Setiap hari Ahad, Selasa dan Khamis, saya
wajib hadir di Hospital Pakar Metro, menambat diri selama 4 jam di kerusi
dailisis ditemani misi yang mengulang pertanyaan sekali sekala "Pak Cik ok
ka?"
Satu pertanyaan routine untuk kepastian
pesakit dailisis seperti saya tiada masalah.
Tusukan dua jarum sebesar dawai pagar yang
melekat di lengan menelan semua nikmat hidup, aliran darah serta denyutan pedih
sudah menjadi mainan demi kelangsungan hidup.
Tetapi itulah satu satunya jalan yang ada.
Ketika orang lain berebut meninggalkan rumah
untuk ke tempat kerja, saya dan isteri
memandu ke hospital.
Rasa takut sudah lama dihumban jauh demi
kelangsungan hidup saya yang ibarat berulang membeli kehidupan sehari dengan
nilai tinggi RM200.
Jika tidak dibuat dailisis, insyaAllah dalam
seminggu berpindahlah jasad ini ke alam
kubur. Itulah routine hidup saya dan isteri serta anak 3 kali seminggu.
Yang sakit seorang, yang terseret, anak dan
isteri kerana menghantar dan menjemput. Seluruh jadual hidup keluarga telah
berubah.
Ambillah pengajaran, kawal pengambilan gula
untuk mengelak kencing manis yang merosakkan buah pinggang. Kawal tekanan darah
yang juga menjadi punca kerosakan buah pinggang.
Ambil insulin jika anda telah terkena
daibetes untuk mengelak kerosakan buah pinggang kerana menelan ubat yang lama
akan membeban dan merosakkan buah pinggang.
Kos rawatan yang amat tinggi (setahun
RM32000) jika anda tidak dibayai kerajaan, perkeso atau insuran hayat.
Pada pembaca saya, ingatlah kami pesakit
kegagalan buah pinggang membeli hidup dengan harga yang mahal sehari RM200 dan
ditambat dikerusi selama 4 jam tanpa berubah.
Anda menikmati hidup percuma, tidak berbayar,
tidak ditambat dikerusi, bangun pagi, lihat sinar mentari, berfikir untuk makan
apa, buat apa yang di suka.
Kami bangun pagi makan kena pilih, banyak
yang tidak boleh, air sekadar sebotol mineral kecil untuk sehari, esok ke
hospital lagi menadah lengan kepada misi.
Manfaatkanlah waktu sihat dengan ibadat,
jangan lupa, suatu hari mungkin anda juga akan mengisi kerusi dailisis ini jika
makan ikut menurut hati.
Kepada rakan dailisis, buat apa menyambung
hidup jika hanya untuk makan dan rehat sahaja, gunakanlah sehari yang dibeli
dengan harga yang mahal itu dengan beribadat untuk kembali kepada Allah.
Maafkan saya, kali ini menulis cerita diri.
Bukan minta simpati tetapi saya mengharap bait-bait kata saya ini menjadi satu
peringatan kerana firman Allah 'berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu
berguna'.
Yang telah ada diabetes, high blood pressure,
patuhilah nasihat doktor. Sesungguhnya penyakit ini akan menyusahkan diri dan
menyusahkan anak isteri/suami.
Menjadi ujian yang berat kepada mereka dan
saya melihat banyak anak yang gagal mengharunginya, membiar ayah ibu dihantar
oleh pemandu teksi atau grab ke hospital, tidak ditemani semasa dailisis
dan......
No comments:
Post a Comment