Saturday, 14 July 2018

PERBEZAAN BUAH MATA KUCING DENGAN BUAH LONGAN

Buah mata kucing atau dipanggil buah kelengkeng di Indonesia adalah sejenis buah-buahan tempatan. Buah mata kucing menyerupai buah longan yang banyak diimpot dari China dan Thailand. Sebenarnya, banyak orang keliru dan salah mengenai mana buah mata kucing dan mana buah longan. Kebanyakan orang menyangka buah longan adalah buah mata kucing. Buah mata kucing buah tempatan, manakala buah longan adalah buah import, walaupun kini mula ditanam di Malaysia.

Pokok mata kucing adalah dari jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan batang mampu mencapai ketinggian 20-30 meter. Batangnya berwarna coklat dan berkayu keras dan boleh dijadikan kayu balak apabila berumur lebih 50 tahun. Bunga mata kucing seperti juga pokok longan terbit di bahagian hujung dahan dengan jambak yang banyak berwarna kuning kecoklatan.

Buah mata kucing bersaiz kecil dengan warna kulit coklat dan kadang-kadang ada bintik-bintik kekuningan cerah. Jika dikupas kulitnya sebahagian akan kelihatan biji yang besar di dalamnya seperti 'mata kucing' dengan lapisan isi yang jernih dan manis. Saiz buah 1.5-2 cm ukurlilit dengan bentuk bulat atau sedikit bujur bergantung kepada spesis. Akar pokok adalah akar tunjang yang sangat kuat.

Pokok mata kucing banyak terdapat di Kampung Redong, Johor. Kampung Redong terkenal sebagai lokasi yang menghasilkan buah mata kucing dengn banyak untuk negeri Johor semenjak dulu lagi.

Buah mata kucing dengan buah longan memang hampir siiras. Buah longan, selain saiznya lebih besar, rasanya pula adalah lebih sedap daripada buah mata kucing. 

Buah longan isinya lebih jernih, dan kenyal. Kulit luar buah longan lebih licin, berbeza dengan buah mata kucing yang sedikit kasar dan lebih menggerutu. Warna kulit buah longan lebih cerah dan buah lebih kenyal dan tebal.

Perhatikan gambar di atas. Gambar bahagian atas adalah buah mata kucing dan gambar di bawah adalah buah longan. Diharap lepas ini tidak lagi bertukar antara buah mata kucing dengan buah longan. 

No comments:

Post a Comment