Jika di Kota Bharu ada Pasar Siti Khadijah,
di Kuala Terengganu terkenal dengan Pasar Payang, maka di Tawau, Sabah pula
berbangga dengan Pasar Tanjung.
Pasar Tanjung Tawau terletak di Jalan
Dunlop, berhampiran laut dan bersebelahan Kompleks Kastam, Imigresen dan
Kuarantin (CIQ) Tawau. Tahukah anda, Pasar Tanjung merupakan pasar tertutup terbesar
di Malaysia.
Kerja-kerja pembinaan Pasar Tanjung bermula
pada tahun 1995 dan kemudiannya siap sepenuhnya 4 tahun selepas itu iaitu pada
bulan Jun 1999, menelan kos sebanyak RM25 juta.
Dinamakan Pasar Tanjung sempena mengambil
nama terletaknya pasar tersebut iaitu Sri Tanjung. Kawasan Sri Tanjung adalah
kawasan utama pusat perniagaan awal di Tawau. Sebab itu, di kalangan penduduk
Tawau apabila ada urusan untuk membeli keperluan akan menyebutnya akan ke “Tanjung”.
Pasar Tanjung sememangnya merupakan antara
tempat pilihan paling utama para pelancong atau pengunjung dari dalam dan luar
negara yang datang ke Tawau tidak kira sama ada melancong atau pun melakukan
urusan kerja.
Boleh dikatakan perjalanan atau percutian di
Tawau tidak lengkap sekiranya tidak datang ke pasar tertutup yang paling besar
di Malaysia ini. Dengar saja perkataan pasar paling besar di Malaysia sudah
pastilah pasar ini adalah tempat menjual pelbagai jenis jualan.
Di pasar ini terdapat pelbagai jenis jualan
dari barang peralatan dapur hingga ke barang makanan termasuk makanan kering. Pasar
ini mampu menampung sehingga 6000 tapak perniagaan atau pun gerai.
Oleh kerana kedudukan Tawau yang sangat
hampir dengan beberapa pulau dari negara jiran Indonesia seperti Pulau Nyamuk
dan Tarakan, maka tidak hairanlah sekiranya terdapat banyak peralatan dapur
atau makanan ringan yang berasal dari sana iaitu seperti periuk-periuk, kuali,
keropok kering dan lain-lain lagi.
Walaupun terdapat beberapa jenis jualan yang datangnya dari negara jiran, namun jualan barangan tempatan tetap menjadi tarikan utama pelancong dan juga pengunjung yang datang ke sini seperti hasil kraf tangan dari penduduk tempatan iaitu bakul dan lain-lain lagi.
Pasar Tanjung menjadi tumpuan peminat ikan kering atau ikan masin serta hasil hidupan laut lain. Antara jenis ikan kering yang dijual di situ adalah ikan putih, ikan ketamba, ikan kurau, ikan bilis, ikan kerapu, ikan tulai dan udang kering keluaran tempatan dan Indonesia, yang sering mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan. Ikan kering di sini bukan sahaja murah tetapi juga banyak pilihan dan berkualiti.
Di tingkat atas terdapat gerai makan yang menyediakan masakan panas. Elok dapat menjamu selera selepas penat membeli belah.
Jadi, jika berkunjung di Tawau, jangan lupa
singgah di Pasar Tanjung. Pasti anda akan mendapat pengalaman dan kepuasan yang
berharga.
Ia beroperasi seawal jam 6 pagi dan menutup
perniagaan pada 6 petang. Namun, jika masih ramai pelanggan masa perniagaan
dilanjutkan bagi memberi peluang kepada pembeli terutama yang datang dari jauh.
No comments:
Post a Comment