Dalam sebuah kitab menceritakan bahawa apabila Nabi Ibrahim hendak pergi
ke Mesir maka beliau mendapat tahu bahawa raja Mesir itu sangat jahat. Baginda
sangat suka mengambil perempuan dan isteri orang dengan paksa untuk dijadikan
pemuas nafsu.
Raja Mesir itu mempunyai orang-orang suruhan di setiap pelusuk untuk
mencari wanita cantik untuknya.
Apabila Nabi Ibrahim mendengar berita tentang perbuatan raja tersebut
maka beliau sangat risau sebab isteri beliau, Siti Sarah adalah wanita yang
sangat cantik. Nabi Ibrahim telah membuat peti dan memasukkan Siti Sarah ke
dalam peti dan menguncinya. Peti itu diletakkan di belakang unta dan
terus menuju ke Mesir.
Apabila sampai di suatu tempat maka pembantu raja Mesir mengarahkan
supaya peti tersebut di buka. Nabi Ibrahim enggan membuka peti tersebut
sehingga datang pembantu-pembantu raja lain. Akhirnya mereka membuka peti
tersebut dan mereka terkejut apabila dilihat seorang wanita yang sangat cantik
berada di dalam peti itu.
Salah seorang dari pembantu raja itu bertanya: “Apakah wanita ini isteri
kamu?”. Nabi Ibrahim berkata: “Dia adalah adik kandungku”.
Pembantu raja itu berkata: “Saya fakir wanita ini sangat sesuai untuk
raja kami”.
Setelah berkata demikian, maka pembantu raja pun membawa Siti Sarah
kepada raja Mesir. Allah SWT telah membuka hijab yang mana Nabi Ibrahim dapat
melihat apa yang berlaku di dalam istana biarpun beraada di luar.
Apabila Siti Sarah berada di hadapan raja Mesir itu maka raja Mesir itu
menghampiri Siti Sarah dan menghulurkan tangan kepada Siti Sarah. Oleh kerana
Siti Sarah adalah isteri kekasih Allah maka Allah SWT melumpuhkan kaki dan
tangan raja Mesir itu.
Apabila raja Mesir berasa kaki dan tangannya menjadi lumpuh maka diapun
berkata: “Wahai wanita ahli sihir, kamu telah melumpuhkan kaki dan tanganku”.
Siti Sarah berkata: “Wahai raja yang zalim, aku bukannya ahli sihir
seperti yang kamu sangkakan. aku isteri Khaliilullah (isteri kekasih
Allah). Dia telah berdoa kepada Allah SWT dan Allah SWT telah menerima doanya
dengan melumpuhkan kamu”.
Akhirnya raja Mesir itu bertaubat lalu Allah SWT menyembuhkan kaki dan
tangannya menjadi baik seperti mulanya pada ketika itu juga.
Setelah kaki dan tangannya sembuh, maka dia memandang Siti Sarah dia
berkeinginan lagi ke atas Siti Sarah. Akibat perbuatan itu, raja itu menjadi
buta. Sekali lagi dia bertaubat dan Allah SWT pun mengembalikan
penglihatannya.
Setelah raja itu dapat melihat semula maka perangai syaitannya itu tetap
tidak berubah dia cuba menggangu Siti Sarah buat kali ketiga. Kali ini
keseluruhan anggotanya lumpuh.
Sebaik sahaja keseluruhan anggota raja itu menjadi lumpuh maka diapun
memerintahkan pengawalnya membawa Nabi Ibrahim masuk mengadap.
Setelah Nabi Ibrahim datang, maka raja yang lumpuh itu berkata: “Wahai
Ibrahim, hukumlah saya sekehendak hatimu”.
Nabi Ibrahim: “Ini adalah perintah Tuhan saya, oleh itu saya tidak akan
bertindak menghukum sesuatu dengan perintah Allah”.
Sebaik sahaja Nabi Ibrahim selesai berkata maka turunlah malaikat
Jibrail lalu berkata: “Wahai Ibrahim,
Allah SWT berkata kepada kamu: ‘katakanlah kepada raja itu supaya dia
menyerahkan kesemua kerajaannya dan segala harta bendanya kepada kamu,
kemudian berdoalah kamu untuknya’”.
Setelah Nabi Ibrahim mendapat perintah maka beliau pun berkata kepada
raja tersebut tentang hukum Allah, raja tersebut reda dengan hukum Allah.
Setelah raja itu bersetuju dengan hukuman tersebut maka Nabi Ibrahim pun berdoa
untuknya, akhirnya Allah menyembuhkan kembali seluruh anggota raja tersebut dan
dia dapat bergerak seperti sedia kala.
Apabila raja itu telah sembuh dari lumpuhnya maka dia pun menghadiahkan
Siti Hajar (budak perempuan) kepada Siti Sarah. Apabila Siti Sarah menerima
Siti Hajar maka Siti Sarah pun berkata: “Aku rela suamiku berkahwin dengan Siti
Hajar kerana dia bersusah hati sebab tidak mempunyai anak”.
Setelah itu Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Sarah, janganlah kamu bersusah
hati, sesungguhnya Allah telah membuka hijab antara kau dan saya”.
Budak perempuan bernama Siti Hajar setelah berkahwin dengan Nabi Ibrahim
melahirkan seorang putera bernama Ismail yang turut menjadi nabi.
No comments:
Post a Comment