Ibrahim reda melakukan demi membuktikan ketakwaannya.  

Lebih memilukan apabila berita itu disampaikan kepada Nabi Ismail, anaknya itu dengan penuh reda menerima suruhan Allah SWT itu. Bahkan, Nabi Ismail beriya-iya benar agar suruhan itu dilaksanakan dengan segera.  

Allah SWT merakamkan kisah ketika Nabi Ibrahim menyampikan perintah Allah SWT kepada Nabi Ismail dan apa yang dijawab oleh Nabi Ismail. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi di dalam tidurku aku diperintah menyembelih engkau, bagaimanakah pendapatmu? Jawab Ismail: “Wahai ayahku, laksanakanlah apa-apa yang diperintahkan oleh Allah kepadamu.” (Surah ash-Shaffat, ayat 102).

Ketaatan dan keikhlasan dua beranak itu memberi pengajaran yang amat mendalam tentang istilah dan tuntutan korban. Melakukan korban bukan perkara mudah dan sekadar suka-suka.

Apakah yang lebih disayangi di dunia ini melainkan anak? Bapa sanggup berkorban apa sahaja, termasuk nyawanya sendiri demi membesarkan seorang anak. Tetapi, Nabi Ibrahim melakukan sebaliknya. Anaknya bakal terkorban di tangannya sendiri. 

Begitu juga tidak ada yang paling ditakuti oleh manusia di dunia ini melainkan maut. Namun, Nabi Ismail pula tidak sabar-sabar untuk menemui maut semata-mata kerana ingin melaksanakan suruhan Allah SWT. 

Iblis berusaha keras mengganggu upacara korban itu dengan membisikkan keraguan di mereka agar membatalkan melakukan korban. 

Simbolik Nabi Ibrahim melontar iblis dengan batu daripada mengganggu tugasnya melakukan korban diterjemahkan dalam perbuatan jamaah haji melantor di tiga buah Jamrah ketika berada di Mina.  

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mendatangkan kerugian kepada hamba-Nya yang benar-benar melakukan korban. Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas yang baik, didatangkan dari syurga ketika mana Nabi Ibrahim telah hampir melaksanakan korban terhadap anaknya.

Dari peristiwa korban Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu, maka dijadikan asas kepada ibadat korban yang diadakan pada setiap menyambut ketibaan Aidiladha. 

SEBAB AIDILADHA MERIAH DI KELANTAN

Sambutan Adiladha di Kelantan lebih meriah berbanding negeri-negeri lain. Hal ini sebenarnya lebih dipengaruhi bagaimana acara ibadat korban diadakan. Di Kelantan, bilangan lembu yang disembelih agak banyak memandangkan majoriti penduduk Kelantan adalah Islam.   

Kemeriahan acara korban nampak ketara kerana acara itu diadakan secara kumpulan kecil di mana setiap ekor lembu disembelih di satu tempat yang ditentukan oleh ketua kumpulan yang biasanya juga pemilik asal lembu itu. 

Hampir seluruh ahli keluarga yang terlibat dalam ibadat korban akan berkumpul di tempat di mana lembu akan disembelih. Bayangkan tujuh keluarga bagi mewakili tujuh bahagian seekor lembu berkumpul di satu tempat. Suasana ini pastinya kelihatan meriah. 

Biasanya tidak semua keluarga yang terlibat datang dari satu kampung yang sama. Ada yang datang jauh dari daerah lain kerana yang menawarkan bahagian korban itu mungkin ada hubungan keluarga atau rakan sekerja. 

Jadi, sejak awal pagi lagi atau sebaik selesai sembahyang sunat hari raya, mereka terpaksa bertolak dari rumah masing-masing. Kesibukan kenderaan di jalan raya agak ketara, masing-masing menuju ke tempat acara korban.  

Ketika acara korban itu wujud perkenalan baru yang terbentuk suasana persaudaraan yang mesra biarpun baru berkenalan.

Lembu yang dikorbankan diuruskan sendiri oleh ahli keluarga berkenaan. Mereka berkumpul melakukan kerja melapah mengikut kebolehan masing-masing dengan diketuai oleh seseorang yang lebih arif tugas tersebut. Kerja-kerja ini menjadi pengalaman berharga bagi mereka yang kali pertama melakukannya.   

Disebabkan kerja melapah ini perlu dilakukan sendiri, ada ibu bapa yang anaknya tinggal atau bekerja di luar Kelantan akan awal-awal lagi ingin kepastian sama adanya akan pulang atau tidak. 

Jika anak tidak dapat pulang, mungkin dia terpaksa membatalkan niat untuk melakukan ibadat korban pada tahun itu. Selain sebagai ibadat, korban juga adalah sebahagian tanda penghargaan ibu bapa terhadap kepulangan anak-anak pulang berhari raya di kampung.

Sebab itu, anak Kelantan akan berusaha mendapatkan cuti pulang ke kampung pada sambutan Aidiladha kerana merasakan seperti ada tanggungjawab yang perlu dilakukan. 

Proses melapah dan pengagihan bahagian daging korban biasanya mengambi masa kira-kira tiga jam. Sepanjang tempoh itulah nampak suasana kemeriahan dan masing-masing ada tugas yang perlu dilakukan. 

Bagi kaum wanita pula sibuk memasak untuk dihidangkan sebaik selepas proses melapah dan pengangihan bahagian korban selesai. Menu masakan biasanya ringkas dengan menggunakan daging korban yang mula-mula diasingkan. 

Dengan kata lain, ada dua kemeriahan di sini, iaitu kaum lelaki sibuk melakukan kerja-kerja melapah, pembersihan dan pengagihan daging korban. Manakala kaum wanita pula sibuk menyediakan makanan yang perlu dilakukan dalam tempoh masa yang agak singkat. Biasanya, sebaik kerja-kerja melapah selesai, hidangan juga siap untuk dimakan. 

Daging korban, termasuk semua organ seperti perut, hati, tulang, limpa dan tulang yang telah dibahagikan mengikut tujuh bahagian akan diuruskan dan diagihkan sendiri oleh keluarga yang mengadakan ibadat korban kepada sesiapa yang difikirkan layak menerimanya.

Belulang atau kulit lembu yang termasuk dalam bahagian yang sepatutnya diagihkan tujuh bahagian biasanya dipersetujui disedekahkan kepada sesiapa yang inginkannya.  

Jadi, setelah selesai kerja-kerja di tempat menyembelih lembu, maka daging itu akan dibawa pulang ke rumah orang mengadakan ibadat korban. Setelah itu, daging dikerat menjadi bahagian lebih kecil untuk diagih-agihkan pula.

Di sini sekali lagi menampakkan kemeriahannya apabila kita akan melihat orang bergerak ke sana dan ke mari untuk mengagih-agihkan bahagian daging korban. Ada yang terpaksa memandu agak jauh semata-mata untuk mengagihkan daging korban sebagai tanda persaudaraan dengan ahli keluarga atau kenalan yang tinggal jauh. 

Ada juga yang memasak daging korban untuk dijadikan hidangan kepada jemputan yang terdiri sanak saudara dan jiran tetanga yang diadakan pada sebelah malamnya atau pada hari keesokannya. Jadi, di sana sini ada orang membuat kenduri sempena ibadat korban. 

Selain diniat untuk ibadat korban, banyak juga ibu bapa yang mengambil kesempatan mengambil satu bahagian daripada tujuh bahagian lembu untuk diniat sebagai akikah. Daging akikah lebih afdal dimasak dan kemudian dijamu kepada orang ramai.   

Hal ini secara tidak langsung memperlihatkan suasana kemeriahan sambutan Aidiladha di Kelantan. Tidak ada acara sambutan lain yang berbeza dengan sambutan di luar Kelantan. Dengan kata lain, kemeriahan sambutan Aidiladha di Kelantan disebabkan tradisi perlaksanaan ibadat korban yang agak unik.   

Mengenangkan kemeriahan inilah, orang berasal daripada Kelantan yang tinggal di seluruh negara akan sedaya mungkin pulang menyambut Aidiladha.

Saturday 21 July 2018

USIA MUDA MULA BINA KEJAYAAN

Pesan bijak pandai, nikmat usia muda jangan dipersiakan. Umur muda hanya datang sekali dan sekejap saja. Banyak kelebihan usia muda yang mesti dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan hidup, di dunia dan akhirat. Permulaan kejayaan hidup apabila kita memanfaatkan kehidupan usia muda.      

Ketika usia muda jiwa lebih bersemangat dan waja. Kata orang tua, darah muda mudah mendidih yang membuktikan semangat yang membara mudah untuk melakukan apa saja. Semangat yang membara itu perlu digunakan untuk mencapai kebaikan dan mengelak diri daripada terlibat amalan tidak bermoral.     

Malang sekali apabila ada di kalangan golongan muda yang beranggapan kononnya usia muda adalah peluang untuk berseronok. Jadi, apa saja yang keinginan dilakukan tanpa berfikir panjang dan segala-galanya dirasakan hebat. Segala keinginan ingin ditunaikan untuk kepuasan.  

Malah ada yang berkata, masa muda peluang untuk melakukan apa saja tanpa memikirkan dosa dan pahala. Mereka berpendapat amat rugi jika pada usia muda tidak melakukan perbuatan dosa (maksiat hawa nafsu). Apabila umur sudah tua baru hendak buat pahala dan bertaubat. 

Kita kena sedar bahawa kematian tidak menunggu usia tua baru berlaku. Di sekeliling kita sentiasa berlaku kes kematian melibatkan individu yang masih muda. Seperti setandang kelapa, ada yang gugur ketika masih putik, masa muda, dan ada sampai ke tua. 

Sekarang ini ramai orang muda mati akibat kemalangan, penyakit berbahaya, dan tidak kurang akibat kesalahan sendiri seperti penagihan dadah yang membawa kepada penyakit Aids.

Perbuatan dosa menyebabkan golongan mudah lebih mudah menemui maut kerana ia sememangnya berbahaya. Sebab itu agama menegahnya. Islam mengharamkan umatnya melakukan perbuatan mendatangkan mudarat kepada diri sendiri dan orang lain.   

Jiwa muda yang bersemangat dan waja perlu dipacu ke arah kebaikan. Jangan tunggu usia tua baru ingin berusaha. Teori mengatakan usia lelaki bermula pada usia 40 tahun adalah dusta yang direka-reka untuk melekakan manusia. 

Hakikatnya, usia 40 sudah tiba masa menuai hasil, bukan baru hendak bermula. Memang kita dapati ramai orang mula beroleh kejayaan dalam hidup seperti mendapat pangkat, harta dan kedudukan yang baik apabila usia hampir atau melebihi 40 tahun.

Untuk berjaya memerlukan usaha yang lama. Mereka yang berjaya mungkin telah berusaha sejak usia awal 20an sebaik selepas tamat pengajian, iaitu lebih kurang 20 tahun. Bayangkan jika ketika berusia 40 tahun baru nak mula berusaha bersungguh-sungguh. Bilakah agaknya baru berjaya? Adakah ketika usia 60 baru hendak berjaya? Rasanya dah lewat benar.

Sebab itu golongan muda jangan bertangguh lagi untuk berusaha membina kehidupan yang lebih baik. Jika ingin merasai keseronakan hidup, berusahalah mengisi kehidupan ini dengan perkara berfaedah. Kepuasan akan lahir apabila kita menghargai masa dan beroleh apa yang diusahakan. Kebaikan yang dilakukan adalah santapan rohani paling lazat.

Individu yang membazirkan masa dengan berhibur, lepak, dan melakukan perbuatan dosa sebenarnya jiwanya tidak tenang. Kegembiraan sekadar nampak di luar sedangkan hakikatnya mereka menanggung derita batin. Orang melakukan perbuatan ditegah agama tidak akan menikmati kebahagiaan hidup yang sebenar.

Apa yang ditegah agama bermakna perkara buruk yang perlu dijauhi. Jika dilakukan, bukan sahaja dosa diperoleh, tetapi keburukan ditanggung di dunia ini. Orang tidak ikut hukum agama sebenarnya hidup dalam pura-pura. Mereka tidak menikmati kehidupan sebenar biarpun nampak gembira dan senang.

Lakukan perkara baik dan penuhi masa muda dengan melakukan perbuatan mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Wednesday 18 July 2018

KAMBING AKIKAH DI KELANTAN

Permintaan terhadap kambing semakin tinggi. Penternakan kambing menjadi satu industri menguntungkan. Pengusaha ladang kambing bukan sahaja menawarkan kambing hidup, tetapi juga khidmat penyembelihan, lapah dan potong daging sehinggalah memasak. Pembeli hanya menerima yang telah siap dan sedia untuk dihidangkan.

Permintaan terhadap kambing hidup biasanya untuk akikah, nazar, niat mahupun korban. Harga seekor kambing antara RM600 hingga RM850 mengikut baka dan saiz. Manakala khidmat penyembelihan, lapah dan cincang daging serta tulang dikenakan bayaran tambahan.

Untuk khidmat memasak juga dikenakan bayaran mengikut kos bahan serta upah kerja. Semua bayaran dan upah itu dikira berbaloi jika ingin dibuat sendiri.

Saturday 14 July 2018

FOREVER ALOE VERA GEL KAYA KHASIAT

Aloe vera atau lebih dikenali sebagai pokok lidah buaya adalah antara tumbuhan semula jadi yang paling banyak khasiat kepada manusia sama ada untuk kegunaan luaran mahupun dalaman.

Jika dilihat pada struktur tumbuhan aloe vera itu sendiri, bahagian luar daunnya yang keras dan tebal secara semula jadi memerangkap dan menyimpan air yang kemudiannya berubah kepada bentuk jeli.
 
Jeli pada bahagian berkenaan mempunyai pelbagai khasiat untuk manusia yang mana kebaikannya terutama pada kulit. Keadaan itu dapat dilihat pada sifat semula jadi jeli yang bertindak membaluti dan melindungi bahagian daun yang terdedah selepas beberapa jam dikerat.

Bahagian dalam jeli yang terdedah itu akan terlindung daripada serangan bakteria. Sifat perlindungan semula jadi itu akan terhasil apabila jeli itu digunakan untuk memelihara kulit manusia.

Berdasarkan beberapa kajian, aloe vera adalah tumbuhan paling banyak khasiat yang digunakan untuk kesihatan dalaman dan luaran sejak lebih 5,000 tahun dahulu.

Antara komponen aktif yang terkandung dalam tumbuhan ini adalah air, pelbagai vitamin (A, C, E, B1, B2, B3, B6 dan B12) dan mineral (kalsium, magnesium, zink, kromium, selenium, sodium dan zat besi), enzim serta asid amino.

Komponen terbaik aloe vera ialah mempunyai sifat membersih dan anti-septik, bertindak dengan kuat terhadap bakteria, virus dan kulat.

Tumbuhan ini juga berupaya menghalang jangkitan kerana bersifat anti bakteria. Berfungsi memelihara kulit dan membaiki sel yang rosak dan penghasilan kolagen dan protein yang mengawal proses penuaan kulit dan kedutan.

Mengambil kebaikan khasiat pokok aloe vera maka lahirlah produk Forever Aloe Vera Gel.

Keistimewaan Forever Aloe Vera Gel
:
- Kesegarannya dikekalkan pada 99.875% dengan menggunakan teknologi penstabilan. 
- Teknologi pembuangan kulit menjadikan ia selamat diminum. 

Pengambilan aloe vera membantu tubuh dengan membuang apa yang tidak baik dan meningkatkan kualiti dalaman tubuh.

Kenapa perlu minum aloe vera?
- Jika anda sihat, minuman aloe vera akan meningkatkan kesihatan organ dalaman anda dan menjadikan anda lebih cergas, bertenaga dan sihat.
- Jika anda kurang sihat, ianya akan membantu perawatan organ dalaman tubuh anda

Pengambilan Forever Aloe Vera Gel bergantung kepada individu. Ada yang bermula dengan dos yang besar seperti setengah gelas mahupun secawan ataupun bermula dengan dos yang kecil seperti 20ml dua kali sehari atau mengambilnya dalam lingkungan 60ml dua kali sehari - waktu pagi sebelum bersarapan dan sebelum anda tidur.

Untuk kesan yang maksimun, elakkan dari makan apa-apa selama sejam selepas pengambilan aloe vera.
 
Kanak-kanak untuk usia setahun ke atas - berikan 15ml dua kali sehari

Aloe Vera bukanlah sejenis "overnight cure" yang akan melakukan segala-galanya dalam tempoh yang singkat. Pun begitu setiap orang mempunyai tempoh masa yang berbeza untuk melihat kesannya.

Apa yang penting, segala amalan yang tidak sihat seperti merokok, makan makanan yang tinggi kolesterol dan seumpamanya haruslah dihentikan. Berikan ruang untuk tubuh anda mengalami pembaikan atau istilahnya adjustment.

Bolehkah pesakit kencing manis mengambil Aloe Vera Gel?
Dalam sesetengah pesakit kencing manis, didapati Aloe Vera meningkatkan jumlah insulin yang dihasilkan oleh badan.

Sesiapa yang mempunyai diabetes yang ingin mengambil aloe vera harus sedar tentang perkara ini dan harus berunding dengan doktor mereka untuk memastikan bahawa tahap insulin mereka adalah betul dan dipantau dengan teliti.

Terdapat ramai pesakit kencing manis kini minum gel atau jus aloe vera dan mendapati bahawa diabetes mereka "under control" di mana berat badan mereka adalah lebih stabil dan mereka lebih bertenaga.

Alahan dan masalah kulit? Jika takut untuk menghadapi alahan, ambil langkah "ujian pertama" - minum dos pertama anda dan lihat kesannya. Bagaimanapun setakat ini belum ada masalah dan menjadi penawar kepada pelbagai permasalahan kulit.

Bolehkah wanita mengandung mengambil Forever Aloe Vera Gel?
Sebagai peneraju pengeluar produk kesihatan berasaskan Aloe Vera di dunia ini, produk ini adalah tulen dan stabil serta telah dapat digunakan dengan selamat oleh wanita-wanita hamil.

Tempoh keberkesanan penggunaan Forever Aloe Vera Gel bergantung kepada penerimaan badan individu. Sebagai bahan semulajadi, ianya mengambil masa untuk perawatan tubuh dan bergantung kepada individu itu sendiri kerana tahap tindakbalas badan manusia adalah saling berbeza. 
 

Wednesday 11 July 2018

WANITA PERLU TINGKAT KEMAHIRAN HADAPI CABARAN MASA KINI

Golongan wanita perlu meningkatkan kemahiran antaranya menguasai bidang jahitan dan kraf tangan bagi membantu mereka lebih berdikari. Sekiranya wanita terutama ibu-ibu tunggal dapat menguasai salah satu kemahiran itu, maka ia dapat mengurangkan kebergantungan mereka kepada pihak lain. Banyak ibu tunggal yang berdepan masalah kewangan untuk membesarkan anak-anak setelah bercerai dengan suami atau kematian suami. 

Golongan wanita bukan hanya dapat melahirkan daya kreatif masing-masing dengan menguasai kemahiran itu tetapi juga dapat membantu menjana pendapatan. Di samping memperoleh pendapatan, mereka juga dapat menguruskan anak-anak dan keluarga dengan baik kerana semuanya dilakukan di rumah. Pendapatan hasil menjahit dan kraftangan tidak kurang lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Kerja yang dilakukan di rumah boleh dibantu oleh anak-anak ketika mereka lapang. Bahkan, jika dilakukan dalam skala besar ia boleh menjadi satu 'industri' keluarga.

Banyak hasil kraftangan atau produk dihasilkan di rumah kini telah memasuki pasaran antarabangsa setelah menepati piawaian yang diterima di luar negara.

Banyak agensi yang menyediakan latihan kemahiran yang bersesuain untuk kaum wanita menggunakan kemahiran itu untuk menjana pendapatan. Menyentuh mengenai modal, bagi yang tidak mampu menyediakan dari sumber sendiri, pinjaman disediakan oleh kerajaan dan bank boleh dipohon mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Kemahiran yang dimanfaatkan adalah satu terapi yang dapat menghilangkan segala masalah apabila kita khusyuk melakukannya. Ia juga dapat mengelak masa terbuang begitu saja tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah.

Dengan adanya kemahiran seperti ini, kaum wanita juga dapat membantu menjayakan misi kerajaan iaitu wanita sebagai salah satu penyumbang kepada kestabilan ekonomi dan sosial.

Jangan hanya mengharapkan suami (bagi yang masih bersuami) atau bantuan pihak lain untuk memenuhi keperluan keluarga, sedangkan kesihatan dan ruang masa dipersia-siakan begitu saja.

Monday 9 July 2018

LARANGAN TERHADAP BALU BERKAITAN IDAH

Wanita berada dalam idah kematian suami wajib menjaga diri dan tingkah laku. Antara perkara ditegah adalah tidak boleh keluar rumah kecuali untuk keperluan mendesak seperti mencari rezeki, mendapat rawatan dan urusan yang jika tidak disempurnakan akan mendatangkan keburukan kepada diri sediri mahupun orang lain.

Wanita dalam idah juga tidak boleh berhias atau melakukan tindakan yang boleh mengundang minat lelaki terhadapnya. Sebarang bentuk hubungan dengan lelaki lain yang membawa kepada daya minat tidak boleh dilakukan.

Antara sebab larangan ini adalah bagi memastikan rahim mereka benar-benar bersih daripada zuriat suami yang baru meninggal dunia. Selain itu, ia juga bagi mengelakkan prasangka buruk masyarakat tentang kematian suaminya.

Jika isteri terlalu galak keluar dan bersuka ria, mata awam boleh berprasangka dengan pelbagai andaian. Contohnya akan ada tuduhan bahawa si balu itu memang menanti dan gembira dengan kematian suaminya untuk membolehkan bersama dengan lelaki lain. Ini secara tak langsung bakal mencemarkan maruah si wanita itu sendiri.

Selain kesedaran si balu untuk mematuhi peraturan dalam idah, tanggungjawab memastikan ia berlaku terletak pada wali si perempuan. Jika wanita itu masih ada bapa, maka bapalah yang bertanggungjawab untuk memastikan ia dituruti.

Firman Allah SWT bermaksud: “Orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (idah) empat bulan 10 hari. Kemudian apabila telah habis idahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat,” (Surah al-Baqarah, ayat 234).

Sabda abi SAW bermaksud: "Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari kecuali berkabung atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari.  Kami dilarang bercelak mata, dilarang memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berwarna-warni." (Hadis riwayat Bukhari)

Bagi perempuan yang kematian suami, tempoh `idah juga sebagai tempoh berkabung bagi menghormati dan mengingati nikmat perkahwinan terdahulu. Ia juga sebagai tanda menjaga hak suami dan  tanda menzahirkan kesetiaan isteri kepada suaminya. Selain itu, berkabung juga sebagai lambang pengabdian diri terhadap perintah Allah SWT.

Walaupun wanita berkabung dilarang daripada berhias, ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah, mereka wajib menjaga kebersihan dan kekemasan diri, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh idah dan berkabung itu.

Monday 2 July 2018

PENYAKIT MUSIBAH CUBAAN ALLAH

Allah menguji manusia dengan pelbagai cara dan tahap. Tanpa ujian, kehidupan ini sekadar satu perjalanan biasa. Di antara ujian biasa dihadapi ialah sakit. Mungkin ramai menganggap penyakit perkara lumrah dan semua orang mengalami pelbagai jenis penyakit. Hakikatnya, penyakit merupakan ujian perlu kita sedari ia menguji keimanan.

Bagi Ibnu Taimiyah, penyakit dianggap sebagai zakat kesihatan. Kita dianugerahkan rezeki sihat. Dalam tempoh masa tertentu kita mendapat sihat dan dapat melakukan tugasan hidup dengan selesa, segar dan kuat. 

Masa kita sakit, ia mengingatkan nikmati sebenar sihat. Dengan itu kita sedar bahawa keadaan sihat tersebut dikurniakan oleh Allah yang menjadi hak untuk Allah menariknya pada bila-bila masa. Allah memberi ujian dengan sakit agar kita tidak lupa nikmat sihat yang diberikan, seterusnya sedar apakah yang perlu dilakukan dengan nikmat tersebut.

Sifat manusia memang mudah lupa. Sekiranya diberikan sedikit peringatan, bagi orang beriman mudah timbul rasa keinsafan di dalam diri. Apabila diri mengalami sakit, dilakukan muhasabah diri apakah kesalahan atau dosa yang telah dilakukan. 

Muhasabah diri memberi peluang untuk membetulkan diri. Sebagai seorang Muslim, kita perlu menyedari setiap tanda yang diturunkan oleh Allah. Setiap Qada dan Qadar Allah terhadap kehidupan ini ada hikmahnya.

Justeru, jika kita ditimpa penyakit, fikir-fikirkan tentang apakah isyarat yang Allah berikan. Dalam menghadapi ujian tersebut, keterbukaan fikiran amat penting. Semua perkara ada penyelesaiannya. Begitu juga setiap penyakit ada ubatnya.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan Abu Daud, Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit, dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubat, kerana itu hendaklah kamu semua berubat, dan jangan berubat dengan benda yang haram.”

 Ujian penyakit bukan sahaja dialami di kalangan orang biasa, bahkan para nabi. Nabi Ayub menderita sakit kusta selama 16 tahun sehingga seluruh keluarga meninggalkannya. Namun, setelah Allah menyembuhkan kembali penyakit itu, seluruh ahli keluarga kembali kepadanya. Peristiwa tersebut dijadikan pengajaran bagi mereka ingin mengambilnya.

Hakikatnya, Allah tidak menurunkan ujian, melainkan ada hikmahnya mengikut apa telah Dia tetapkan. Salah satu hikmah di sebalik bala (termasuk penyakit) ialah menghapuskan dosa. 

Allah menghapuskan dosa-dosa hamba-Nya melalui pembalasan bala di dunia.  Bagaimanapun, dosa-dosa yang dihapuskan itu tidak termasuk dosa syirik, dosa terhadap ibu bapa dan dosa kesalahan terhadap orang lain seperti menumpat dan fitnah. Dosa dilakukan terhadap orang lain tidak dihapuskan, melainkan setelah orang berkenaan memberi kemaafan.  

Pengampunan dosa melalui musibah hanya berkesan jika kita menginsafi musibah itu, yakni menerima dengan reda, sabar dan memohon keampunan kepada Allah dengan bertaubat, serta meninggalkan perbuatan-perbuatan dosa.

Firman Allah bermaksud: “Mereka yang ditimpa musibah mengucapkan, ‘kita semua kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan kembali’. Mereka itulah akan mendapat keberkataan sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan juga orang yang mendapat petunjuk.” - (Surah al-Baqarah, ayat 156-157).

Sebaliknya, jika musibah itu dihadapi dengan perasaan angkuh, duka cita, tidak sabar dan menentang takdir, maka jadilah ia sebahagian daripada balasan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat nanti.

Bencana penyakit yang melanda perlu ditangani dengan tenang dan berkesan. Rakyat tidak seharusnya menunjukkan perasaan cemas atau kelam kabut, tetapi jangan pula menganggap seperti tidak ada apa-apa.

Langkah berjaga-jaga yang disarankan oleh kerajaan perlu dipatuhi bagi ia merabak. Di samping melakukan pelbagai langkah secara fizikal, Islam menganjurkan agar kita berdoa untuk kebaikan. 

Firman Allah bermaksud: “Dan jika Allah menimpakan kepada kamu sesuatu bahaya, maka tiadalah yang dapat membebaskan kamu daripadanya kecuali Dia.” - (Surah Yunus, ayat 107).

 Firman-Nya dalam surah ar-Rum, ayat 33 bermaksud: “Dan apabila manusia ditimpa kesusahan, mereka akan berdoa kepada Tuhannya serta bertaubat kepada-Nya.”

Justeru, bersama-samalah kita memanjat doa kepada Allah agar dilindungi daripada segala bahaya dan wabak penyakit. Semoga kehidupan ini aman dan bahagia. 

Wednesday 30 May 2018

SUNGAI LUBUK DURIAN LOKASI MELIHAT KELIP-KELIP

Nama Kampung Pulau terkenal sebagai lokasi untuk melihat fenomina kelip-kelip atau kunang-kunang pada waktu malam. Kampung Pulau terletak dalam kawasan Kubang Kerian. Jaraknya hanya kira-kira 8 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu.

Kampung Pulau terbahagi kepada 3 kawasan iaitu Kampung Pulau Hilir, Kampung Pulau Raja dan Kampung Pulau Tengah.

Secara gambaran am, Kampung Pulau berada di kawasan belakang Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian menganjur sehingga ke Sungai Pengkalan Datu.

Kampung Pulau Tengah dipisahkan oleh sebatang sungai dengan Kampung Pulau Hilir yang dikenali Sungai Lubuk Durian. Di Sungai Lubuk Durian inilah lokasi habitat kelip-kelip atau kunang-kunang.

Lokasi kelip-kelip ini menjadi tarikan pengunjung pada waktu malam untuk menikmati panorama pesta cahaya yang amat menarik. Ia menjadi lokasi menarik pelancong dari Kampung Pulau amat istimewa kerana mempunyai khazanah kelip-kelip yang hanya ada di beberapa lokasi sahaja di negara kita.

Antara lokasi lain habitat kelip-kelip ialah Kota Tinggi, Johor; Cheranting, Pahang dan Kampung Kuantan, Selangor.

Pokok berembang jadi pilihan kelip-kelip

Buah berembang atau ada juga yang memanggilnya buah gedabus dan buah perepat. Pokok berembang selalunya tumbuh di tepi pantai dan tepi sungai. Buah berembang berbentuk bulat yang agak leper dan kulitnya licin.  

Buah berembang rasanya masam. Buah berembang muda boleh dibuat sayur atau dimakan sebagai colek dicicah dengan garam atau kicap bercampur cili api dan sedikit gula. 

Buah berembang muda juga boleh dibuat sambal dan dimakan bersama nasi. Buah berembang muda berasa lemak-lemak masam dan ada mengatakan rasanya seperti keju.

Pucuk muda berembang dimakan mentah atau dicelur dan boleh dicecah bersama sambal belacan, budu, cencaluk atau pencecah yang lain.

Pokok berembang mempunyai keistimewaan tersendiri kerana kini dijadikan produk pelancongan yang "ajaib" di Malaysia iaitu terdapat banyak kunang-kunang atau kelip-kelip datang pada malam hari untuk menghisap manisan bunga pokok berembang.

Sebab itu, pokok berembang di kawasan tumpuan kelip-kelip akan dijaga dan diurus dengan baik. Pokok berembang ditanam untuk menambah bilangannya bagi menjadi habitat kunang-kunang.

KELIP-KELIP SEJENIS SERANGGA BERCAHAYA

 
Kelip-kelip atau dikenali sebagai kunang-kunang ialah sejenis serangga bersayap kategori kumbang yang dikenali sebagai Coleopetra.  
 
Kunang-kunang mengeluarkan cahaya yang berkelip-kelip pada waktu malam berwarna kuning, hujau atau merah muda di bawah abdomen yang tidak bersuhu dengan panjang gelombang 510 – 670 nanometer. 
 
Kelip-kelip yang berterebangan di bahagian pokok akan menjadikan pokok itu seperti pokok krismas yang dipenuhi dengan lampu kelip-kelip.
 
Tempoh jangka hayat kelip-kelip dewasa sangat singkat iaitu antara satu hingga dua minggu. Hidup mereka lebih pada melakukan pembiakan bagi kelangsungan populasi.
 
Cahaya yang keluar daripada kelip-kelip sebenarnya bertindak sebagai penunjuk-bio (bioindicator). Ia dikeluarkan oleh serangga jantan sebagai menarik perhatian sang betina.  
 
Sebagai tanda persetujuan terhadap ajakan sang jantan, kelip- kelip betina menyambutnya dengan mengelipkan cahaya juga. 
 
Kelip-kelip hidup di habitat yang mempunyai banyak pokok berembang. Pokok berembang atau gelaran saintifiknya, Sonneratia Caseolaris merupakan tanaman bakau yang tumbuh liar di tebing sungai.
 
Daun berembang yang jatuh ke sungai akan menjadi makanan siput. Manakala kelip-kelip pula akan menjadikan daun yang dimakan oleh siput itu tempat untuk bertelur.
 
Pada masa yang sama, kelip-kelip itu juga menjadikan pokok berembang sebagai tempat untuk membiak dan penting sebagai habitat.
 
Jadi, untuk mengekalkan habitat semulajadi kelip-kelip, usaha menanam atau menambah bilangan pokok berembang dilakukan pihak berkuasa, pihak swasta dan badan bukan kerajaan.
 
Namun, bukan semua tempat ada pokok berembang, maka ada kunang-kunang.
 
Di negara kita hanya beberapa tempat sahaja yang dikenali sebagai lokasi habitat kunang-kunang dalam jumlah yang banyak.  
 
Antara lokasi tersebut ialah Kampung Pulau, Kubang Kerian, Kelantan; Kota Tinggi, Johor; Cheranting, Kuantan dan Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

SUNGAI LUBUK DURIAN LOKASI LIHAT KELIP-KELIP

Di Kota Bharu ada tempat kelip-klip? Itulah kata-kata terkejut seorang kawan apabila diberi tahu di Kota Bharu (dalam daerah atau jajahan) ada lokasi melihat klip-klip yang telah terkenal di kalangan pelancong asing.

Lebih tepat, lokasi yang dimaksudkan ialah Taman Kelip-Kelip, Kampung Pulau yang terletak di Kubang Kerian. Jaraknya kira-kira 8 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu.

Pengunjung akan dibawa menyusuri Sungai Lubok Durian sambil melihat keindahan cahaya kelip-kelip atau dikenali juga kunang-kunang pada pokok berembang sepanjang laluan sungai. Waktu terbaik melihat panorama indah cahaya kelip-kelip adalah sekitar pukul 8 hingga 11 malam.

Jutaan kelip-kelip menjadikan pokok berembang yang tumbuh di tepi pulau itu sebagai habitat mereka dilihat umpama pohon bercahaya yang berkelipan sepanjang malam.

Ternyata ia boleh dijadikan sebagai salah satu aktiviti waktu malam yang cukup indah dengan ditemani cahaya bulan dan kelipan cahaya kelip-kelip yang menggamit suasana malam.

Dikatakan hanya terdapat beberapa tempat di dunia ini yang mempunyai keajaiban misteri kelip-kelip dan kewujudannya yang terletak dipinggir bandar utama negeri Kelantan ini telah menambah satu lagi lokasi menarik yang harus dikunjungi.

Terdapat pengusaha menyediakan kemudahan bot untuk pengunjung menyusuri Sungai Lubok Durian untuk melihat aksi kelip-kelip. Daripada bot yang disediakan, pengunjung berpeluang melihat keajaiban kelip-kelip secara dekat di mana kelip-kelip akan berkeliaran dan berkelipan sepanjang malam.

Pada waktu hujan dan bulan terang, pengunjung tidak akan dapat menikmati cahaya kelip-kelip kerana pada waktu tersebut, haiwan tersebut tidak mengeluarkan cahaya. Waktu yang terbaik untuk melihat kelip-kelip adalah pada musim kemarau iaitu bermula Februari hingga Oktober.

MASJID SULTAN ISMAIL PETRA KUBANG KERIAN

Masjid Sultan Ismail Petra atau dikenali juga sebagai Masjid Biru Kubang Kerian merupakan mercu tanda bandar Kubang Kerian. Terletak di Jalan Sultan Yahya Petra yang menjadi laluan utama Kota Bharu - Pasir Putih menjadikan ia menjadi perhatian umum.

Pembinaannya bermula pada tahun 1986 dibiayai oleh seorang individu yang bernama Tan Sri Ibrahim bin Mohamad dari Kampung Putih Telipot. Bagaimanapun, proses pembinaan masjid ini tergendala oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. 

Pada tahun 1988 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan (MAIK) telah menyambung pembinaannya dengan perbelanjaan daripada MAIK dan sumbangan orang ramai yang berjumlah RM15 juta.

Reka bentuk masjid ini berkonsepkan seni bina Timur Tengah. Ianya mempunyai empat menara berkubah dan dua kubah besar. 
 
Di dalam masjid ini terdapat ruang solat utama yang mampu menampung 3000 orang jemaah. Terdapat juga ruang solat tambahan yang mampu menampung kapasiti 2000  jemaah.  

Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian telah disempurnakan pembukaannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ismail Petra ibni Sultan Yahya Petra Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan Darul Naim pada 8 Safar 1413 Hijrah bersamaan 7 Ogos 1992 Masihi.

Masjid Sultan ismail Petra Kubang Kerian menjadi lokasi untuk program keagamaan peringkat negeri Kelantan, selain di Masjid Muhammadi di Kota Bharu.

SEJARAH ASAL NAMA KUBANG KERIAN

Sejarah daerah (mukim) Kubang Kerian asalnya bernama daerah Lundang. Pada awal dekad 1970an, daerah Lundang telah dipinda batas sempadan pentadbirannya dan diubah nama menjadi daerah Kubang Kerian oleh pihak berkuasa disebabkan keperluan kehendak semasa pentadbiran.

Kubang Kerian adalah subbandar kepada Kota Bharu. Pembangunan kawasan Kubang Kerian sebagai menampung perkembangan Kota Bharu. 
 
Sebelum itu, subbandar bagi Kota Bharu ialah Lundang. Di kawasan Lundang terdapat kawasan perindustrian terawal di Kelantan.

Daerah Kubang Kerian sekarang merupakan sebuah bandar baharu dan terkenal di Kelantan terutama kerana wujudnya Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang menjadi sebahagian kampus cawangan Universiti Sains Malaysia (USM). 

Kubang Kerian juga terkenal kerana terletaknya Istana Negeri Kubang Kerian iaitu istana rasmi Sultan Kelantan.

Sebelum itu Kubang Kerian dianggap terpencil di pinggir Kota Bharu. Terdapat banyak lopak dan kubang yang menjadi tempat kerbau berkubang di kawasan itu. 

Dipercayai nama Kubang Kerian diambil dari fenomina di kawasan itu yang terdapat banyak kubang atau kubang besar tempat kerbau berkubang dan adanya pokok krian di situ.

Kubang Kerian terletak kira-kira 10-15 minit perjalanan dari Kota Bharu dan kira-kira 15-20 minit dari lapangan terbang Sultan Ismail Petra. 
 
Salah satu mercu tanda di Kubang Kerian ialah Masjid Sultan Ismail Petra atau dikenali sebagai Masjid Biru Kubang Kerian.

Friday 25 May 2018

TUGAS DAKWAH TERLETAK DI BAHU SETIAP MUSLIM

Gelaran pendakwah biasanya merujuk kepada penceramah agama, imam, ustaz dan mereka yang menyampaikan seruan berbentuk keagamaan. Manakala golongan didakwah pula terdiri mereka yang jahil agama serta melakukan maksiat yang menjurus kepada hal-hal berkaitan dengan agama. 

Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam menjelaskan kekeliruan itu mengatakan pandangan seperti ini tidak mempunyai asas dan ia hanya menonjolkan satu aspek saja dari keseluruhan kandungan risalah Islamiah yang luas. 

Fokus tugas dakwah cuba disempitkan dengan meletakan tanggungjawab penting itu hanya di bahu individu tertentu saja.

Hal ini menyemai anggapan penganut agama lain yang cuba memisahkan kehidupan seharian dengan agama, lalu urusan berkaitan berdakwah dijadikan tugas hakiki kepada mubaligh dan mereka yang mempunyai jawatan dalam carta organisasi agama.     

Sedangkan tugas berdakwah sebenarnya mempunyai pengertian yang luas sesuai dengan sifat risalah Islamiah itu sendiri yang tidak hanya membataskan urusan agama di tempat-tempat ibadat saja.

 Ajaran Islam yang sempurna mencangkupi bidang yang luas bermula dari akidah, ibadat, hinggalah kepada pemerintahan, perundangan, pendidikan, pertahanan, kebudayaan, kesenian, kewangan dan sebagainya.

Ini bermakna seluruh bidang kehidupan manusia merangkumi risalah Islamiah yang perlu dilaksanakan dalam rangka memakmurkan alam ini seperti mana yang diperintahkan oleh Allah. 

Islam adalah cara hidup yang teratur, lengkap dan melengkapkan, murni, benar dan memenuhi tuntutan kehidupan sebenar manusia di dunia dan akhirat. 

Sesiapa yang melakukan perintah Allah dalam kehidupan sehariannya, maka dia sebenarnya melakukan tugas dakwah yang turut memberi kesan kepada orang lain.

Dalam realiti kehidupan umat Islam, mereka perlu menjalankan kegiatan hidup dalam berbagai-bagai bidang kehidupan bagi memenuhi keseluruhan tuntutan risalah Islamiah.

Dalam kehidupan umat Islam memerlukan adanya pemerintah, doktor, hakim, peniaga, petani, pendidik dan sebagainya mengikut kemahiran masing-masing.