Ubi kayu tonyoh menu musim hujan.
Ubi tonyoh atau ubi kayu tonyoh ialah kuih tradisional
Kelantan yang paling sedap dimakan panas-panas ketika musim hujan bersama teh
atau kopi.
Gabungan ubi kayu yang lembut, rasa manis nise atau gula melaka,
dan kelapa parut berlemak menjadikannya hidangan petang yang amat menyelerakan
atau "nyakot".
Menu ini terkenal pada musim tengkujuh atau musim hujan.
Pada musim ini banyak pokok ubi kayu yang dicabut atau digali untuk mengelak
ubinya menjadi carok atau rosak.
Tambahan pula, dalam keadaan sejuk hujan selera rasa boleh
terima apa sahaja makanan yang ada, tambah lagi yang lain daripada kebiasaan.
Ubi kayu tonyoh adalah satu daripada menu penting pada musim banjir.
Bahan asasnya tentulah ubi kayu. Setelah dibuang kulit dan
dibersihkan, ubi kayu itu ditonyoh atau disagat. Akan terhasillah bentuk ubi
yang kecil memanjang.
Ubi kayu yang telah ditonyoh itu perlu dikukus sehingga
lembut atau sesuai untuk dimakan. Untuk nampak berwarna warni dan menarik, ubi
kayu yang disagat akan digaulkan dengan pewarna pilihan.
Bahan lain ialah nise atau gula melaka sebagai cecair
manisan yang perlu dimasak atau dipanaskan dengan dicampurkan air.
Untuk menambah kesedapan perlu ada kelapa parut. Boleh juga
dicampur dan digaul dengan gula dan sedikit garam.
Pilih kelapa yang belum tua sepenuhnya untuk rasa lembut,
lemak dan sedap dimakan.
Ubi kayu tonyoh yang telah dikukus digaul dengan kelapa
parut dan dicampur dengan air manisan sebelum dimakan.
Pastinya sedap dan mengenyangkan. Ubi kayu kaya khasiat dan
boleh menggantikan menu hidangan harian.
Kalau tidak dicampurkan dengan air manisan, boleh juga
dimakan dengan ikan kering goreng atau bakar. Sedap juga dimakan dengan ikan
rebus yang digoreng.
Kalau hendak makan ubi kayu tonyoh dengan air manisan,
kelapa parut dan ikan pun tidak ada masalah. Boleh ikut selera masing-masing.
No comments:
Post a Comment