Monday, 9 July 2018

LARANGAN TERHADAP BALU BERKAITAN IDAH

Wanita berada dalam idah kematian suami wajib menjaga diri dan tingkah laku. Antara perkara ditegah adalah tidak boleh keluar rumah kecuali untuk keperluan mendesak seperti mencari rezeki, mendapat rawatan dan urusan yang jika tidak disempurnakan akan mendatangkan keburukan kepada diri sediri mahupun orang lain.

Wanita dalam idah juga tidak boleh berhias atau melakukan tindakan yang boleh mengundang minat lelaki terhadapnya. Sebarang bentuk hubungan dengan lelaki lain yang membawa kepada daya minat tidak boleh dilakukan.

Antara sebab larangan ini adalah bagi memastikan rahim mereka benar-benar bersih daripada zuriat suami yang baru meninggal dunia. Selain itu, ia juga bagi mengelakkan prasangka buruk masyarakat tentang kematian suaminya.

Jika isteri terlalu galak keluar dan bersuka ria, mata awam boleh berprasangka dengan pelbagai andaian. Contohnya akan ada tuduhan bahawa si balu itu memang menanti dan gembira dengan kematian suaminya untuk membolehkan bersama dengan lelaki lain. Ini secara tak langsung bakal mencemarkan maruah si wanita itu sendiri.

Selain kesedaran si balu untuk mematuhi peraturan dalam idah, tanggungjawab memastikan ia berlaku terletak pada wali si perempuan. Jika wanita itu masih ada bapa, maka bapalah yang bertanggungjawab untuk memastikan ia dituruti.

Firman Allah SWT bermaksud: “Orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (idah) empat bulan 10 hari. Kemudian apabila telah habis idahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat,” (Surah al-Baqarah, ayat 234).

Sabda abi SAW bermaksud: "Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari kecuali berkabung atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari.  Kami dilarang bercelak mata, dilarang memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berwarna-warni." (Hadis riwayat Bukhari)

Bagi perempuan yang kematian suami, tempoh `idah juga sebagai tempoh berkabung bagi menghormati dan mengingati nikmat perkahwinan terdahulu. Ia juga sebagai tanda menjaga hak suami dan  tanda menzahirkan kesetiaan isteri kepada suaminya. Selain itu, berkabung juga sebagai lambang pengabdian diri terhadap perintah Allah SWT.

Walaupun wanita berkabung dilarang daripada berhias, ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah, mereka wajib menjaga kebersihan dan kekemasan diri, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh idah dan berkabung itu.

No comments:

Post a Comment