Saturday, 18 January 2020

MANFAAT HOBI TANAM BUNGA

Satu hobi yang patut diamalkan ialah menanam pokok bunga. Memanglah menanam pokok bunga tidak boleh dibuat sayur atau dimakan. Namun, manfaat menanam pokok bunga memang besar sebagai terapi jiwa. Jiwa yang tenang dan ceria lebih penting daripada wang ringgit.

Banyak pokok bunga yang boleh ditanam mengikut minat masing-masing. Juga bergantung kepada kawasan laman rumah yang ada. Jika tinggal di kawasan rumah tidak berlaman, kenalah cari jenis pokok yang tumbuh di dalam pasu dan tidak memerlukan sinaran matahari. Ada juga pokok yang tumbuh di dalam air dan memerlukan kolam untuk menanamnya seperti pokok teratai.

Namanya pokok bunga, namun tidak semestinya semua jenis berbunga. Ada pokok bunga sebenarnya hanya cantik pada daun-daun. Tidak kisahlah, yang penting kita dapat melihat satu pandangan yang cantik di hadapan halaman rumah.

Kegembiraan menanam pokok bunga ada beberapa peringkat. Peringkat pertama tentulah kegembiraan apabila pokok yang ditanam tumbuh. Itu kalau yang guna biji untuk cara membiaknya. 

Kalau yang guna keratan batang atau rizon, tentu sekali apabila melihat pokok mula menunjukkan ada tunas baru atau tidak layu. Itu tandanya pokok yang dipindahkan itu sudah tumbuh akar baharu dan sedia untuk membesar. Perasaan gembira dan senang hati adalah satu terapi jiwa yang paling hebat.

Penanam bunga akan terus rasa gembira apabila melihat ada tanda-tanda bunga akan keluar. Perasaan tidak sabar untuk menunggu detik seterusnya. Pokok terus dibelai dan disiram dengan penuh kasih sayang. 

Kata orang, menanam bunga macam juga menjaga anak yang perlu dilakukan dengan kasih sayang. Kalau tidak dibuat begitu, pokok bunga merajuk tidak mahu berbunga.

Apabila bunga mula keluar, berasa gembira dan puas. Dan tentu sekali kegembiraan dan kepuasan terpancar apabila bunga mula mekar dan setengahnya pula mengeluarkan bau semerbak harum. 

Puasnya tidak terkira dan ingin terus melihat bunga kembang agar tidak layu. Namun, apakah daya, setiap bunga pasti akan layu, sepertimana setiap bernyawa pasti akan mati.

Jangan difikirkan tentang yang telah layu. Bunga-bunga baru akan tumbuh kembali dan tiba masanya akan kembang. Jadi, jangan pernah jemu untuk menanam bunga. Seperti hidup kita, bunga juga ada kitaran hidup yang perlu dilengkapkan.

Ada pokok bunga yang akan berbungga sepanjang tahun dan ada juga berbungga mengikut musim.

Ada juga pokok bunga yang tidak memerlukan penjagaan rapi. Biasanya pokok bunga dari jenis berbatang keras seperti bunga kertas yang ditanam di atas tanah. Pokoknya membesar dan berbunga tanpa perlu penjagaan rapi.

No comments:

Post a Comment