Thursday 30 January 2020

SALAH SIAPA GRADUAN MENGANGGUR?


Fenomena graduan menganggur menjadi mimpi ngeri kepada graduan dan ahli keluarga. Hasrat mendapat pekerjaan dan memperoleh pendapatan lumayan selepas menamat pengajian di menara gading lebur.   

Banyak graduan yang terpaksa menerima hakikat dirinya terpaksa menjadi penganggur disebabkan peluang pekerjaan semakin mengecil sedangkan jumlah graduan yang keluar dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta meningkat setiap tahun.  

Banyak pihak telah membuat kajian mengenai kebolehpasaran graduan, terutama IPT sendiri melibatkan kursus-kursus yang ditawarkan. Hasil kajian menunjukkan sebahagian besar graduan masing-masing berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduasi. Namun, masih ada graduan gagal mendapat pekerjaan biarpun telah dua tahun menamatkan pengajian.   

Rakyat Malaysia bertuah kerana peluang pekerjaan sentiasa terbuka untuk diceburi. Tidak dinafikan, banyak peluang pekerjaan dianggap tidak setimpal dengan kelulusan atau taraf pendidikan. Namun perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak bekerja. Pekerjaan itu mungkin sebagai permulaan saja sebelum mendapat jawatan yang lebih baik.

Berdasarkan kajian, ada pelbagai faktor yang menyebabkan graduan gagal mendapatkan pekerjaan contohnya kelulusan yang tidak sesuai, tiada pengalaman kerja atau sikap memilih kerja. 

Justeru, pelajar yang bakal bergraduasi dan memasuki pasaran pekerjaan perlu berusaha membentuk diri supaya menjadi `winnable candidate' yang mampu menarik minat majikan, boleh bekerja dan mahu diambil bekerja bagi mengelak daripada terus menganggur.

Pihak swasta, khususnya syarikat multinational amat mementingkan kepada pekerja yang mempunyai kelulusan peringkat profesional yang mampu menjalankan tugas dengan berkesan dan seterusnya memberi keuntungan kepada syarikat. Setiap sen yang dibayar kepada pekerja diharapkan memberi keuntungan berlipat ganda kepada syarikat kemudiannya.  

Majoriti graduan, sekadar mendapat kelulusan peringkat rendah, sukar untuk menyakinkan bakal majikan tentang tahap kemampuan melaksanakan tugas jika diambil bekerja.  

Kelulusan yang rendah dianggap oleh bakal majikan sebagai sebenarnya tidak lulus. Jadi, graduan berkenaan tidak layak menjalankan tugas yang tentunya mencabar dan memerlukan tahap pengetahuan dan kemahiran yang tinggi.

Graduan yang baharu lulus dari IPT berdepan dengan dua situasi ketika memohon pekerjaan. Pertamanya, majikan sering memberi alasan graduan tidak mempunyai pengalaman bekerja. Ini sudah pasti, tetapi mengapa perkara itu dibangkitkan oleh bakal majikan? 

Keduanya, jika mereka diterima bekerja, banyak di kalangan mereka tidak menunjukkan prestasi dan kesungguhan memajukan diri dengan bidang tugas yang dilakukan. Fenomena ini dijadikan alasan oleh majikan mengapa mereka serik hendak mengambil pekerja di kalangan mereka yang baru menamatkan pengajian.      

Justeru, pihak IPT perlu mengadakan syarat kemasukan yang lebih ketat. Tidak guna kita mengeluarkan siswazah yang tidak mencapai piawaian untuk memasuki pasaran pekerjaan. Ia akan menjadi bebanan kepada banyak pihak, termasuk pelajar dan ibu bapa sendiri.   

Mengetatkan syarat kemasukan bukan bermakna bilangan kemasukan pelajar ke IPT mesti dikurangkan. Bilangan pelajar yang ditawarkan tempat di IPT perlu ditingkatkan selaras dengan harapan kerajaan melahirkan lebih banyak graduan dalam pelbagai bidang. Apa yang dimaksudkan ialah pelajar hendaklah ditawarkan kursus bersesuaian dengan kelulusan dimiliki.   

Contohnya, pelajar yang memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang memperoleh keputusan sederhana, lebih sesuai mereka ditawarkan mengikuti kursus peringkat peringkat diploma atau sijil, berbanding terus belajar di peringkat ijazah. Ini bagi memastikan keupayaan mereka mencapai kelulusan cemerlang di peringkat diploma atau sijil yang diikuti.

Biarpun kaedah ini merugikan tempoh pengajian, kerana pelajar memiliki STPM sepatutnya mengikuti kursus peringkat ijazah, itu lebih baik daripada mengambil kursus yang tidak mampu diikuti dengan cemerlang, dan kemudian menganggur selepas tamat pengajian.

Dalam banyak situasi, kelulusan bukan menentukan kemampuan bekerja. Kelulusan sekadar dijadikan lambang kecemerlangan akademik dan membentuk keyakinan diri. Kejayaan sebenar ialah kemampuan melaksanakan tanggungjawab dalam tugas masing-masing.

Bagi kerjaya bukan profesional yang tidak melibatkan kawalan badan profesional, majikan lebih menitikberatkan pengalaman. Pekerja baru diambil berdasarkan kepada potensi kemampuan diri. Kelulusan akademik sekadar membuktikan tahap pengajian.  

Dalam hal ini, banyak jawatan penting dalam syarikat bersaiz sederhana dipegang oleh pekerja berpengalaman, biarpun tidak mempunyai kelulusan tinggi. Ini bermakna graduan yang baru tamat pengajian terpaksa bersaing dengan pekerja berpengalaman untuk mengisi jawatan itu.

Memang, jika tidak diberi peluang, bilakah graduan akan memperoleh pengalaman. Sebenarnya, inilah hakikat yang perlu diterima, yakni bekerja dahulu dari peringkat rendah. Jika graduan mampu membuktikan kemampuan bekerja di peringkat rendah, tidak ada sebab mengapa mereka tidak mampu meningkat berdasarkan pengalaman dan kelulusan yang dimiliki. 

Selepas memiliki pengalaman, jika tidak ada peluang kenaikan jawatan di tempat itu disebabkan jawatan terhad, mereka boleh memohon kerja di tempat baru. Mereka boleh mengemukakan pengalaman berkerja untuk dinilai oleh bakal majikan baru.

Sebenarnya peluang pekerjaan masih banyak. Sebagai contohnya, lulusan bidang perakaunan sepatutnya tidak menganggur. Negara masih memerlukan berpuluh ribu lulusan perakaunan untuk memegang jawatan akauntant, auditor, eksekutif syarikat dan pengurus. 

Tetapi, mengapakah lulusan tersebut juga menganggur? Jawapannya mudah. Kebanyakan syarikat, dan firma perakaunan mementingkan pengalaman untuk mengambil pekerja baru. Jawatan berkaitan perakaunan dan pengurusan kos amat penting. Kemampuan akauntant menentukan kejayaan syarikat.      

Sebenarnya boleh dikatakan semua bidang kerjaya profesional tidak terus memberi gaji yang tinggi kepada pekerja baru. Mereka profesional, jadi perlulah terlebih dahulu membuktikan kemampuan. Piawaian profesional amat tinggi.   

Untuk memperoleh kemahiran, mereka perlu melalui latihan di lapangan sebelum disahkan jawatan. Gaji permulaan yang ditawarkan juga reletif rendah. Malah, dalam kes tertentu mereka terpaksa mengambil peperiksaan disediakan badan khas.

Keadaan inilah dianggap membebankan oleh kebanyakan graduan. Sebab itu, awal-awal lagi mereka tidak mahu menyertai kerjaya profesional. Mereka menjadi golongan elit di universiti mengikuti kursus bertaraf profesional, tetapi minda mereka masih di tahap amatur.

Disebabkan tidak mampu menghadapi cabaran kerjaya di sektor swasta, kebanyakan siswazah mengharapkan menyertai sektor kerajaan. Sedangkan, bilangan jawatan amat terhad.

Justeru, graduan perlu berubah ke bidang yang masih memerlukan banyak pekerja seperti bidang insurans, jualan langsung, perniagaan, pertanian, perikanan dan sebagainya. Bidang berkenaan memberi pendapatan lumayan berbanding di sektor kerajaan.

Pendapatan menyertai bidang insurans dan jualan langsung dalam tempoh beberapa tahun boleh mencapai pendapatan seorang pengarah agensi kerajaan yang hanya mampu dicapai pegawai kerajaan yang telah hampir sampai tempoh pencen. 

Apa yang penting ialah kesanggupan bekerja dan membuktikan kemampuan dalam akademik seiring dengan kemampuan sebenar dalam kerjaya.

1 comment:

  1. As stated by Stanford Medical, It's in fact the ONLY reason women in this country live 10 years longer and weigh 19 kilos lighter than us.

    (Just so you know, it is not related to genetics or some hard exercise and really, EVERYTHING related to "how" they eat.)

    BTW, I said "HOW", and not "what"...

    TAP on this link to uncover if this short questionnaire can help you decipher your true weight loss potential

    ReplyDelete