Thursday, 30 January 2020

SALAH SIAPA GRADUAN MENGANGGUR?


Fenomena graduan menganggur menjadi mimpi ngeri kepada graduan dan ahli keluarga. Hasrat mendapat pekerjaan dan memperoleh pendapatan lumayan selepas menamat pengajian di menara gading lebur.  
 
Banyak graduan yang terpaksa menerima hakikat dirinya terpaksa menjadi penganggur disebabkan peluang pekerjaan semakin mengecil sedangkan jumlah graduan yang keluar dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta meningkat setiap tahun.  
 
Banyak pihak telah membuat kajian mengenai kebolehpasaran graduan, terutama IPT sendiri melibatkan kursus-kursus yang ditawarkan. Hasil kajian menunjukkan sebahagian besar graduan berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduasi. Namun, masih ada graduan gagal mendapat pekerjaan biarpun telah dua tahun menamatkan pengajian.   
 
Rakyat Malaysia bertuah kerana peluang pekerjaan sentiasa terbuka untuk diceburi. Tidak dinafikan, banyak peluang pekerjaan dianggap tidak setimpal dengan kelulusan atau taraf pendidikan. Namun perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak bekerja. Pekerjaan itu mungkin sebagai permulaan saja sebelum mendapat jawatan yang lebih baik.
 
Berdasarkan kajian, ada pelbagai faktor yang menyebabkan graduan gagal mendapatkan pekerjaan contohnya kelulusan yang tidak sesuai, tiada pengalaman kerja atau sikap memilih kerja. 
 
Justeru, pelajar yang bakal bergraduasi dan memasuki pasaran pekerjaan perlu berusaha membentuk diri supaya menjadi `winnable candidate' yang mampu menarik minat majikan, boleh bekerja dan mahu diambil bekerja bagi mengelak daripada terus menganggur.
 
Pihak swasta, khususnya syarikat multinational amat mementingkan kepada pekerja yang mempunyai kelulusan profesional yang mampu menjalankan tugas dengan berkesan dan seterusnya memberi keuntungan kepada syarikat. Setiap sen yang dibayar kepada pekerja diharapkan memberi keuntungan berlipat ganda kepada syarikat.  
 
Majoriti graduan, sekadar mendapat kelulusan peringkat rendah, sukar untuk menyakinkan bakal majikan tentang tahap kemampuan melaksanakan tugas jika diambil bekerja.  
 
Kelulusan yang rendah dianggap oleh bakal majikan sebagai sebenarnya tidak lulus. Jadi, graduan berkenaan tidak layak menjalankan tugas yang tentunya mencabar dan memerlukan tahap pengetahuan dan kemahiran yang tinggi.
 
Graduan yang baharu lulus dari IPT berdepan dengan dua situasi ketika memohon pekerjaan. Pertamanya, majikan sering memberi alasan graduan tidak mempunyai pengalaman bekerja. Ini sudah pasti, tetapi mengapa perkara itu dibangkitkan oleh bakal majikan? 
 
Keduanya, jika mereka diterima bekerja, banyak di kalangan mereka tidak menunjukkan prestasi dan kesungguhan memajukan diri dengan bidang tugas yang dilakukan. Fenomena ini dijadikan alasan oleh majikan mengapa mereka serik hendak mengambil pekerja di kalangan mereka yang baru menamatkan pengajian.      
 
Justeru, pihak IPT perlu mengadakan syarat kemasukan yang lebih ketat. Tidak guna kita mengeluarkan siswazah yang tidak mencapai piawaian untuk memasuki pasaran pekerjaan. Ia akan menjadi bebanan kepada banyak pihak, termasuk pelajar dan ibu bapa sendiri.   
 
Mengetatkan syarat kemasukan bukan bermakna bilangan kemasukan ke IPT dikurangkan. Bilangan mahasiswa di IPT perlu ditingkatkan selaras dengan harapan kerajaan melahirkan lebih banyak graduan dalam pelbagai bidang. Apa dicadangkan ialah pelajar hendaklah ditawarkan kursus bersesuaian dengan kelulusan dimiliki.   
 
Contohnya, pelajar yang memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang memperoleh keputusan sederhana, lebih sesuai ditawarkan mengikuti kursus peringkat diploma atau sijil, berbanding terus belajar di peringkat ijazah. Ini bagi memastikan keupayaan mereka mencapai kelulusan cemerlang.
 
Biarpun kaedah ini merugikan tempoh pengajian, kerana pelajar memiliki STPM sepatutnya mengikuti kursus peringkat ijazah, itu lebih baik daripada mengambil kursus yang tidak mampu diikuti dengan cemerlang, dan kemudian menganggur selepas tamat pengajian.

1 comment:

  1. As stated by Stanford Medical, It's in fact the ONLY reason women in this country live 10 years longer and weigh 19 kilos lighter than us.

    (Just so you know, it is not related to genetics or some hard exercise and really, EVERYTHING related to "how" they eat.)

    BTW, I said "HOW", and not "what"...

    TAP on this link to uncover if this short questionnaire can help you decipher your true weight loss potential

    ReplyDelete