Menanam kacang tanah sangat mudah. Jika untuk tujuan dijual
dan memerlukan kawasan tanaman luas, penanaman di atas batas tanah terbuka paling
sesuai. Kalau sekadar untuk keperluan sendiri dan hobi, sesuai dilakukan dalam
polibeg atau pasu.
Tanah yang sesuai untuk kacang tanah adalah tanah peroi dan
bersaliran baik. Ia memerlukan cahaya matahari penuh.
Benih yang diperlukan hanya menggunakan biji kacang tanah
mentah yang berkualiti, kering dan bebas daripada kulat.
Biji tersebut perlu direndam di dalam air suam selama 10
hingga ke 15 minit. Jika menggunakan air paip biasa selama beberapa jam atau semalaman.
Langkah ini merangsang proses percambahan.
Kambus biji kacang tanah pada kedalaman dua hingga tiga
centimeter. Jikaa menanam di dalam pasu, letakkan tiga hingga lima biji bagi
setiap lubang, kemudian kambus dengan nipis.
Pokok perlu disiram setiap hari. Jangan biarkan air bertakung
kerana kacang mudah rosak dan mati.
Letakkan pasu di kawasan yang terdedah kepada cahaya
matahari penuh sepanjang hari.
Jaga kawasan tanaman daripada serangan semut kerana semut
sangat menggemari benih dan buah kacang tanah.
Apabila pokok mula mengeluarkan bunga kuning, tambahkan atau
kambus tanah di sekeliling perdu (pangkal pokok) supaya jarum bunga boleh masuk
ke dalam tanah dengan mudah untuk membentuk kacang.
Pokok kacang tidak memerlukan pembajaan yang kerap. Boleh gunakan
baja organik atau baja seimbang. Apabila pokok mula berbunga, taburkan sedikit
baja kapur untuk menggalakkan kerangka kacang berisi dengan padat.
Kacang tanah biasanya sedia dituai apabila daun pokok mula
menguning dan kering, biasanya dalam tempoh 90 hingga 100 hari selepas disemai.
Cabut keseluruhan pokok dengan berhati-hati dan asingkan
buah kacang tanah daripada akarnya.



No comments:
Post a Comment