Wednesday 25 October 2023

PASAR TANJUNG TAWAU TUMPUAN PENGUNJUNG

 
Jika di Kota Bharu ada Pasar Siti Khadijah, di Kuala Terengganu terkenal dengan Pasar Payang, maka di Tawau, Sabah pula berbangga dengan Pasar Tanjung.
 
Pasar Tanjung Tawau terletak di Jalan Dunlop, berhampiran laut dan bersebelahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau. Tahukah anda, Pasar Tanjung merupakan pasar tertutup terbesar di Malaysia.  
 
Kerja-kerja pembinaan Pasar Tanjung bermula pada tahun 1995 dan kemudiannya siap sepenuhnya 4 tahun selepas itu iaitu pada bulan Jun 1999, menelan kos sebanyak RM25 juta.
 
Dinamakan Pasar Tanjung sempena mengambil nama terletaknya pasar tersebut iaitu Sri Tanjung. Kawasan Sri Tanjung adalah kawasan utama pusat perniagaan awal di Tawau. Sebab itu, di kalangan penduduk Tawau apabila ada urusan untuk membeli keperluan akan menyebutnya akan ke “Tanjung”.
 
Pasar Tanjung sememangnya merupakan antara tempat pilihan paling utama para pelancong atau pengunjung dari dalam dan luar negara yang datang ke Tawau tidak kira sama ada melancong atau pun melakukan urusan kerja.
 
Boleh dikatakan perjalanan atau percutian di Tawau tidak lengkap sekiranya tidak datang ke pasar tertutup yang paling besar di Malaysia ini. Dengar saja perkataan pasar paling besar di Malaysia sudah pastilah pasar ini adalah tempat menjual pelbagai jenis jualan.
 
Di pasar ini terdapat pelbagai jenis jualan dari barang peralatan dapur hingga ke barang makanan termasuk makanan kering. Pasar ini mampu menampung sehingga 6000 tapak perniagaan atau pun gerai.
 
Oleh kerana kedudukan Tawau yang sangat hampir dengan beberapa pulau dari negara jiran Indonesia seperti Pulau Nyamuk dan Tarakan, maka tidak hairanlah sekiranya terdapat banyak peralatan dapur atau makanan ringan yang berasal dari sana iaitu seperti periuk-periuk, kuali, keropok kering dan lain-lain lagi.

Walaupun terdapat beberapa jenis jualan yang datangnya dari negara jiran, namun jualan barangan tempatan tetap menjadi tarikan utama pelancong dan juga pengunjung yang datang ke sini seperti hasil kraf tangan dari penduduk tempatan iaitu bakul dan lain-lain lagi.
 
Di sini juga terdapat pelbagai jenis makanan dan keropok yang dibuat oleh penduduk tempatan terutama sekali keropok ampang, semua pasti tahu keropok ini adalah sangat sinonim dengan Tawau.
 
Jadi kalau mahu membeli keropok ampang dengan harga yang lebih murah di sinilah tempatnya. Selain itu terdapat juga beberapa jenis kuih tradisional suku kaum Bugis dijual seperti kuih bangkek dan lain-lain lagi.

Pasar Tanjung menjadi tumpuan peminat ikan kering atau ikan masin serta hasil hidupan laut lain. Antara jenis ikan kering yang dijual di situ adalah ikan putih, ikan ketamba, ikan kurau, ikan bilis, ikan kerapu, ikan tulai dan udang kering keluaran tempatan dan Indonesia, yang sering mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan. Ikan kering di sini bukan sahaja murah tetapi juga banyak pilihan dan berkualiti.

Di tingkat atas terdapat gerai makan yang menyediakan masakan panas. Elok dapat menjamu selera selepas penat membeli belah. 
 
Jadi, jika berkunjung di Tawau, jangan lupa singgah di Pasar Tanjung. Pasti anda akan mendapat pengalaman dan kepuasan yang berharga.
 
Ia beroperasi seawal jam 6 pagi dan menutup perniagaan pada 6 petang. Namun, jika masih ramai pelanggan masa perniagaan dilanjutkan bagi memberi peluang kepada pembeli terutama yang datang dari jauh.
 


No comments:

Post a Comment